Skip to main content

Singapura

Parlimen bentang kenyataan menteri berhubung tuduhan terhadap NEA bagi letupan Loji Pembakaran Sampah Tuas

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 08 Jan 2024 04:10PM Dikemas Kini : 08 Jan 2024 08:59PM
SINGAPURA: Parlimen akan mendengar butiran lanjut mengenai letupan maut di Loji Pembakaran Sampah Tuas pada 2021 dan pertuduhan yang dihadapi Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), apabila ia bersidang pada Selasa (9 Jan).

Menteri Kemampanan dan Sekitaran Grace Fu akan menyampaikan kenyataan menteri mengenai perkara tersebut, dua minggu selepas NEA dan dua pekerjanya didakwa gagal memastikan keselamatan di tempat kerja.

Dua pegawai NEA maut apabila letupan berlaku pada 23 Sep 2011. Mereka ditugaskan menyiasat masalah di dalam bilik suis elektrik di Loji Pembakaran Sampah Tuas.

Anggota Parlimen Poh Li San (PAP-Sembawang) mengemukakan soalan tentang bagaimana NEA telah mengukuhkan amalan keselamatan di tempat kerja berikutan insiden berkenaan.

Encik Melvin Yong (PAP-Radin Mas) pula akan bertanya mengenai langkah-langkah yang dilaksanakan di semua loji pembakaran sampah bagi memastikan insiden sedemikian tidak berlaku lagi.

Beberapa soalan pula berkisar pada projek tapak tambak "Long Island" di sepanjang East Coast, yang bertujuan melindungi kawasan itu daripada peningkatan paras laut dan banjir, selain mewujudkan ruang baharu untuk perumahan.

AP Louis Ng (PAP-Nee Soon) akan bertanya mengenai langkah yang akan diambil untuk memastikan kerja-kerja binaan tapak 'Long Island' tidak akan mendatangkan kesan yang ketara terhadap habitat marin seperti terumbu karang.

Seperti Encik Ng, Dr Lim Wee Kiak (PAP-Sembawang) akan bertanya sama ada pemerintah bakal melibatkan kumpulan-kumpulan dan penyelidik alam sekitar dalam proses rundingan sebelum memulakan projek itu.

Cik Cheryl Chan (PAP-East Coast) pula ingin tahu tentang kesan jangka panjang ke atas harga hartanah di kawasan itu dan sama ada infrastruktur trafik yang penting akan diperlukan untuk memudahkan aliran trafik memasuki kawasan tersebut.

Berhubung isu menaikkan had bilangan penghuni sewa flat HDB, Ketua Pembangkang Pritam Singh memfailkan pertanyaan sama ada Kementerian Pembangunan Negara menjangkakan kes pertikaian antara jiran meningkat, dan sama ada Lembaga Perumahan mempunyai cukup keupayaan untuk menghuraikan sebarang aduan.

Rakan sekerjanya dari Parti Pekerja (WP) Louis Chua (WP-Sengkang) juga ingin tahu mengenai jumlah kes melibatkan pelanggaran terhadap had penghuni bagi flat HDB dan rumah privet sejak lima tahun lalu.

Pihak berkuasa mengumumkan bulan lalu bahawa bilangan penghuni yang dibenarkan di dalam flat HDB dan hartanah kediaman swasta akan dinaikkan buat sementara selama sekitar tiga tahun untuk memenuhi permintaan sewa serta menyokong isi rumah yang mahu menyewa.

Isu-isu lain yang akan dibangkitkan di Parlimen termasuk serangan Houthi di Laut Merah dan kesannya terhadap keselamatan maritim Singapura, serta kesan penyalahgunaan unit darah tali pusat Cordlife di Singapura.

Beberapa Rang Undang-Undang juga akan dibentangkan untuk bacaan kali kedua, termasuk membenarkan ibu bapa mendaftarkan nama bayi mereka yang dilahirkan tidak bernyawa.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita