Skip to main content

Singapura

Parlimen lulus usul setuju Pritam Singh tidak sesuai sebagai Ketua Pembangkang

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 14 Jan 2026 07:48PM Dikemas Kini : 25 Jan 2026 07:40AM
SINGAPURA: Parlimen pada Rabu (14 Jan) meluluskan usul yang bersetuju bahawa Ketua Parti Pekerja (WP) Pritam Singh tidak seharusnya meneruskan peranan beliau sebagai Ketua Pembangkang - jawatan yang dipegangnya sejak 2020.

Semasa pengundian mengenai usul itu, 11 Anggota Parlimen (AP) WP bangkit menolak usul tersebut.

Usul itu diketengahkan selepas Encik Pritam sabit kesalahan kerana berbohong kepada Jawatankuasa Hak Istimewa Parlimen (COP) berhubung kes kebohongan mantan AP WP Raeesah Khan tentang pengalaman beliau mengiringi seorang mangsa rogol untuk membuat aduan polis.

Semasa mengemukakan usulnya di Parlimen hari ini, Ketua Dewan Indranee Rajah berkata salah laku Encik Pritam bukan 'perkara yang remeh'.

Ia melibatkan pelbagai pembohongan kepada pelbagai orang pada masa-masa yang berbeza serta tindakan membimbing seorang AP muda untuk melakukan perkara yang salah.

Cik Indranee berkata kes itu menunjukkan kegagalan kepimpinan Encik Pritam dan bahawa beliau tidak bertanggungjawab atas perbuatannya.

Cik Indranee menyeru kepada Dewan agar menyatakan rasa kecewa terhadap tingkah laku Encik Pritam, yang menurut beliau,"tidak terhormat dan tidak wajar" sebagai seorang AP.

"Dalam demokrasi berparlimen Singapura, kejujuran dan integriti bukan perkara yang abstrak. Ia bukan nilai-nilai yang boleh dipilih.

"Ia adalah asas kepercayaan awam. Kuasa yang dipegang oleh Dewan ini tidak bergantung kepada undang-undang sahaja.

"Ia bergantung kepada keyakinan dan kepercayaan rakyat Singapura terhadap Parlimen - terhadap proses dan para anggotanya.

"Keyakinan dan kepercayaan ini boleh hilang.

"Itu sebabnya Parlimen mesti bertegas bahawa anggotanya sentiasa bercakap dengan benar dan bertindak dengan integriti, walaupun ia tidak mudah dari segi politik untuk berbuat demikian," kata Cik Indranee dalam ucapannya di Parlimen.

Cik Indranee berkata keputusan sama ada Encik Pritam seharusnya meneruskan peranannya sebagai Ketua Pembangkang terletak di tangan Perdana Menteri, bukan Parlimen.

Namun begitu, Cik Indranee berkata bahawa AP berhak dan mempunyai kewajipan untuk menyuarakan pandangan mereka tentang kesesuaian Encik Pritam untuk terus memegang jawatan tersebut.
Sumber : CNA/AI/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita