Skip to main content

Singapura

Parlimen bincang isu virus Nipah, ekonomi Singapura & kereta tanpa pemandu esok

Anggaran Waktu Membaca:
Parlimen bincang isu virus Nipah, ekonomi Singapura & kereta tanpa pemandu esok
Pemandangan Bangunan Parlimen di Singapura. (Gambar fail: CNA/Syamil Sapari)
Diterbitkan : 11 Feb 2026 05:54PM Dikemas Kini : 12 Feb 2026 02:34PM
SINGAPURA: Maklum balas Singapura terhadap kes virus Nipah yang dikesan baru-baru ini di wilayah Bengal Barat, India dan Bangladesh, serta pertumbuhan ekonomi negara, akan dibincangkan apabila Parlimen bersidang pada Khamis (12 Feb).

Beberapa Ahli Parlimen (AP) mengemukakan soalan mengenai sama ada pihak berkuasa akan meningkatkan langkah-langkah pencegahan terhadap virus tersebut bagi melindungi orang awam.

Selain situasi virus Nipah, agenda lain termasuklah prestasi ekonomi Singapura, kesan tarif dan tekanan harga lain, penggunaan kenderaan autonomi (AV), serta kesalahan trafik yang dilakukan oleh kenderaan berpendaftaran asing.

Parlimen akan menangani soalan-soalan ini sebelum kenyataan Belanjawan dibentangkan oleh Perdana Menteri Lawrence Wong - yang juga Menteri Kewangan - kira-kira pukul 3.30 petang Khamis.

AP Joan Pereira (PAP-Tanjong Pagar) bertanya sama ada Kementerian Kesihatan (MOH) akan mewajibkan pengisytiharan kesihatan dan pemeriksaan bagi pelawat dari kawasan berisiko tinggi di pintu masuk Singapura, memandangkan kadar kematian virus Nipah yang tinggi. Beliau juga ingin tahu jika MOH akan menyediakan nasihat kesihatan dan maklumat kepada doktor serta orang ramai.

AP Gerald Giam (WP-Aljunied) pula bertanya mengenai perkembangan penyelidikan tempatan terhadap kit diagnostik dan vaksin virus Nipah, serta sama ada Singapura mempunyai rancangan untuk membangunkan makmal Tahap Keselamatan Biologi 4 (BSL-4) untuk ujian vaksin. Beliau juga ingin tahu tentang geran atau subsidi yang disediakan bagi firma tempatan untuk memastikan penyelidikan tersebut terus berdaya maju walaupun tanpa pasaran komersial.

Agensi Penyakit Berjangkit (CDA) menyatakan Sabtu lalu bahawa pihaknya sedang memantau rapi laporan kes jangkitan virus Nipah di barat laut Bangladesh, dan setakat ini tiada kes yang dikaitkan dengan India atau Bangladesh ditemui di Singapura.

Kementerian Kesihatan India memaklumkan pada 27 Januari bahawa terdapat dua kes virus Nipah yang disahkan di wilayah Bengal Barat sejak Disember. Singapura sudah meningkatkan langkah berjaga-jaga secara bertahap-tahap sejak 28 Januari. Pengamal perubatan dan makmal dikehendaki segera memaklumkan CDA mengenai kes yang disahkan atau disyaki, manakala pemeriksaan suhu sudah dilaksanakan di pusat pemeriksaan udara dan laut bagi ketibaan dari kawasan terjejas.

Virus itu dianggarkan mempunyai kadar kematian antara 40 hingga 75 peratus, dan boleh menyebabkan penyakit bermula daripada gangguan pernafasan sehinggalah radang otak.

EKONOMI

Ahli Parlimen turut memfailkan soalan mengenai prestasi ekonomi Singapura serta kesan tarif dan tekanan harga yang lain.

AP He Ting Ru (WP-Sengkang) bertanya sama ada terdapat anggaran tentang berapa banyak daripada pertumbuhan GDP 2025 yang dilaporkan berpunca daripada baucar dan kredit terhad masa yang merangsang perbelanjaan pengguna dalam jangka pendek. Beliau juga ingin tahu sama ada pemerintah sudah menilai sejauh mana pertumbuhan ekonomi jika tanpa langkah-langkah tersebut.

Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) mengumumkan pada Selasa bahawa GDP Singapura tumbuh 5 peratus pada tahun 2025, mengatasi anggaran awal sebanyak 4.8 peratus.

AP Yip Hon Weng (PAP-Yio Chu Kang) bertanya mengenai kriteria yang digunakan oleh MTI untuk menentukan bila kesan tarif berubah menjadi tekanan harga bagi rakyat Singapura, khususnya isi rumah berpendapatan rendah. Ini menyusuli tarif asas 10 peratus yang dikenakan oleh pentadbiran Encik Trump ke atas Singapura sejak tahun lalu, di mana eksport Singapura ke Amerika Syarikat dilaporkan jatuh hampir 30 peratus tahun ke tahun.

KENDERAAN TANPA PEMANDU (AV)

Isu penggunaan kenderaan tanpa pemandu (AV) di Singapura dan kesalahan trafik oleh kenderaan asing juga akan diangkat.

Menyusuli insiden sebuah AV melanggar pembahagi jalan di Punggol bulan lalu, AP Melvin Yong (PAP-Radin Mas) bertanya sama ada penyiasat dilatih secukupnya untuk membezakan kesalahan sistem daripada kesilapan manusia.

Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) menyatakan pada 29 Januari bahawa siasatan mendapati insiden yang melibatkan kereta pandu sendiri kendalian ComfortDelGro itu berpunca daripada "campur tangan manual" oleh pegawai keselamatan di dalam kenderaan tersebut.

Mengenai isu kesalahan trafik oleh kenderaan asing, AP Gho Sze Kee (PAP-Mountbatten) mengemukakan soalan tentang bagaimana pemandu yang bersalah dikenal pasti dan disaman, terutamanya apabila mereka atau pemilik kenderaan tidak menetap di Singapura.

ISU-ISU LAIN

Soalan lain yang difailkan termasuklah mengenai kumpulan terbaharu fail Epstein dan situasi jerebu. Cik He bertanya sama ada terdapat sebarang implikasi terhadap Singapura termasuk pemerdagangan manusia dan kesalahan seksual melibatkan kanak-kanak bawah umur.

AP Christopher de Souza (PAP-Holland-Bukit Timah) pula bertanya tentang penilaian terkini jerebu rentas sempadan dan sama ada langkah serantau untuk mengurangkannya sedang diperkukuh. Doktor tempatan melaporkan peningkatan kes pernafasan berikutan jerebu yang masih berlarutan di beberapa bahagian di Singapura.

Selain itu, Rang Undang-undang Tembakau dan perkara lain dijadualkan untuk diperkenalkan.
Sumber : CNA/NK/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita