Parlimen lulus Rang Undang-Undang Keadilan di Tempat Kerja; pastikan keharmonian dan keadilan di tempat kerja
Rang Undang-Undang Keadilan di Tempat Kerja (WFL) diluluskan Parlimen pada Rabu (8 Jan) setelah hampir 30 Anggota Parlimen bangkit membahaskannya.
SINGAPURA: Rang Undang-Undang Keadilan di Tempat Kerja (WFL) diluluskan Parlimen pada Rabu (8 Jan) setelah hampir 30 Anggota Parlimen bangkit membahaskannya.
Ia memperkenalkan lebih banyak cara untuk pekerja mendapatkan bantuan apabila menghadapi diskriminasi.
Ini adalah yang pertama daripada dua rang mengenai keadilan di tempat kerja.
Rang undang-undang kedua mengenai proses untuk individu membuat tuntutan persendirian, akan dibentangkan kemudian.

Menteri Negara Kanan Tenaga Manusia Zaqy Mohamad berkata rang itu akan memastikan keharmonian dan keadilan di tempat kerja melalui langkah-langkah perlindungan yang lebih kukuh.
Encik Zaqy berkata lebih 95 peratus aduan kepada Perikatan Tiga Pihak bagi Amalan Pekerjaan Adil dan Progresi (TAFEP) dan MOM melibatkan diskriminasi.
Ini termasuk yang berkaitan umur, kerakyatan, jantina, status perkahwinan, kehamilan, tanggungjawab penjagaan, kaum, agama, keupayaan bahasa, ketidakupayaan, dan kesihatan mental.
Namun, Encik Zaqy berkata terdapat penurunan ketara dalam aduan diskriminasi sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
"Jika dilihat trend seperti dalam sedekad lalu pada tahun 2014 hingga ke 2021, kita melihat antara purata ataupun average aduan setiap tahun anggaran 379 setiap tahun. Pada tahun 2022, kita melihat jumlah itu turun kepada 264 dan pada tahun 2023, kita melihat jumlah turun lagi kepada 220. Jadi dari segi jumlah, kita melihat trend yang sedang menurun dari segi aduan diskriminasi di tempat kerja," kongsi Encik Zaqy kepada wartawan Nazirah Jamzuri.
Walaupun kemajuan itu memberangsangkan, pemerintah katanya, tidak mengambil ringan isu diskriminasi.
Rang Undang-Undang Keadilan di Tempat Kerja (WFL) akan memberikan perlindungan tambahan kepada pekerja dan pencari kerja.
"Kita memberi perlindungan yang lebih baik untuk kita mempunyai rang undang-undang yang boleh dikatakan fleksibel di mana sesuatu majikan itu dapat menjalankan keperluan pekerjaan mereka dan keperluan bisnes mereka. Tetapi pada masa yang sama, ia juga memberi mereka kejelasan ataupun undang-undang dan peraturan yang jelas bagaimana mereka harus menjaga keharmonian dan keadilan di tempat kerja," jelas Encik Zaqy.
Untuk menangani aduan diskriminasi, tiga peringkat utama diperkenalkan.
Majikan mesti menyediakan mekanisme pengendalian rungutan (grievance handling) yang memastikan identiti pengadu dilindungi.
Jika aduan tidak dapat diselesaikan di peringkat syarikat, ia boleh dirujuk kepada pengantaraan, seperti yang kini dikendalikan oleh TAFEP.
Sekiranya pengantaraan gagal, aduan boleh dibawa ke tribunal khas untuk tindakan lanjut.
ADA SITUASI YANG MEMBOLEHKAN PENGECUALIAN

Rang Undang-Undang WFL itu memberikan panduan dan perlindungan untuk memastikan pekerja dinilai berdasarkan merit dan kelayakan, bukan berdasarkan ciri-ciri peribadi yang tidak relevan.
Namun, ada situasi tertentu di mana keperluan unik sesuatu jawatan pekerjaan membolehkan pengecualian.
"Bagi majikan, apa yang penting adalah mereka adalah jelas dalam pencarian mereka apabila mereka mencari pekerja akan keperluan syarikat dan pada masa sama mereka dapat buat justifikasi di mana keperluan itu unik bagi mereka.
Misalnya, kita mempunyai majikan yang memerlukan seorang pegawai keselamatan yang membawa senjata api, saya rasa ini satu pekerjaan berisiko memerlukan seseorang yang mempunyai kesihatan mental yang sihat," kata Encik Zaqy.
Beliau turut memberi dua lagi contoh di mana pengecualian boleh dilakukan.

"Jika kita memerlukan seorang ahli terapi wanita (pula), oleh kerana ia satu spa yang mempunyai pelanggan semua wanita yang memerlukan privasi bagi pelanggan wanita mereka, ini saya rasa satu keperluan yang unik di mana kita membolehkan pengecualian diberikan kepada syarikat tersebut.
"Kita juga mempunyai kes-kes di mana sesuatu keperluan itu diberi definisi oleh undang-undang seperti contohnya bagi pemandu bas, walaupun mereka diperlukan melebihi umur 21 tahun, tetapi ini diberi definisi oleh kerana undang-undang yang hanya membenarkan mereka memberi lesen vokasi bagi pemandu bas yang berusia lebih daripada 21 tahun. Jadi jika mereka diperlukan untuk melebihi 21 tahun, itu bukan satu diskriminasi mengenai umur. Jadi, kita harus juga praktikal dari segi bagaimana kita membuat aplikasi bagi WFL ini," menurut Encik Zaqy lagi.
KEPERCAYAAN ASAS DALAM HUBUNGAN KERJA DI SG
Encik Zaqy turut menekankan bahawa kepercayaan adalah asas utama dalam hubungan kerja di Singapura.
"Walaupun kita mempunyai situasi atau suasana yang baik di Singapura, di mana kita mempunyai kepercayaan di antara majikan dan juga pekerja, apa yang penting adalah kita teruskan kepercayaan ini walaupun kita mempunyai WFL. Jadi kita tidak mahu situasi seperti di negara yang barat, misalnya yang mempunyai rasa curiga dan kurang kepercayaan oleh kerana undang-undang itu membolehkan mereka menjalankan tuntutan mahkamah dan tindakan undang-undang dan sebagainya," ujar beliau.
Rang undang-undang kedua akan memperkenalkan proses untuk individu membuat tuntutan persendirian, dan akan menjadi peluasan Tribunal Tuntutan Pekerjaan (ECT) sedia ada.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.