Skip to main content

Singapura

Parlimen bakal bincang penutupan Yale-NUS, 'percanggahan' dalam rekod kementerian

Percanggahan yang mungkin terdapat dalam beberapa dokumen yang diaudit oleh Pejabat Juruaudit Negara (AGO) dan kemas kini siasatan terhadap kelemahan dikesan serta penggabungan Kolej Yale-NUS dengan USP adalah antara isu yang akan dibincangkan apabila Parlimen bersidang pada Isnin (13 Sep)

Anggaran Waktu Membaca:
Parlimen bakal bincang penutupan Yale-NUS, 'percanggahan' dalam rekod kementerian

(Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 10 Sep 2021 11:56PM Dikemas Kini : 10 Sep 2021 11:58PM

SINGAPURA: Percanggahan yang mungkin terdapat dalam beberapa dokumen yang diaudit oleh Pejabat Juruaudit Negara (AGO) dan kemas kini siasatan terhadap kelemahan dikesan serta penggabungan Kolej Yale-NUS dengan Program Sarjana Universiti (USP) adalah antara isu yang akan dibincangkan apabila Parlimen bersidang pada Isnin (13 Sep).

Ketua Pembangkang Pritam Singh (WP-Aljunied) menyerahkan soalan tentang tindakan yang akan diambil menyusuli penemuan dokumen-dokumen yang diubah dan dipalsukan di beberapa kementerian serta lembaga berkanun. Beliau juga meminta kemas kini berhubung siasatan melibatkan kes-kes ini.

Anggota Parlimen (AP) Yip Hon Weng (PAP-Yio Chu Kang) bertanya sebab kelemahan seumpama itu terus berulang serta kementerian dan agensi manakah yang berulang kali dipanggil oleh AGO.

AP Sylvia Lim (WP-Aljunied) mengemukakan soalan tentang sebab di sebalik tindakan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) membuat pembayaran geran perumahan CPF yang "mengelirukan" kepada pemohon tidak layak. Beliau juga memfailkan soalan tentang bagaimana HDB merancang untuk membaiki kawalannya ke atas proses pembayaran.

Beberapa AP memfailkan soalan tentang penggabungan Kolej Yale-NUS dengan Program Sarjana Universiti (USP). AP Nadia Ahmad Samdin (PAP-Ang Mo Kio) ingin tahu jika penggabungan itu akan menjejas kurikulum seni liberal yang "inovatif dan terbuka" serta juga jumlah mahasiswa antarabangsa dan fakulti Kolej Baru.

AP Jamus Lim (WP-Sengkang) pula memfailkan soalan tentang sama ada faktor kewangan memainkan peranan dalam keputusan untuk menggabungkan kedua-dua program itu. Beliau juga bertanya bagaimana NUS merancang untuk memastikan ijazah Yale-NUS mengekalkan nilainya pada masa hadapan.

Berhubung program vaksinasi COVID-19 Singapura, AP Lim Wee Kiak (PAP-Sembawang) menanyakan Menteri Kesihatan (MOH) jika ada rancangan untuk menutup pusat vaksinasi di seluruh negara apabila kadar vaksinasi sebanyak 80 peratus dicapai.

Sementara itu, AP Alex Yam (PAP-Marsiling-Yew Tee) menyerahkan soalan tentang sama ada MOH akan menyemak semula langkah melonggarkan sekatan dan membuka semula sempadan.

AP Louis Ng (PAP-Nee Soon) pula memfailkan usul parlimen untuk menangani isu pendedahan asap rokok dari rumah jiran.

Enam Rang Undang-undang akan diperkenalkan termasuk Rang Undang-undang (Tindak balas) Campur Tangan Asing dan Rang Undang-undang (Pindaan) Industri Keselamatan Privet.

Empat Rang Undang-undang akan dibacakan buat kali kedua termasuk Rang Undang-undang Jenayah (Pindaan Lain). Jika diluluskan, tempoh penjara maksimum bagi kesalahan mencabul kehormatan akan ditambah dari dua tahun kepada tiga tahun.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita