Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Parlimen bincang isu dedahkan nombor NRIC, amalan teleperubatan dan vape

Anggaran Waktu Membaca:
Parlimen bincang isu dedahkan nombor NRIC, amalan teleperubatan dan vape

Gambar fail: Syamil Sapari/CNA

Diterbitkan : 06 Jan 2025 09:10PM Dikemas Kini : 06 Jan 2025 09:11PM
SINGAPURA: Isu nombor Kad Pengenalan (NRIC) tidak lagi disembunyikan akan menjadi tumpuan apabila parlimen bersidang pada Selasa (7 Jan).

Anggota Parlimen (AP) juga mengemukan soalan mengenai amalan teleperubatan selepas lesen pembekal khidmat itu, Klinik MaNaDr dibatalkan. Selain itu ialah soalan mengenai vape serta kemungkinan perlindungan lanjut diperkenalkan bagi penggunaan media sosial untuk kanak-kanak dan remaja.

Menurut kertas perintah yang dikeluarkan pada Isnin (6 Jan), para AP ingin tahu tentang rasional di sebalik rancangan untuk menghentikan amalan bagi sebahagian nombor NRIC disembunyikan, bilakah keputusan itu dibuat, dan sama ada tindakan diambil terhadap Penguasa Pengawalan Perakaunan dan Korporat (ACRA) kerana mendedahkan nombor NRIC.

Kebimbangan privasi dibangkitkan selepas portal Bizfile baharu, yang dilancarkan pada 9 Disember, menunjukkan nama dan nombor NRIC penuh secara percuma melalui fungsi cariannya.

Sebelum ini, hasil carian memaparkan nombor NRIC yang diselindung dan pengguna perlu membayar untuk mendapatkan butiran penuh, termasuk nombor NRIC serta alamat.

Pada 14 Disember, pemerintah berkata ia berhasrat untuk mengubah amalan menyembunyikan nombor NRIC, tetapi portal Bizfile baharu dilancarkan sebelum rancangan itu diumumkan kepada orang ramai.

Pemerintah pada 19 Disember memohon maaf kepada orang ramai atas kebimbangan yang ditimbulkan mengenai pendedahan NRIC, manakala ketua eksekutif ACRA Chia-Tern Huey Min berkata kejadian itu disebabkan oleh kelemahan dalam penyelarasan.

Beliau menambah bahawa Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) pada Julai "mengeluarkan surat pekeliling bagi agensi pemerintah untuk berhenti sebarang rancangan menggunakan nombor NRIC yang disembunyikan dalam proses dan perkhidmatan perniagaan baharu".

Lebih 30 soalan mengenai perkara itu dikemukakan oleh AP.

AP Liang Eng Hwa (PAP-Holland-Bukit Timah), Dr Tan Wu Meng (PAP-Jurong) dan Sharael Taha (PAP-Pasir Ris-Punggol) meminta dijelaskan rasional di sebalik keputusan pemerintah untuk menghentikan penggunaan nombor NRIC yang disembunyikan.

Encik Liang juga ingin tahu sama ada dengan mendedahkan nombor NRIC secara penuh kepada orang ramai akan menimbulkan risiko keselamatan atau isu privasi, serta sama ada sektor swasta ditetapkan untuk lakukan serupa.

Ketua Pembangkang Pritam Singh (WP- Aljunied) ingin tahu bilakah surat pekeliling MDDI mengenai perubahan amalan menyembunyikan nombor NRIC dimaklumkan kepada agensi pemerintah, dan bila pemerintah memutuskan perubahan ituserta mula membuat perancangan untuk berbuat demikian.

Beliau juga bertanya sama ada sebarang perbincangan dilakukan di peringkat pemerintah sebelum dan selepas surat pekeliling itu dikeluarkan dan sama ada agensi pemerintah lain, selain ACRA, telah salah tafsir atau salah faham surat tersebut.

AP Sylvia Lim (WP-Aljunied) pula ingin tahu sama ada tindakan akan diambil ke atas ACRA atau pegawainya disebabkan pendedahan nombor NRIC melalui portal Bizfile dan sama ada pengecualian berterusan terhadap agensi pemerintah daripada kewajipan Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA) perlu dikaji semula.

Ketika Mediacorp bertanya pada sidang media 19 Disember lalu berhubung tindakan yang akan diambil terhadap kakitangan ACRA atau mana-mana agensi lain yang didapati bertanggungjawab atas kesalahan itu, Menteri Kedua Kewangan Indranee Rajah ketika itu berkata bahawa adalah "terlalu awal pada peringkat ini untuk mengatakan sama ada tindakan akan diambil ke atas kakitangan terbabit”.

Beberapa soalan lain tertumpu kepada risiko keselamatan dan kesan akibat pendedahan nombor NRIC.

AP Yip Won Heng (PAP-Yio Chu Kang) bertanya sama ada langkah untuk mendedahkan nombor NRIC boleh meningkatkan risiko penipuan membabitkan NRIC, terutamanya dalam kalangan warga emas, manakala AP Christopher de Souza (PAP-Holland-Bukit Timah) ingin tahu bagaimana pemerintah akan memastikan rakyat Singapura tidak terdedah kepada risiko penipuan dan pencurian identiti akibat daripada keputusan itu

AP He Ting Ru (WP-Sengkang) meminta data tentang jumlah pertubuhan yang disiasat dan didenda di bawah PDPA kerana mendedahkan nombor NRIC, serta unjuran kos menganjurkan kempen pendidikan semula mengenai penggunaan maklumat NRIC yang sewajarnya.
AMALAN TELEPERUBATAN

Para AP juga memfailkan soalan mengenai penyalahgunaan telekesihatan. Amalan teleperubatan mendapat perhatian sepanjang tahun lalu, dengan lesen ManaDr Clinic kemudiannya dibatalkan pada bulan lalu.

AP Lim Wee Kiak (PAP-Sembawang) ingin tahu berapa kali kejadian melanggar garis panduan teleperubatan dilaporkan kepada atau dikenal pasti oleh Kementerian Kesihatan (MOH) pada tahun lalu, memandangkan penemuan baru-baru ini kemungkinan berlakunya kesilapan dalam perundingan telekesihatan.

Beliau juga ingin tahu sebab-sebab utama berlakunya kesilapan serta langkah yang diambil untuk mengurangkan kesilapan tersebut.

Encik Taha bertanya sama ada MOH memerhatikan trend amalan teleperubatan yang tidak beretika oleh pembekal berlesen bagi perkhidmatan perubatan pesakit luar, terutamanya perundingan singkat.

Beliau juga bertanya sama ada terdapat sebarang bukti penyalahgunaan dalam hal memberi ubat dan sama ada terdapat sebarang hukuman atau tindakan tatatertib lain yang telah dikenakan ke atas pengamal perubatan berlesen yang dikaitkan dengan Klinik ManaDr.

MOH menyatakan pada Oktober lalu bahawa ia akan merujukkan 41 doktor yang menjalankan telekonsultasi untuk Klinik MaNaDr kepada Majlis Perubatan Singapura (SMC) bagi kemungkinan salah laku profesional kerana mereka berpotensi melanggar satu atau lebih garis panduan etika yang ditetapkan oleh majlis itu.

AP Ang Wei Neng (PAP-West Coast) ingin tahu berapa banyak klinik perubatan yang menyediakan perkhidmatan teleperubatan telah diaudit atau disiasat kerana berlaku penyelewengan.

Beliau juga bertanya tentang jumlah klinik yang telah diberi amaran atau dikenakan hukuman lebih berat selepas diaudit atau disiasat, dan kesalahan yang biasa dilakukan oleh klinik tersebut.

RISIKO DAN KATEGORI PERANTI VAPING

Tiga AP juga bertanya tentang risiko dan kategori bagi peranti vape sedang Singapura meningkatkan penguatkuasaan terhadap vape.

Encik Tan ingin tahu penilaian pemerintah mengenai risiko vape dan peralatan yang digunakan semula untuk diedarkan serta pentadbiran bahan yang dilarang di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah.

Beliau juga bertanya sama ada boleh wujud kerjasama lebih erat antara agensi untuk menangani isu akibat vape.

AP Zhulkarnain Abdul Rahim (PAP-Chua Chu Kang) ingin tahu sama ada Kementerian Dalam Negeri (MHA) telah mengkaji hubungan antara vape dengan sebarang peningkatan risiko penyalahgunaan dadah dan risiko vape digunakan sebagai peranti untuk mengambil dadah terkawal.

Beliau juga bertanya sama ada pemerintah akan mengklasifikasikan vape sebagai alat atau artikel lain di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah, memandangkan risiko vape dikaitkan dengan penyalahgunaan dadah.

Encik Yip pula ingin tahu sama ada pemerintah akan mempertimbangkan menyenaraikan vape yang mengandungi dadah terkawal di bawah rangka kerja undang-undang yang sama seperti dadah, sekali gus mengenakan hukuman yang sama.

Beliau turut bertanya mengenai langkah khusus yang diambil untuk meningkatkan kesedaran orang ramai khususnya golongan muda mengenai bahaya mengambil dadah menggunakan vape.

Soalan lain yang difailkan termasuk keberkesanan larangan terhadap media sosial untuk melindungi pengguna muda berikutan larangan baru-baru ini yang diluluskan oleh pemerintah Australia dan laporan terbaru jenayah melibatkan pisau.

Dua Rang Undang-undang – Rang Undang-undang Perlembagaan Republik Singapura (Pindaan) dan Rang Undang-undang Mengekalkan Keharmonian Kaum dijadual diperkenalkan.

Lapan Rang Undang-undang lain, termasuk Rang Undang-undang Perlindungan daripada Penipuan, Rang Undang-undang Trafik Jalan Raya (Pelbagai Pindaan) dan Rang Undang-undang Keadilan di Tempat Kerja dibentangkan untuk bacaan kali kedua.

Usul penangguhan juga dikemukakan oleh AP Tanpa Kawasan Undi Hazel Poa untuk sistem Sijil Kelayakan (COE) yang lebih saksama.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan