Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Parlimen lulus undang-undang elak salah guna dana SkillsFuture

Anggaran Waktu Membaca:
Parlimen lulus undang-undang elak salah guna dana SkillsFuture

Menteri Negara bagi Pendidikan Gan Siow Huang berucap di Parlimen.

Diterbitkan : 10 Jan 2023 07:54PM Dikemas Kini : 10 Jan 2023 08:01PM
SINGAPURA: Parlimen meluluskan undang-undang pada Selasa (10 Jan) untuk menangani isu salah guna dana SkillsFuture, termasuk iklan palsu dan mengelirukan mengenai kursus-kursus yang dibiayai Pemerintah.

Di bawah Rang Undang-Undang Agensi SkillsFuture Singapura dan Levi Pembangunan Kemahiran yang dipinda, melakukan atau membantu aturan dana disalah guna kini adalah satu kesalahan, kata Menteri Negara bagi Pendidikan Gan Siow Huang dalam ucapannya di Parlimen.

Aturan dana yang disalah guna bermakna apabila seseorang individu menerima dana yang tidak sepatutnya diterima atau menerima dana dalam jumlah yang lebih banyak daripada yang sepatutnya daripada agensi.

Individu itu juga harus menyedari atau mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa ia adalah satu penipuan dan sengaja menyebabkan SkillsFuture Singapore (SSG) memberikan dana kepada mereka, kata Cik Gan.

Mereka juga melakukannya dengan niat untuk menyebabkan SSG memberikan dana kepada mereka, atau individu lain.

Mereka yang disabit kesalahan boleh dipertanggungjawabkan atas jumlah wang yang diambil atau diterima.

Mereka juga boleh didenda sehingga S$10,000 atau dipenjara sehingga tiga tahun, menurut Kementerian Pendidikan (MOE) dan SSG dalam satu kenyataan media bersama pada Selasa (10 Jan).

Individu-individu itu juga boleh diminta supaya memulangkan dana tersebut kepada SSG.

IKLAN PALSU DAN BAYARAN BALIK

Di bawah undang-undang baru itu, pengagihan dan penyebaran iklan palsu atau yang menipu mengenai kursus-kursus SSG akan diambil kira sebagai satu kesalahan.

Ini termasuk iklan palsu yang menyatakan bahawa SSG menyediakan dana, kelulusan atau pengesahan bagi kursus atau penyedia khidmat sedangkan ia bukan sedemikian, kata Cik Gan di Parlimen.

Iklan yang termasuk maklumat palsu mengenai kandungan kursus dibiayai SSG atau kemahiran yang akan diraih melalui kursus itu akan dianggap palsu atau menipu.

Ia berdasarkan kes sebenar kenyataan palsu yang dihadapi pihak agensi, kata Cik Gan.

"Contohnya, kursus-kursus di dalam iklan yang dikatakan dibiayai SSG, ditauliah di bawah Kelayakan Kemahiran Tenaga Kerja Singapura, atau kursus yang dapat membawa kepada diploma yang dikeluarkan oleh pemerintah, sedangkan ia bukan sedemikian," tambahnya.

"Ia memperdaya individu-individu untuk mendaftar kursus-kursus yang tidak sesuai. Jika dibiarkan, kenyataan palsu seperti itu akan menjejas keyakinan orang awam terhadap usaha SkillsFuture."

Penyedia khidmat tidak bertanggungjawab yang didapati bersalah
boleh dikenakan denda sehingga S$15,000 dan/atau hukuman penjara maksimum enam bulan, menurut MOE dan SSG dalam kenyataan media itu.

Apabila undang-undang itu berkuat kuasa, SSG juga boleh mengarahkan penyedia khidmat supaya memadam iklan palsu yang menipu itu dan menerbitkan iklan yang betul dan disahkan oleh agensi, tambahnya.

SSG boleh mengarahkan penyedia latihan dan penerima dana SSG supaya memulangkan wang yang dibayar oleh pelatih, serta dana yang diberikan, jika kursus tersebut belum bermula seperti yang ditetapkan atau tidak dapat diselesaikan, kata Cik Gan.

Mereka yang tidak mematuhi arahan itu juga dianggap satu kesalahan, dan mereka yang didapati bersalah boleh dikenakan denda sehingga S$10,000 dan/atau dihukum penjara sehingga 12 bulan.

Denda tambahan sebanyak S$1,000 boleh dikenakan jika kesalahan diteruskan selepas penyedia khidmat itu didapati bersalah.

PERTINGKAT KUASA PENGUATKUASAAN, SELARAS OPERASI

Untuk menyiasat kesalahan-kesalahan baru, undang-undang itu meningkatkan kuasa penguatkuasaan, kata Cik Gan.

Sebelum itu, kuasa penguatkuasaan SSG adalah "bagi tujuan terhad", terutama sekali untuk mengesahkan maklumat yang diserahkan kepada agensi yang mendaftar bagi dana, dan untuk memastikan ia digunakan dengan betul.

"Individu yang diluluskan oleh SSG boleh memasuki kawasan-kawasan tertentu, memetik gambar dan merakam video, serta meminta wang dipulangkan dalam satu tempoh yang ditetapkan. Namun, kuasa tersebut dihadkan dan tidak cukup bagi siasatan atas kesalahan yang dilakukan," tambahnya.

Di bawah pindaan itu, SSG boleh melantik penyiasat untuk mengenal pasti identiti individu yang dipercayai melakukan kesalahan, mewajibkan kehadiran pesalah, mengendalikan temu bual serta mencari dan merampas dokumen atau peralatan, kata Cik Gan. Beliau menambah bahawa kuasa tersebut sama seperti yang dimiliki agensi di bawah Akta Pendidikan Privet.

KEBIMBANGAN MENGENAI PELAKSANAAN DAN KESAN

Anggota Prlimen (AP) yang bercakap ketika perbahasan itu menyokong pindaan tersebut, tetapi menyuarakan kebimbangan mengenai pelaksanaan dan kesan undang-undang baru berkenaan pelantikan penyedia khidmat.


Menjawab kebimbangan para AP semasa ucapannya, Cik Gan berkata sekitar 600,000 individu dan 24,000 perniagaan sudah mendapat manfaat daripada program yang disokong SSG.

Terdapat hampir 1,000 penyedia latihan yang menyediakan 25,000 kursus yang disokong oleh agensi, tambahnya.

SSG menggunakan "pelbagai cara" untuk mengenal pasti iklan palsu dan yang memperdayakan, kata Cik Gan, sambil menggalak para pelajar untuk terus menghubungi agensi jika mereka mempunyai sebarang keraguan mengenai tuntutan yang dibuat oleh penyedia latihan.

Beliau juga menjelaskan bahawa undang-undang baru itu merangkumi bahan-bahan iklan yang diedarkan di jerayawara.
 
Sumber : CNA/AE/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan