Skip to main content

Singapura

Parlimen akan bahaskan isu LPA, konflik Israel-Hamas dalam kelas CCE MOE

Anggaran Waktu Membaca:
Parlimen akan bahaskan isu LPA, konflik Israel-Hamas dalam kelas CCE MOE

Gambar fail: Syamil Sapari/CNA

SINGAPURA: Anggota Parlimen dijangka membahasakan satu undang-undang pada Selasa (2 Apr), yang akan mengesahkan puluhan ribu dokumen undang-undang yang hilang kenyataan yang menyebabkan ia terbuka untuk dicabar.

Sebanyak 87,000 dokumen Surat Kuasa Berkekalan (LPA)digital - yang disahkan antara 14 November 2022 dan 4 Jan 2024 - didapati tidak menyatakan dengan jelas bahawa ia sah di sisi undang-undang, seperti yang dikehendaki oleh Akta Keupayaan Mental yang sedia ada.
LPA membolehkan seseorang yang dilantik untuk membuat keputusan perubatan dan kewangan bagi pihak individu lain, sekiranya mereka hilang keupayaan mental.

Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF), yang memohon maaf atas ketinggalan kenyataan itu pada 4 Mac, menyatakan bahawa dokumen yang terjejas masih sah di sisi undang-undang.

Kesilapan tersebut dikesan pada Oktober 2023 selepas MSF menerima maklum balas daripada anggota awam. LPA elektronik yang disahkan pada atau selepas 5 Jan 2024, kini merangkumi kenyataan yang diperlukan, iaitu: "Saya sahkan surat ini adalah dokumen yang sah di sisi undang-undang."

Anggota Parlimen Dilantik (NMP) Usha Chandradas memfailkan satu pertanyaan mengenai keadaan yang membawa kepada kesilapan berhubung kenyataan itu, sama ada kementerian tersebut sudah menilai potensi kerugian atau kemudaratan yang dialami oleh pemberi dan penerima kuasa, serta langkah-langkah yang diambil untuk mencegah kesilapan itu daripada berulang.

Sementara itu, AP Tan Wu Meng (PAP-Jurong) bertanya mengapa kesilapan itu tidak dikesan lebih awal, sekiranya terdapat pemeriksaan proses seperti semakan atau pengesahan pengalaman pengguna akhir apabila proses utama dokumentasi tersebut dilakukan secara digital, dan sama ada ia dijalankan oleh mana-mana individu atau yang terlatih secara sah.

MOE DAN KONFLIK ISRAEL-HAMAS

Menurut kertas perintah Parlimen yang dikeluarkan pada Isnin, pertanyaan juga dikemukakan mengenai pelajaran Pendidikan Perwatakan dan Kewarganegaraan (CCE) berhubung konflik Israel-Hamas.

Menteri Pendidikan Chan Chun Sing berkata pada Februari lalu bahawa kelas CCE kementeriannya itu bukan bertujuan menjadi kelas sejarah, juga bukan untuk melihat siapa yang salah. Ia sebaliknya, dilakarkan bagi membantu para pelajar merenung bagaimana untuk memelihara perpaduan dan keharmonian dalam masyarakat berbilang kaum dan bersikap empati kepada orang lain.

Encik Chan berkata demikian selepas kebimbangan dibangkitkan di platform online mengenai apa yang diajarkan sekolah kepada para pelajar mengenai konflik di Gaza itu, dengan beberapa hantaran mendakwa pembelajaran hanya meliputi perkembangan daripada serangan Hamas itu pada 7 Oktober, tanpa memberikan konteks sejarah antara Israel dengan Palestin yang sudah berlarutan berdekad lamanya.

NCMP Hazel Poa (PSP) menyerahkan pertanyaan yang bertanya sama ada kandungan dan bahan kelas CCE berhubung konflik Israel-Hamas boleh didedahkan kepada umum, dan sama ada terdapat mana-mana guru menolak daripada menyampaikan pembelajaran itu.

AP Sharael Taha (PAP-Pasir Ris-Punggol) mengajukan soalan bagaimana, di tengah-tengah isu berhubung kelas CCE itu, Kementerian Pendidikan boleh memastikan ruang yang selamat untuk pelajar berkongsi pelbagai pandangan dan mencapai kesimpulan mereka sendiri mengenai isu-isu yang rumit.

VAPE

Pada Januari lalu, Mediacorp melaporkan bahawa meskipun kadar permintaan bagi bantuan profesional untuk berhenti merokok kekal kukuh, tabiat mengelak dengan menghisap vape menghambat usaha kakitangan jagaan kesihatan dalam membantu perokok menghentikan tabiat buruk mereka.

Pada Mac pula, Kementerian Kesihatan (MOH) dan Penguasa Sains Kesihatan (HSA) mendedahkan bahawa pihaknya sedang memantau penggunaan alat 'rangsangan tenaga' atau "energy stick" di Singapura, atas kebimbangan bahawa, seperti vape, alat tersebut boleh membawa kepada penyalahgunaan dadah.

AP Ang Wei Neng (PAP-West Coast) meminta kemas kini mengenai usaha antivape MOH, saiz pasukan penguatkuasaan vape HSA dan jumlah saman atas kesalahan vape yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa sejak tiga tahun lalu.
 
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita