Skip to main content

Singapura

Parlimen lulus Rang Undang-Undang sahkan bayaran MND tidak seharusnya dikumpul sebagai caj pentadbiran

Parlimen meluluskan Rang Undang-Undang pada Khamis (7 Mei) yang mengesahkan yuran yang sebelum ini dikenakan oleh empat agensi pemerintah, dengan Parti Pekerja (WP) membantah langkah itu setelah menimbulkan persoalan mengenai jumlah yang dikumpul dan jumlah individu yang terjejas.

Anggaran Waktu Membaca:
Parlimen lulus Rang Undang-Undang sahkan bayaran MND tidak seharusnya dikumpul sebagai caj pentadbiran

Menteri Pembangunan Negara Chee Hong Tat dan Setiausaha Agung Parti Pekerja Pritam Singh di parlimen pada 7 Mei 2026.

Diterbitkan : 07 May 2026 08:53PM Dikemas Kini : 07 May 2026 08:54PM
SINGAPURA: Parlimen meluluskan Rang Undang-Undang pada Khamis (7 Mei) yang mengesahkan yuran yang sebelum ini dikenakan oleh empat agensi pemerintah, dengan Parti Pekerja (WP) membantah langkah itu setelah menimbulkan persoalan mengenai jumlah yang dikumpul dan jumlah individu yang terjejas.

Rang Undang-Undang Statut (Pelbagai Pindaan) menetapkan pindaan terhadap beberapa Akta, di mana Setiausaha Parlimen Kanan Pembangunan Negara Syed Harun Alhabsyi menyifatkannya sebagai "sebahagian besarnya bersifat teknikal dan operasi".

Antara pindaan yang dicadangkan, ia mengusulkan agar yuran dan bayaran tertentu yang dikenakan oleh empat agensi di bawah Kementerian Pembangunan Negara (MND) - Penguasa Bangunan dan Binaan (BCA), Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB), Lembaga Taman Negara (NParks) dan Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) - ditetapkan dalam perundangan.

Ia termasuk bayaran bagi mempercepatkan proses pemeriksaan bangunan, pemprosesan permit pendudukan sementara serta permit haiwan dan pensijilan spesis, antara lain.

Dr Syed Harun berkata bayaran dan caj sebelum ini dianggap sebagai caj pentadbiran bagi khidmat-khidmat khusus atau aktiviti penguatkuasaan.

Menyusuli semakan dalaman secara menyeluruh, MND dinasihatkan bahawa ia sepatutnya ditetapkan dalam perundangan dari awal lagi.

Rang Undang-Undang itu juga bertujuan mengesahkan bayaran yang sudah pun dikumpul oleh keempat-empat agensi, memastikan caj sedemikian "ditetapkan dalam perundangan" secara rasmi, pada masa hadapan.

WP MAHUKAN DATA

AP Parti Pekerja berkali-kali mendesak bagi perangkaan mengenai keseluruhan kuantum bayaran terkumpul dan jumlah individu yang terjejas, sambil berhujah parlimen tidak dapat meneliti perundangan dengan betul yang mengesahkan bayaran yang dikumpul sebelum ini dan menghapuskan sebarang potensi tuntutan tanpa maklumat tersebut.

AP Fadli Fawzi juga menyoal mengapa pengesahan itu wajar, sambil berkata perubahan yang diusulkan mencadangkan bahawa pengumpulan bayaran itu "dilaksanakan selama bertahun-tahun atas dasar perundangan yang pemerintah kini menganggap tidak mencukupi".

"Ia adalah satu perkara penting kerana ia berlaku di keempat-empat agensi di bawah empat akta induk yang berbeza, dan ia tidak dapat dikesan selama ini," katanya.

Beliau juga bertanya sama ada semakan antara pemerintah dijalankan apabila jurang tersebut ditemui.

AP Tanpa Kawasan Undi (NCMP) Andre Low membandingkannya dengan perbahasan pada 2023 mengenai Rang Undang-Undang yang membatalkan peruntukan berkaitan dengan peranan Presiden Tharman Shanmugaratnam di luar negara, sambil menarik perhatian bahawa hujahan pada ketika itu boleh diterima kerana tiada sesiapa yang berprasangka.

Setiausaha Agung WP Pritam Singh kemudian bertanya sama ada pemerintah mempunyai data mengenai jumlah individu yang terjejas dan keseluruhan jumlah yang terlibat, dan sama ada ia bersedia mendedahkannya sebelum undi dilaksanakan.

MND MENYATAKAN REKOD TIDAK MUDAH DIAKSES

Menteri Pembangunan Negara Chee Hong Tat berkata data menyeluruh tidak mudah diakses.

"Bukannya kita tidak mahu memberikan jumlahnya... Bayaran itu dikumpul selama tempoh yang lama, jika tidak silap saya, sejak kemerdekaan, apabila ia pertama kali bermula," katanya.

"Jadi kita mungkin tidak mempunyai rekod tepat dan penuh mengenai keseluruhan jumlah yang dapat kita kongsi bersama anda."

Beliau menambah pihak kementerian akan cuba mengumpul dan berkongsi data itu.

Kedua-dua Encik Chee dan Dr Syed Harun juga menolak cadangan WP bahawa bayaran itu dikumpul secara haram atau salah.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita