Parlimen bahas isu perumahan awam; jaminan kos dalam kemampuan dan akses warga SG
SINGAPURA: Isu perumahan awam terus hangat dibahaskan di Parlimen pada Selasa (7 Feb), dengan ramai Anggota Parlimen (AP) menimbulkan pertanyaan serta mengusulkan saranan bagaimana flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dapat kekal dimampui penduduk Singapura.
Umumnya, para AP sepakat bahawa Singapura perlu terus-menerus menyemak dan mempertingkat dasar-dasarnya, bagi memastikan perumahan awam boleh diakses serta dimampui rakyat.
Antara usulan yang ditimbulkan, adalah untuk melarang pemilikan rumah privet dan flat awam pada masa yang sama.
"Memandangkan permintaan kukuh bagi perumahan awam dan harga flat jualan semula yang tinggi, adakah Pemerintah akan mempertimbangkan bagi pemilik flat HDB menjual flat mereka apabila mereka membeli rumah privet untuk mengosongkan lebih banyak flat pada masa akan datang?
"Dengan cara ini, kami boleh mengutamakan pasangan dan keluarga yang memerlukan rumah," kata Anggota Parlimen Dilantik (NMP) Dr Shahirah Abdullah.
AP pembangkang pula mengusulkan agar bekalan flat dibina lebih awal daripada permintaan, menambah bekalan flat fleksi dua-bilik serta tempoh pajakan yang lebih singkat.
"Pemerintah perlu memberi lebih banyak bantuan kepada warga emas yang ingin tinggal dalam flat bersesuaian dengan keperluan mereka seperti membina lebih banyak flat fleksi dua bilik.
"Langkah tersebut boleh mendatangkan faedah, iaitu menambah bekalan flat jualan semula bagi pembeli rumah baru dan menstabilkan harga mereka," ujar AP GRC Aljunied Gerald Giam.
AP GRC Aljunied Encik Leon Perera pula menyarankan Pemerintah membina flat Bina Ikut Tempahan (BTO) dengan tempoh pajakan 70 tahun, dengan pilihan untuk menambah 29 tahun lagi.
"Ini akan membolehkan flat BTO dijual pada harga lebih rendah. Flat sedemikian mungkin lebih sesuai bagi kebanyakan pembeli," katanya.
Dalam pada itu, AP GRC Ang Mo Kio Nadia Samdin menyarankan lebih banyak flat tiga bilik dibina dengan tempoh penginapan minimum (MOP) lebih singkat.
"Perkenalkan Geran Perumahan Fasa Kehidupan yang dilakarkan untuk mendorong warga Singapura membeli rumah pertama mereka dengan saiz yang sesuai pada permulaan perjalanan sebagai seorang pemilik rumah dan menambah bekalan flat tiga bilik yang sedia ada di pasaran jualan semula dengan membuat penyesuaian pada MOP bagi unit seumpama itu dengan menurunkannya kepada tiga tahun."
Menteri Kedua Kewangan, Indranee Rajah menekankan betapa pemerintah tidak boleh memberikan tanah milik negara secara percuma ataupun memberinya dengan nilai rendah.
"Jika kita berbuat demikian, kami seolah-olah menipu warga Singapura. Jika tanah itu kekal dalam tangan Pemerintah, Pemerintah akan menggunakannya bagi manfaat awam dan kami tidak perlu mengenakan bayaran kos tanah. Namun apabila kami menjual tanah tersebut, kami harus mengenakan bayaran kerana Pemerintah tidak boleh menggunakannya," kata Cik Indranee.
Menekankan lagi komitmen Pemerintah untuk memastikan warga Singapura mampu memiliki rumah sendiri, Menteri Negara Pembangunan Negara Muhammad Faishal Ibrahim berkata, antara matlamat Pemerintah adalah untuk mewujudkan masyarakat inklusif melalui perumahan awam.
Menurutnya keluarga berpendapatan rendah akan terus diberi perhatian dan mencapai kestabilan, dapat berdikari dan mencapai mobiliti sosial.
Geran perumahan dan subsidi perumahan membolehkan 85 peratus keluarga berpendapatan rendah memiliki rumah mereka sendiri tambah Dr Faishal.
"Komitmen Pemerintah untuk membantu warga Singapura untuk memiliki rumah sendiri kekal teguh walaupun gangguan COVID-19 berlaku," kata Dr Faishal.
"Memandang ke hadapan, seperti mana yang kami lakukan, kami akan terus memastikan bahawa rumah awam mampu dimiliki warga Singapura. Kami akan turut memastikan keperluan golongan yang mudah terjejas serta keluarga berpendapatan rendah terpelihara," tambahnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.