Parlimen lulus rang undang-undang baru beri lebih perlindungan kepada mangsa keganasan keluarga
SINGAPURA: Parlimen meluluskan rang undang-undang baru untuk melindungi mangsa keganasan keluarga dengan lebih baik.
Ia termasuk menurunkan had usia individu yang boleh memohon bagi Perintah Perlindungan Peribadi (PPO) kepada 18 tahun.
Takrifan bagi istilah keganasan keluarga juga dikemas kini bagi meliputi penderaan fizikal, seksual, emosi dan psikologi.
Semua perubahan itu adalah sebahagian daripada saranan Pasukan Bertindak mengenai Keganasan Keluarga di tengah-tengah kes yang meningkat.
Tahun lalu, Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) menyiasat hampir 2,300 kes baru berkaitan keganasan keluarga.
Talian antikeganasan dan gangguan seksual pula menerima lebih 10,000 panggilan meminta bantuan.
Dengan Piagam Wanita dipinda, Menteri Negara Sun Xueling berkata mangsa kini lebih diperkasa untuk melindungi diri mereka.
Pihak berkuasa pula mempunyai lebih banyak kuasa untuk campur tangan dan melindungi mereka yang tidak berdaya melindungi diri sendiri.
"Mangsa seharusnya boleh mendapatkan perlindungan terhadap kelakuan berbahaya tanpa perlu membuktikan apa yang diketahui atau patut diketahui si pelaku.
"Misalnya, seorang mangsa seharusnya boleh mendapatkan Perintah Perlindungan Peribadi (PPO) terhadap pelaku yang berubah menjadi ganas di bawah pengaruh dadah atau alkohol, sekalipun jika dia mungkin tidak sedar sepenuhnya kesan daripada tindakannya," kata Cik Sun.
Para Anggota Parlimen (AP) cuba untuk mendapatkan jaminan bahawa pegawai yang bertugas memberi perlindungan kepada mangsa keganasan keluarga dilengkapi dengan kemahiran serta diberi sokongan yang diperlukan.
Pegawai itu merujuk kepada karyawan perkhidmatan sosial yang diberi kuasa untuk mengeluarkan perintah kecemasan dalam kes berisiko tinggi, memohon PPO bagi pihak mangsa dan meminta pemantauan elektronik bagi pesalah.
AP GRC Nee Soon, Louis Ng berkata: "Pegawai itu harus peka terhadap keperluan mangsa keganasan keluarga. Boleh MOS (Menteri Negara) jelaskan kelayakan dan pengalaman yang diperlukan untuk menjadi seorang pelindung?"
AP GRC Aljunied, Sylvia Lim juga bertanya: "Kami semua sedia maklum akan cabaran tenaga manusia yang dihadapi sekian lama dalam melakukan pengawasan barisan hadapan. Bagaimana Pemerintah berhasrat untuk memenuhi tuntutan tenaga manusia yang diperuntukkan Rang Undang-undang tersebut?"
Cik Sun menjawab: "Pegawai yang bertugas memberi perlindungan dilatih dalam menguruskan kes-kes keganasan dan perlindungan keluarga serta mempunyai kepakaran dalam jagaan dan sokongan trauma.
"Kami akan memastikan pelindung kami akan terus disediakan dengan sumber yang wajar seperti tenaga manusia yang mencukupi, latihan dan akses kepada penyelidikan terkini."
Meskipun perubahan baru itu tertakluk hanya kepada hubungan kekeluargaan, Cik Sun berkata MSF sedang mempertimbangkan undang-undang khusus tentang keganasan keluarga.
Ini akan memperkukuhkan perlindungan bagi individu yang mempunyai hubungan bukan kekeluargaan yang intim.
Beliau akan berkongsi butiran lanjut apabila ia siap kelak.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.