Skip to main content

Singapura

Paras air 'luar biasa rendah' di kolam Yishun sebabkan kematian ikan, dedah HDB

Anggaran Waktu Membaca:
Paras air 'luar biasa rendah' di kolam Yishun sebabkan kematian ikan, dedah HDB

Gambar: Don Goh/Facebook

Diterbitkan : 08 Feb 2024 03:11PM Dikemas Kini : 08 Feb 2024 03:12PM
SINGAPURA: Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) telah membersihkan ikan-ikan mati di kolam yang sebelum ini menjadi sebahagian daripada taman riadah ORTO di Yishun.

Video yang dimuat naik ke Facebook pada Ahad (4 Feb) menunjukkan ikan-ikan yang mati terapung-apung di permukaan kolam tersebut.

Semasa menjawab pertanyaan Mediacorp, HDB menyatakan pada Khamis bahawa pihaknya telah dimaklumkan tentang "paras air yang luar biasa rendahnya" di kolam itu pada Jumaat lalu, mengakibatkan "kematian sejumlah ikan".

"Kami sudahpun menghapuskan ikan-ikan yang mati dan sudah mula memindahkan baki ikan hidup ke kolam yang lebih kecil di tapak yang sama," tambahnya.
Gambar: HDB
Tapak yang sebelum ini diduduki oleh taman riadah ORTO telah diambil alih oleh HDB untuk kerja-kerja pemeriksaan tanah pada Julai lalu. Tapak di 81 Lorong Chencharu terletak di kawasan yang dikhususkan untuk kegunaan kediaman.

"Sejak itu, HDB telah menyenggara tapak tersebut, termasuk kolam dan ikannya, yang telah dikekalkan untuk mencegah pembiakan nyamuk sementara menunggu bermulanya pembersihan tapak dan kerja-kerja pemeriksaan tanah pada suku pertama 2024," menurut HDB.

Sebagai sebahagian daripada penyenggaraan tapak, HDB menambah bahawa kontraktornya akan "mengisi kolam apabila paras air dalam kolam merosot ke paras bawah paras biasa" dan ini biasanya dilakukan setiap dua hari.

"PENURUNAN KETARA" PADA PARAS AIR

Paras air kolam itu didapati berada pada paras "biasa" pada 31 Jan.

"Penurunan ketara" paras air dua hari kemudian adalah kali pertama ia berlaku, menurut HDB, sambil menambah bahawa ia sedang menyiasat puncanya.

"Dalam pada itu, HDB telah menemui ladang komersial yang sesuai untuk menempatkan baki ikan yang masih hidup, dan sedang berusaha untuk memindahkannya ke ladang tersebut menjelang akhir Februari, sebelum kerja-kerja dimulakan."

Perkhidmatan Haiwan dan Veterinar (AVS) juga telah memberitahu Mediacorp pada Khamis bahawa pihaknya dimaklumkan mengenai satu kes melibatkan ikan-ikan yang mati ditemui di sebuah kolam di Yishun. Pihak AVS akan menyiasat perkara tersebut.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita