Skip to main content

Singapura

Paras air laut S'pura kini purata 14sm lebih tinggi daripada sebelum 1970, menurut MSS

Paras air laut di Singapura meningkat secara purata 14 sentimeter (sm) daripada "paras sebelum 1970", menurut Jabatan Kaji Cuaca Singapura (MSS) dalam Laporan Penilaian Iklim Tahunan 2019 yang dikeluarkan pada Isnin (23 Mac). 

Anggaran Waktu Membaca:
Paras air laut S'pura kini purata 14sm lebih tinggi daripada sebelum 1970, menurut MSS

Gambar fail Pantai East Coast.

Diterbitkan : 23 Mar 2020 04:45PM Dikemas Kini : 23 Mar 2020 04:46PM

SINGAPURA: Paras air laut di Singapura meningkat secara purata 14 sentimeter (sm) daripada "paras sebelum 1970", menurut Jabatan Kaji Cuaca Singapura (MSS) dalam Laporan Penilaian Iklim Tahunan 2019 yang dikeluarkan pada Isnin (23 Mac).

"Perubahan paras air laut yang diterangkan dalam laporan itu adalah berdasarkan kepada rekod pasang surut air laut yang tersedia ada sejak tahun 1970-an di pelbagai tempat di Singapura. Oleh itu, kami sudah mempertimbangkan jangka masa ini sebagai tempoh tumpuan kami," jelas Dr Hindumathi Palanisamy, ahli sains penyelidikan kanan bersama MSS.

Sejak tahun 1970-an, Sembawang, Sultan Shoal dan Rumah Api Raffles sudahpun menunjukkan kadar kenaikan paras air laut masing-masing sekitar 2.12mm setahun, kira-kira 2.78 mm setahun dan hampir 3.55mm setahun, menurut MSS. Ini membawa kepada paras air laut purata di Singapura hari ini setinggi 140mm di atas paras pra-1970.

Dr Hindumathi berkata kadar purata kenaikan paras air laut di Singapura adalah sekitar 2.8mm setiap tahun sejak tahun-tahun 1970-an.

MSS menambah pemanasan global menyebabkan suhu lautan terus meningkat dan menjejas lapisan air batu di Greenland dan Antartika.

"Oleh itu, selain daripada kesan teruk seperti gelombang haba, banjir, kemarau, puting beliung... kenaikan paras air laut adalah salah satu lagi kesan paling teruk akibat perubahan iklim yang menimbulkan ancaman utama khususnya kepada kawasan pesisir pantai serta negara pulau yang mempunyai ramai penduduk di dunia. "

Ini bermakna Singapura juga "terancam," jelas MSS.

Mengikut purata, paras air laut serata dunia bagi abad ke-20 ini meningkat pada kadar 1.2mm hingga 1.9mm setiap tahun, menurut MSS.

"Peningkatan paras laut tidak seragam dan berbeza mengikut rantau serta skala masa yang berlainan. Sebenarnya, di beberapa kawasan, trend paras laut menyimpang dengan ketara daripada purata global."

Pelbagai faktor seperti dinamik lautan, pergerakan tanah tempatan dan perubahan graviti menjejas kenaikan paras air laut, jelas Dr Hindumathi.

Perdana Menteri Lee Hsien Loong menekankan ancaman kenaikan paras air laut ke atas Singapura semasa beliau berucap di Rapat Hari Kebangsaan tahun lalu.

Encik Lee memberi amaran bahawa beberapa kawasan penting di Singapura berada pada ketinggian 4m atas purata paras air laut atau lebih rendah. Kawasan-kawasan itu berisiko tenggelamapabila paras air laut naik.

Menyifatkan perubahan iklim sebagai salah satu cabaran paling serius yang dihadapi manusia, Encik Lee menambah sehingga S$100 bilion diperlukan sepanjang 100 tahun untuk melindungi Singapura.

Encik Lee menarik perhatian langkah-langkah tambahan yang perlu dilakukan termasuk membina benteng pertahanan pantai. Ini termasuk membina "polder" atau kawasan tanah tambak dari laut.

Dalam ucapan Belanjawan pada Februari, Menteri Kewangan Heng Swee Keat juga mengumumkan dana Perlindungan Pantai dan Banjir yang baru dengan suntikan permulaan sebanyak S$5 bilion oleh Pemerintah.

Dana itu akan ditokok setiap kali keadaan fiskal Singapura membolehkannya untuk berbuat demikian, kata Encik Heng.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita