Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Parlimen lulus undang-undang luaskan perlindungan Medishield Hayat kepada model jagaan baharu

Anggaran Waktu Membaca:
Parlimen lulus undang-undang luaskan  perlindungan Medishield Hayat kepada model jagaan baharu

(Gambar: Google Street View)

Diterbitkan : 11 Nov 2024 11:28PM Dikemas Kini : 11 Nov 2024 11:30PM
SINGAPURA: Perlindungan MediShield Hayat dijangka akan diperluaskan setelah Parlimen meluluskan undang-undang pada Isnin (11 Nov) untuk menyertakan model penjagaan baharu di luar premis fizikal penyedia jagaan kesihatan dalam skim insurans.

Ini selepas pemerintah pada bulan lalu menerima saranan-saranan Majlis MediShield Hayat melindungi rakyat Singapura dengan lebih baik daripada bil-bil perubatan yang besar dan memperluaskan perlindungan bagi memastikan pesakit mampu mendapatkan jenis penjagaan dan rawatan baharu.

Antara saranan-saranan majlis itu, ia mencadangkan kemasukan faedah baharu untuk menampung rawatan tambahan pesakit luar termasuk rawatan kesihatan mental, masyarakat dan penjagaan di rumah serta meningkatkan had tuntutan.

APA YANG DISARANKAN

Matlamat Rang Undang-Undang (Pindaan)Skim MediShield Hayat adalah untuk memperluaskan perlindungan skim itu untuk merangkumi model penjagaan baharu, mengukuhkan peruntukan bagi menyokong usaha pemulihan premium dan menambah baik pentadbiran skim tersebut.

Buat masa ini, Akta Skim MediShield Hayat memerlukan rawatan atau perkhidmatan yang dilindungi di bawah skim tersebut dijalankan di institusi-institusi perubatan yang diluluskan.

Rang Undang-Undang itu dicadangkan untuk mentakrifkan semula MediShield Hayat untuk melindungi sebarang rawatan atau khidmat perubatan selagi ia disediakan oleh institusi-institusi perubatan yang diluluskan.

Perubahan ini akan dilengkapkan dengan "rangka kerja tadbir urus lebih teguh" yang membolehkan "kelulusan berskop, dan penggantungan dan pembatalan kelulusan tersebut", yang diberikan kepada institusi-institusi perubatan di bawah skim berkenaan.

Ini akan memastikan penggunaan berterusan Dana MediShield Hayat yang sewajarnya, menurut Menteri Negara Kesihatan Rahayu Mahzam kepada Parlimen.

Sebagai contoh, untuk diluluskan, institusi perubatan mesti mempunyai lesen yang sah di bawah Akta Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan 2020.

Di samping itu, konsep baharu “rawatan atau perkhidmatan perubatan yang boleh dituntut” bertujuan untuk memastikan skim tersebut hanya meliputi rawatan atau perkhidmatan perubatan yang disediakan oleh institusi-institusi perubatan yang diluluskan mengikut skop kelulusan mereka.

Rang Undang-Undang itu juga bermatlamat untuk memperhalusi peruntukan bagi menyokong usaha pemulihan premium, seperti dengan menyampaikan nota permintaan melalui cara lain seperti emel.

Antara perubahan lain yang dicadangkan adalah untuk menentukan premium MediShield Hayat dengan cara yang lebih mudah diakses, seperti di laman web Kementerian Kesihatan (MOH), dalam usaha untuk menambah baik pentadbiran skim tersebut.

KENAPA IA PENTING

Cik Rahayu berkata peralihan dalam penyediaan khidmat penjagaan kesihatan kepada pesakit luar, masyarakat dan di rumah serta keperluan untuk menambah baik pentadbiran skim tersebut memerlukan pindaan pada undang-undang sedia ada.

Secara keseluruhannya, pindaan-pindaan itu akan membolehkan MediShield Hayat lebih responsif kepada model penjagaan yang baharu, sambil membolehkan lebih banyak kelulusan "bersasar" serta penggantungan dan pembatalan kelulusan untuk pembekal serta rawatan dan khidmat perubatan yang boleh dituntut.

“Ini akan mengukuhkan akauntabiliti institusi perubatan yang diluluskan dan memastikan pematuhan terhadap garis panduan tuntutan MediShield Hayat,” kata Cik Rahayu.

Mengenai pemulihan premium, Cik Rahayu berkata sebarang premium terhutang yang tidak boleh dituntut akan menjejaskan kemampanan Dana MediShield Hayat, dan akhirnya menjejas keupayaan skim tersebut untuk memenuhi tuntutannya.

Jika dibiarkan tidak dapat dituntut, hutang ini perlu ditanggung oleh pemegang polisi lain dalam bentuk premium yang lebih tinggi, kata Cik Rahayu.

APA KATA AP

Walaupun Rang Undang-Undang itu memfokuskan kepada butiran pelaksanaan usaha memperluaskan perlindungan MediShield Hayat, sebahagian besar soalan daripada para AP adalah mengenai kesan perubahan kepada skim yang diumumkan bulan lalu.

Dengan had tuntutan yang lebih tinggi dan perlindungan yang lebih luas, premium boleh meningkat sebanyak 35 peratus, menurut Majlis MediShield Hayat sebelum ini.

Kenaikan itu akan dilaksanakan secara berperingkat sepanjang tiga tahun dari April tahun depan hingga Mac 2028.

AP Ng Ling Ling (PAP-Ang Mo Kio) dan AP Jessica Tan (PAP-East Coast) melahirkan kebimbangan seandainya pengenalan potongan pesakit luar yang baharu serta peningkatan pada potongan pesakit yang dirawat di hospital boleh menyebabkan beban tunai yang ditanggung sendiri akan meningkat bagi mereka yang mungkin tidak mempunyai simpanan Medisave yang mencukupi.

Sementara itu, dengan Rang Undang-Undang yang mencadangkan peluasan kuasa ujian kemampuan, AP Gerald Giam (WP-Aljunied) dan AP Yip Hong Weng (PAP-Yio Chu Kang) bertanya bagaimana ia akan memberi kesan kepada penduduk yang kaya aset tetapi miskin tunai, seperti sesetengah pesara.

Tanpa garis panduan yang jelas dan pemantauan yang kukuh, Encik Yip berkata terdapat risiko sebenar untuk menafikan subsidi kepada individu yang layak berdasarkan tafsiran yang terlalu ketat tentang kedudukan kewangan mereka.

Encik Giam menggesa pemerintah untuk mempertimbangkan untuk menghapuskan nilai tahunan hartanah sebagai kriteria ujian kemampuan.

Cik Tan juga bertanya sama ada peningkatan had tuntutan dan peluasan perlindungan serta faedah perlindungan MediShield Hayat mencukupi untuk sesetengah pencarum melepaskan Pelan Perlindungan Insurans Bersepadu (IP).

IP ditawarkan oleh syarikat-syarikat insurans privet sebagai perlindungan kesihatan pilihan selain MediShield Hayat. Ini biasanya meliputi penginapan dalam wad jenis A atau B1 di hospital awam atau hospital privet.

Cik Tan menarik perhatian bahawa separuh daripada pesakit dengan IP untuk hospital privet masih menggunakan rawatan bersubsidi di hospital awam.

RESPONS MOH TERHADAP KEBIMBANGAN PARA AP

Menjawab kebimbangan para AP tentang kesan perubahan potongan ke atas pesakit berpendapatan rendah, Cik Rahayu memberi jaminan bahawa rakyat Singapura yang menghadapi kesukaran untuk membayar bil mereka selepas subsidi, MediSave dan MediShield Hayat boleh memohon bentuk bantuan kewangan seperti sokongan MediFund.

Beliau juga menekankan bahawa langkah-langkah sokongan pemerintah akan mengimbangi kenaikan premium untuk tiga tahun akan datang.

Langkah-langkah ini diumumkan bulan lalu bersama-sama dengan perubahan pada skim MediShield Hayat.

"Tiada sesiapa yang akan dinafikan akses kepada penjagaan kesihatan yang sesuai disebabkan oleh ketidakupayaan mereka untuk membayar," katanya.

Beralih kepada kebimbangan tentang bagaimana individu berpendapatan rendah yang menetap atau memiliki hartanah dengan nilai tahunan (AV) yang tinggi akan disokong, beliau berkata pemerintah menyemak secara berkala kriteria kelayakan untuk subsidi, sambil menambah bahawa ambang AV baru-baru ini dinaikkan pada awal tahun ini.

Beliau menambah bahawa mereka yang memerlukan lebih banyak bantuan atau menghadapi keadaan tertentu boleh merayu untuk mendapatkan lebih banyak bantuan, yang akan dinilai berdasarkan kes demi kes.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan