Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Parlimen akan bincang situasi semasa COVID-19, audit AGO & keselamatan tempat kerja pada 1 Ogos

Anggaran Waktu Membaca:
Parlimen akan bincang situasi semasa COVID-19, audit AGO & keselamatan tempat kerja pada 1 Ogos

(Gambar: Jeremy Long/CNA)

Diterbitkan : 29 Jul 2022 06:53PM Dikemas Kini : 29 Jul 2022 06:52PM

SINGAPURA: Situasi semasa COVID-19 di Singapura, audit agensi-agensi awam oleh Pejabat Ketua Audit Negara (AGO) dan kerugian S$7.4 bilion yang dicatatkan oleh Penguasa Kewangan Singapura (MAS) pada tahun kewangan lalu adalah antara topik-topik yang akan dibincangkan apabila Parlimen bersidang pada Isnin (1 Ogos).

Beberapa Anggota Parlimen (AP) juga sudah memfailkan soalan mengenai hidupan liar di Singapura selepas pihak berkuasa menerima aduan mengenai sekumpulan monyet yang mencerobohi kawasan-kawasan perumahan baru-baru ini. 

AP Seah Kian Peng (PAP-Marine Parade) bertanya sama ada terdapat isu lebihan populasi haiwan seperti monyet dan memerang sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan meminta penilaian Kementerian Pembangunan Negara (MND) berhubung perkara itu.

AP GRC Jurong Tan Wu Meng dan Shawn Huang pula ingin tahu tentang data mengenai serangan monyet dan pencerobohan monyet ke dalam rumah dan strategi MND untuk menguruskan habitat dan jumlah monyet di sini. 

Sementara itu, AP Nadia Ahmad Samdin bertanya mengenai usaha pendampingan awam untuk memahami dengan lebih baik lagi sentimen orang ramai mengenai kehidupan bersama dengan hidupan liar.

Setelah menjadi tajuk utama di Parlimen pada awal bulan ini, Hab Sukan Singapura akan dibincangkan sekali lagi, dengan Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Edwin Tong dijangka akan menyampaikan kenyataan menteri mengenai isu berkenaan. 

AP Melvin Yong (PAP-Radin Mas) juga akan berucap selama sehingga 20 minit untuk mengemukakan usul penangguhan mengenai isu keselamatan di tempat kerja. 

Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) Leong Mun Wai sebelum ini mengemukakan petisyen bagi menggesa supaya Skim Pembangunan Semula Yang Terpilih Secara Berkelompok (SERS) disemak semula dan menggantung skim itu sementara menunggu dapatan dan saranan yang dikemukakan daripada semakan tersebut.

Encik Leong pada 4 Jul memfailkan petisyen di Parlimen berhubung skim berkenaan. 

Menyentuh tentang pandemik COVID-19, beberapa soalan diajukan oleh para AP tentang jangkitan semula, vaksinasi bagi kanak-kanak kecil dan kematian dua kanak-kanak baru-baru ini yang disebabkan oleh jangkitan COVID-19.

AP Wan Rizal (PAP-Jalan Besar) meminta kemas kini bagi kajian yang dijalankan oleh Penguasa Sains Kesihatan (HSA) dan Jawatankuasa Pakar bagi Vaksinasi COVID-19 berhubung keselamatan dan keberkesanan vaksin bagi kanak-kanak berusia bawah lima tahun. 

Selain itu, AP Dennis Tan (WP-Hougang) bertanya sama ada kematian dua kanak-kanak itu disebabkan oleh COVID-19 - pada 27 Jun dan 17 Julai - dan ia menimbulkan keprihatinan mengenai kerentanan kanak-kanak terhadap jujukan baru koronavirus. 

AP Joan Pereira (PAP-Tanjong Pagar) bertanya sama ada Pemerintah menyaksikan peningkatan pada jumlah kes jangkitan semula di tengah-tengah kemunculan subvarian Omicron dan sama ada dos penggalak kedua akan ditawarkan kepada golongan lebih muda. 

Encik Seah juga mengajukan soalan kepada Kementerian Kesihatan (MOH) bagi mendapatkan anggaran jumlah penduduk Singapura yang sudah dijangkiti COVID-19, termasuk kes-kes yang tidak dilaporkan. 

Beliau turut bertanya sama ada Singapura sudah mencapai peringkat imuniti kelompok dengan tahap jangkitan tersebut.

Sumber : CNA/NY/ny

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa