Skip to main content

Singapura

Parlimen akan bincang isu jerebu, pindaan COE dan gangguan terhadap jagaan kesihatan awam

Anggaran Waktu Membaca:
Parlimen akan bincang isu jerebu, pindaan COE dan gangguan terhadap jagaan kesihatan awam

Gambar fail: CNA/Syamil Sapari

Diterbitkan : 02 Nov 2026 03:06PM
Parliament to discuss haze, COE amendment and disruptions to public healthcare
  • Singapore’s Parliament is scheduled to discuss four issues on 3 November, including more than 50 questions about transboundary haze that has affected air quality since September and action against companies linked to forest fires in Indonesia.
  • The Workers’ Party (WP) asked for an update on investigations into four companies that began in 2015 and questioned the effectiveness of the Transboundary Haze Pollution Act (THPA). The Government has set up a joint team with Indonesia, issued notices and is considering legal changes.
  • Questions were also raised about the LTA’s proposal to merge COE Categories A and B and introduce additional fees and rebates, including whether these measures would be affordable for families and SMEs and what safeguards would ensure rebates reach buyers.
  • Members of Parliament also sought answers about a nine-hour technical disruption on 13 October affecting three healthcare clusters, and about steps by the Ministry of Social and Family Development (MSF) to prevent abuse, after an eight-month-old baby died as a result of abuse by the child’s parents.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Isu jerebu rentas sempadan dan usaha memastikan syarikat-syarikat bertanggungjawab terhadap kebakaran hutan di Indonesia akan menjadi antara tumpuan utama apabila parlimen bersidang pada Selasa (3 Nov).

Para Anggota Parlimen (AP) mengemukakan lebih 50 soalan mengenai jerebu, termasuk sama ada undang-undang Singapura berkesan dalam menangani masalah berulang itu dan mengapa siasatan terhadap empat syarikat berhubung jerebu pada 2015 masih belum selesai selepas 11 tahun.

Para AP turut mengemukakan soalan mengenai saranan berhubung pindaan terhadap sistem Sijil Hak Memiliki Kenderaan (COE), gangguan sistem selama beberapa jam di kelompok jagaan kesihatan awam serta langkah perlindungan terhadap penderaan kanak-kanak menyusuli kematian seorang bayi berusia lapan bulan.

Menurut kertas aturan yang dikeluarkan pada Isnin, para AP mahukan penjelasan mengenai penguatkuasaan Akta Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (THPA), kesan ekonomi dan kesihatan akibat jerebu serta langkah-langkah bagi melindungi pelajar dan pekerja luar.

Mutu udara Singapura terjejas akibat jerebu rentas sempadan sejak September, mendorong pihak berkuasa untuk meningkatkan usaha menangani pencemaran dan mempertingkatkan penguatkuasaan.

Langkah tersebut termasuk menubuhkan pasukan bertindak bersama Indonesia untuk menyiasat syarikat-syarikat yang dikaitkan dengan kebakaran hutan, mengeluarkan notis terhadap syarikat-syarikat berpangkalan di Singapura buat pertama kali di bawah THPA serta menimbangkan pindaan terhadap undang-undang sedia ada dan memperkenalkan undang-undang baharu jika perlu.

AP Tin Pei Ling bertanya apakah tindakan yang sudah diambil terhadap syarikat-syarikat yang bertanggungjawab secara langsung atau tidak langsung terhadap kebakaran di Indonesia, serta usaha Singapura menangani jerebu di peringkat dua hala dan serantau.

AP Sylvia Lim pula meminta perkembangan terkini hasil siasatan yang dimulakan pada 2015 terhadap empat syarikat berhubung kemungkinan melanggar THPA serta halangan khusus yang menyebabkan kes tersebut masih belum diselesaikan selepas 11 tahun.

AP Sharael Taha bertanya sama ada pemerintah akan mewujudkan rangka kerja bersasar melibatkan agensi-agensi relevan untuk menyiasat syarikat-syarikat yang dikaitkan dengan jerebu rentas sempadan, menjejaki pemilik sebenar dan hubungan kewangan mereka serta mengambil tindakan terhadap pihak yang bertanggungjawab.

AP Jamus Lim pula bertanya berapa banyak prasekolah berlesen Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (ECDA) yang tidak mempunyai ruang berhawa dingin dan bagaimana agensi tersebut memastikan tahap kesiapsiagaan mereka menghadapi jerebu.

PINDAAN COE

Para AP turut meminta penjelasan mengenai saranan untuk meminda sistem COE, termasuk kesannya terhadap kemampuan memiliki kereta dan sama ada rebat yang dicadangkan akan memberi manfaat kepada pembeli.

Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) bulan lalu mencadangkan supaya COE Kategori A dan B bagi kereta digabungkan menjadi satu kategori, di samping sistem bayaran tambahan dan rebat berdasarkan nilai pasaran terbuka kenderaan.

AP Yip Hon Weng bertanya apakah gangguan (distortion) terhadap pasaran yang ingin diperbetulkan menerusi perubahan tersebut dan bagaimana pemerintah akan menilai sama ada ia dapat mewujudkan semula perbezaan bermakna antara kereta pasaran am dengan kereta bernilai lebih tinggi.

AP Jessica Tan pula bertanya sama ada semakan COE akan menilai kemampuan keluarga serta syarikat-syarikat kecil dan sederhana (SME) yang bergantung kepada kereta atau kenderaan komersial.

Beliau turut bertanya sama ada langkah akan dipertimbangkan untuk membantu mereka yang tidak lagi mampu memiliki kereta akibat harga COE yang ditentukan pasaran.

AP Edward Chia bertanya sama ada LTA menetapkan bayaran tambahan dan rebat yang dicadangkan sebagai peratusan daripada harga COE dan bukannya jumlah tetap, serta apakah perlindungan yang akan memastikan rebat sampai kepada pembeli dan tidak diserap ke dalam harga jualan peniaga.

GANGGUAN JAGAAN KESIHATAN AWAM

Beberapa AP turut mengemukakan soalan mengenai gangguan terhadap perkhidmatan selama sembilan jam di ketiga-tiga kelompok jagaan kesihatan awam pada 13 Oktober.

Gangguan yang berpunca daripada masalah teknikal menjejas ketersambungan rangkaian dan beberapa perkhidmatan jagaan kesihatan.

Agensi teknologi kesihatan nasional Synapxe sebelum ini menyatakan tiada penunjuk bahawa kejadian tersebut merupakan insiden siber.

AP Dilantik Haresh Singaraju bertanya sama ada sistem IT yang dikongsi ketiga-tiga kelompok jagaan kesihatan mempunyai sistem sandaran bebas, tempoh maksimum yang ditetapkan untuk memulihkan sistem dan sama ada tempoh tersebut berjaya dipenuhi.

AP Joan Pereira pula bertanya berapa ramai pesakit yang terjejas dan sama ada prasarana sandaran disediakan serta mengapa ia gagal mencegah gangguan tersebut.

AP Cassandra Lee bertanya sama ada siasatan terhadap gangguan itu sudah selesai dan sama ada langkah sedang dipertimbangkan untuk mengurangkan risiko berlaku gangguan perkhidmatan digital pada masa hadapan.

KES DERA KANAK-KANAK

Tiga AP turut mengemukakan soalan mengenai langkah perlindungan dan usaha tambahan bagi kes perlindungan kanak-kanak menyusuli penderaan sehingga menyebabkan kematian seorang bayi berusia lapan bulan.

Bayi tersebut, yang meninggal dunia pada September 2024, berulang kali didera ibu bapanya. Kedua-duanya dijatuhi hukuman penjara pada 21 Oktober.

AP Dilantik Kenneth Poon bertanya bagaimana kes disyaki penderaan melibatkan kanak-kanak berusia tiga tahun dan ke bawah yang tidak diketahui khidmat sosial dapat dikenal pasti dan dirujuk untuk tindakan lanjut.

Beliau turut bertanya bagaimana Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) menentukan sama ada tanda amaran yang dikesan secara berasingan oleh penjaga dan golongan profesional saling berkaitan supaya campur tangan dapat dilakukan tepat pada masanya.

AP Dilantik Neo Kok Beng pula bertanya sama ada sistem 'Sensemaking Alerts for Frontline Engagement and Response' (SAFER) berupaya mengesan kes sedemikian dan apakah langkah akan diperkenalkan jika ia tidak mampu berbuat demikian.

AP Choo Pei Ling bertanya sama ada MSF akan menimbangkan untuk memasukkan maklumat daripada khidmat jagaan kesihatan yang melibatkan kanak-kanak kecil ke dalam penilaian risiko perlindungan kanak-kanak berbilang agensi SAFER.

Beliau turut meminta penjelasan mengenai langkah perlindungan untuk memastikan lawatan perubatan berulang atau kecederaan yang disyaki bukan akibat kemalangan dinilai dan disusuli dengan sewajarnya.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita