Parlimen bahas usul kurangkan tekanan kos sara hidup; Pemerintah sedia hulur bantuan tambahan jika perlu
SINGAPURA: Pemangku Menteri Pengangkutan Chee Hong Tat menggesa parti pembangkang agar melihat secara lebih luas dan bagi jangka masa panjang ancaman-ancaman fiskal yang dihadapi Singapura.
Encik Chee berkata demikian sebagai respons kepada usul yang diketengahkan Parti Pekerja (WP) agar menyemak dasar dalam bidang-bidang seperti pendapatan, bil api air dan jagaan kesihatan.
Beliau menambah meskipun Singapura mencatatkan tahun kewangan yang baik, ia tidak membelanjakan kurang daripada apa yang diterima dalam bentuk cukai.
Encik Chee berkata: "Kita tidak mempunyai lebihan berstruktur. Perbelanjaan fiskal kita sudah meningkat dan akan terus meningkat dan kita hampir pasti menghadapi jurang pembiayaan pada tahun-tahun mendatang jika kita tidak melakukan apa-apa mengenainya.
"MOF sudah menerbitkan satu kertas berkala pada awal tahun ini untuk menggariskan trend tersebut.
"Kita menjangkakan lebih banyak perbelanjaan sosial dalam jagaan kesihatan bagi penduduk kian menua dan untuk menyokong dengan lebih baik warga mudah terjejas di Singapura."
Tambahnya, Singapura juga perlu terus berdaya saing dalam mewujudkan pekerjaan untuk mengekalkan pertumbuhan gaji sebenar.
Encik Chee berkata ini memandangkan pendapatan sebenar jatuh pada separuh pertama tahun ini, walaupun gaji nominal menganjak sedikit.
"Pengalaman kita di Singapura adalah selagi ekonomi kita tumbuh dan kekal berdaya saing, pendapatan sebenar akan terus naik bagi sebahagian besar pekerja kita. Pada jangka masa panjang, usaha mengekalkan pertumbuhan gaji sebenar adalah untuk meningkatkan daya penghasilan dan meningkatkan kemahiran tenaga kerja kita supaya boleh mendapat pekerjaan dengan gaji yang lebih tinggi," tambahnya.
Pemerintah kata Encik Chee akan terus memantau trend itu dengan rapi dan bersedia menghulurkan lebih banyak bantuan kepada rakyat Singapura jika perlu.
"Kami akan lakukannya dengan cara yang adil, berkesan dan berdaya tahan bagi generasi sekarang dan masa depan,"ujar beliau.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.