Skip to main content

Singapura

Parlimen akan bincang gangguan MRT, kadar pesalah dadah bentan dan ancaman pengganasan

Anggaran Waktu Membaca:
Parlimen akan bincang gangguan MRT, kadar pesalah dadah bentan dan ancaman pengganasan
Diterbitkan : 25 Feb 2025 06:12PM Dikemas Kini : 25 Feb 2025 06:13PM
SINGAPURA: Gangguan khidmat MRT pada bulan ini yang menjejaskan tiga laluan berbeza, peningkatan berterusan pada kadar kebentanan pesalah dadah dan ancaman pengganasan menyusuli kes serangan di sebuah gereja dijangka akan dibangkitkan apabila Parlimen bersidang pada Rabu (26 Feb) untuk membahaskan Belanjawan 2025.

Para Anggota Parlimen (AP) juga telah memfailkan soalan-soalan mengenai langkah-langkah untuk meredakan seterusnya pasaran perumahan awam, cara-cara untuk meningkatkan keselamatan penerbangan dan faedah yang diraih daripada Singapura menjadi lokasi penggambaran untuk video muzik kugiran British, Coldplay.

Dalam Kertas Susunan Mesyuarat yang dikeluarkan pada Selasa (25 Feb), para AP bertanya apakah tindakan yang akan diambil untuk mengelakkan insiden serupa di rangkaian MRT berikutan tiga gangguan dalam masa kurang seminggu di Laluan Utara-Selatan, Laluan Timur Laut dan Laluan Circle.

Gangguan khidmat MRT berlaku pada 7, 10 dan 11 Feb, menjejaskan perjalanan semasa waktu sibuk.

Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) menyatakan pada 13 Feb bahawa ia sedang bekerjasama rapat dengan pengendali SMRT dan SBS Transit untuk mengenal pasti puncanya.
AP Tanpa Kawasan Undi (NCMP) Leong Mun Wai dari Parti Kemajuan Singapura (PSP) meminta kemas kini tentang pengajaran yang diperolehi daripada gangguan itu dan tindakan yang akan diambil untuk mencegah kerosakan MRT selanjutnya.

Begitu juga, AP Hougang Dennis Tan dari Parti Pekerja (WP) yang bertanya tentang langkah-langkah untuk mengurangkan atau mengelakkan kejadian serupa pada masa akan datang. Beliau juga ingin tahu sama ada sebarang gangguan khidmat disebabkan oleh isu-isu penyenggaraan.

Mengenai ancaman pengganasan, para AP memfailkan soalan berhubung kes serangan baru-baru ini di Gereja Holy Spirit dan pelbagai serangan di luar negara.

AP Christopher de Souza dari GRC Holland-Bukit Timah menarik perhatian bahawa insiden di gereja itu adalah yang kedua dalam tempoh kurang enam bulan. Yang pertama adalah di Gereja St Joseph di Bukit Timah pada November lalu.

Encik de Souza bertanya bagaimana Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) merancang untuk mengukuhkan kerjasama dalam kalangan institusi agama, masyarakat di sekeliling mereka dan agensi-agensi keselamatan untuk mengesan ancaman keselamatan dengan lebih awal dan mencegahnya.

Beliau juga ingin tahu sama ada MHA mempunyai rancangan untuk memberi jaminan lanjut kepada orang ramai berhubung keselamatan peribadi di tempat-tempat ibadat.

AP GRC West Coast Rachel Ong bertanya sama ada sekolah, tempat ibadat, hospital dan institusi awam sedang dipersiapkan untuk bertindak balas terhadap sebarang serangan pengganas, memandangkan ancaman pelampau semakin meningkat.

Begitu juga, AP WP Gerald Giam dari GRC Aljunied bertanya tentang langkah-langkah yang diambil untuk mencegah serangan rempuhan kenderaan yang disengajakan di kawasan-kawasan yang ramai pejalan kaki, termasuk di daerah hiburan malam dan acara awam.

Beliau juga bertanya sama ada MHA telah menjalankan penilaian risiko mengenai kemungkinan berlaku serangan sedemikian di Singapura dan jika ya, apakah dapatan utama dan pelan tindakan selanjutnya.

Baru-baru ini di sesetengah negara lain, terdapat pelbagai insiden kereta merempuh pejalan kaki, termasuk di Jerman awal bulan ini apabila serangan di bandar selatan Munich mencederakan 30 orang.

Mengenai peningkatan kadar kebentanan yang meningkat dalam kalangan pesalah dadah di Singapura, AP Yio Chu Kang Yip Hon Weng bertanya apakah faktor penyumbang kepada peningkatan itu dan sama ada MHA sedang mengkaji keberkesanan program pemulihan dalam pusat-pusat pemulihan dadah.

Beliau juga ingin tahu dari mana penyalah guna dadah mendapatkan bekalan mereka dan sama ada akses kepada dadah merupakan faktor yang menyebabkan peningkatan kadar kebentanan.

SOALAN-SOALAN LAIN

1. LANGKAH-LANGKAH MEREDAKAN PASARAN HARTANAH


Mengambil kira harga flat jualan semula yang meningkat bagi flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) walaupun terdapat langkah-langkah untuk mengawal pasaran, Encik Yip bertanya apakah faktor yang mendorong permintaan untuk unit-unit perumahan itu, selain kekurangan jumlah flat yang mencapai Tempoh Pendudukan Minimum (MOP) dan dengan itu tersedia untuk dijual semula.

AP Yio Chu Kang itu juga bertanya sama ada akan ada lebih banyak langkah untuk mengawal pasaran jualan semula HDB.

Di samping itu, beliau ingin tahu berapa ramai pemilik hartanah privet juga memiliki flat HDB dan sama ada mereka akan diwajibkan untuk melepaskan flat tersebut.

2. KESELAMATAN PENERBANGAN

Mengenai keselamatan penerbangan, Encik de Souza bertanya kepada Menteri Pengangkutan Chee Hong Tat sama ada Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) akan meneliti semula prosedur keselamatan penerbangan dan kawalan darat bagi Lapangan Terbang Changi dan Lapangan Terbang Seletar memandangkan insiden penerbangan di luar negara baru-baru ini melibatkan pesawat penumpang. Ini termasuk nahas pesawat Jeju Air di Korea Selatan dan satu lagi di Washington, Amerika yang mengorbankan lebih 60 orang.

Beliau juga bertanya apakah langkah tambahan yang sedang dipertimbangkan untuk meningkatkan lagi tahap keselamatan penerbangan di Singapura.

3. VIDEO MUZIK COLDPLAY

Berhubung dengan Singapura yang berfungsi sebagai lokasi penggambaran video muzik kugiran Coldplay berjudul 'Man in the Moon', ia adalah hasil kerjasama dengan Lembaga Pelancongan Singapura (STB).

Anggota Parlimen Dilantik (NMP) Usha Chandradas bertanya tentang faedah ekonomi dan bukan ekonomi yang boleh dijangkakan Singapura daripada video muzik itu, dan sama ada terdapat kerjasama serupa dengan artis muzik antarabangsa dalam masa terdekat.



 
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita