Skip to main content

Singapura

Parlimen lulus rang undang-undang benarkan pihak berkuasa tahan tanpa had pesalah jenayah serius

Anggaran Waktu Membaca:
Parlimen lulus rang undang-undang benarkan pihak berkuasa tahan tanpa had pesalah jenayah serius

Gambar: TODAY

Diterbitkan : 05 Feb 2024 08:08PM Dikemas Kini : 06 Feb 2024 12:23AM
SINGAPURA: Parlimen telah meluluskan satu rang undang-undang yang membolehkan pihak berkuasa menahan tanpa had para pesalah yang melakukan jenayah serius seperti membunuh dan merogol.

Pesalah-pesalah sedemikian hanya boleh dibebaskan dari penjara jika memenuhi syarat-syarat tertentu.

Pilihan untuk menjatuhkan hukuman itu terletak di tangan mahkamah tetapi pembebasan serta syarat-syaratnya ditentukan oleh Menteri Ehwal Dalam Negeri.

Pesalah akan terus ditahan jika dianggap masih menimbulkan risiko tinggi kepada orang ramai.

Sebelum ini, para pesalah yang melakukan jenayah serius wajib dibebaskan setelah selesai menjalani hukuman mereka.

Namun di bawah rang undang-undang yang diluluskan itu, pembebasan mereka bergantung kepada penilaian sebuah panel mengenai risiko, jika mereka dibebaskan.

Sekiranya mereka didapati masih menimbulkan risiko tinggi kepada orang ramai, pesalah berkenaan boleh terus ditahan.

Perubahan itu adalah sebahagian daripada Hukuman Bagi Perlindungan Awam Yang Dipertingkat - atau SEPP - di bawah rang tersebut yang diluluskan selepas perbahasan selama empat jam.
Setiausaha Parlimen Kanan bagi Undang-Undang Rahayu Mahzam berkata pada Isnin (5 Feb) bahawa rejim penjatuhan hukuman yang dipertingkat, yang boleh menahan para pesalah yang berisiko tinggi dan telah melakukan jenayah serius seumur hidup, boleh dilaksanakan bagi kurang daripada 30 kes setahun.

Dengan Rang Undang-Undang Prosedur Jenayah (Pelbagai Pindaan) diluluskan, para pegawai polis akan mempunyai lebih banyak kuasa untuk menjalani pemeriksaan tanpa perlu mengeluarkan waran serta memaksa suspek menjalani pemeriksaan perubatan forensik apabila ia relevan kepada siasatan.

Empat belas Anggota Parlimen (AP) tampil untuk berucap semasa perbahasan mengenai Rang Undang-Undang itu. Sebilangan juga cuba mendapatkan penjelasan bagaimana pegawai penguatkusaaan undang-undang akan melaksanakan bidang kuasa yang diperluaskan itu.

MENGAPA IA PENTING

Pindaan pada Kanun Prosedur Jenayah - undang-undang utama Singapura yang mengawal proses keadilannya - cukup banyak.

Hukuman Bagi Perlindungan Awam Yang Dipertingkat (SEPP) akan dijatuhkan ke atas "pesalah yang sangat berbahaya", yang telah melakukan jenayah ganas atau seksual yang serius. Ini termasuk pembunuhan yang dilakukan, percubaan membunuh, rogol dan penembusan seksual tehadap individu di bawah umur.

Pesalah mestilah berusia sekurang-kurangnya 21 tahun ketika kesalahan itu dilakukan, dan menimbulkan risiko besar menyebabkan kecederaan fizikal atau seksual yang serius kepada orang lain. Mahkamah akan memutuskan sama ada untuk mengenakan SEPP ke atas pesalah dan menentukan hukuman minimum antara lima hingga 20 tahun, yang boleh dilanjutkan kepada seumur hidup.

Selepas pesalah itu telah selesai menjalani tempoh minimum penjara, Menteri Ehwal Dalam Negeri itu akan menilai sama ada mereka wajar dibebaskan "secara berlesen" - dengan syarat seperti 'e-tagging' dan kaunseling. Menteri itu akan dimaklumkan oleh lembaga semakan tersebut yang terdiri daripada pakar-pakar berkaitan seperti hakim bersara, peguam, pakar psikiatri dan ahli psikologi.

Syarat-syarat pembebasan akan tertakluk kepada semakan yang dilakukan sekurang-kurangnya setiap dua tahun. Sekiranya dinilai sesuai, pesalah boleh dilepaskan tanpa syarat, menamatkan tempoh hukuman mereka.

Pindaan lain meliputi bidang kuasa penguatkuasaan undang-undang berkaitan pengumpulan bukti.

Para pegawai polis akan dibenarkan untuk melakukan pemeriksaan tanpa mengeluarkan waran apabila mereka mempunyai alasan untuk mempercayai seorang suspek yang melakukan kesalahan di mana dia boleh ditahan, memiliki atau mempunyai kuasa ke atas bukti.

Satu lagi pindaan pada kod itu menjadikan ia sebagai satu jenayah bagi orang yang dituduh untuk menolak pemeriksaan perubatan forensik tanpa alasan yang munasabah.
Sumber : CNA/MU/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita