Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Paras air laut meningkat: Pelan tindakan S'pura lindungi rakyat, negara

Sedar atau tidak - Paras air laut di Singapura kini 14 sentimeter lebih tinggi daripada sebelum 1970 dan diramal meningkat sehingga 1.5 meter menjelang tahun 2100. 

Anggaran Waktu Membaca:
Paras air laut meningkat: Pelan tindakan S'pura lindungi rakyat, negara

Gambar fail pantai East Coast (Gambar: Jeremy Long)

BERITAmediacorp: Sedar atau tidak - Paras air laut di Singapura kini 14 sentimeter lebih tinggi daripada sebelum 1970 dan diramal meningkat sehingga 1.5 meter menjelang tahun 2100.

Dengan 30 peratus kawasan Singapura berada kurang lima meter di aras permukaan laut, sejauh manakah persiapan Singapura untuk melindungi negara daripada ancaman paras air laut yang semakin meningkat?

Setiap tahun, paras air laut di Singapura naik sebanyak empat milimeter. Meskipun, dari mata kasar, jumlahnya nampak sedikit namun kesannya selama ini sudah jelas kelihatan.

Sebagai contoh, disebabkan paras air laut yang meningkat saban tahun sehingga berlakunya hakisan tanah di pantai East Coast, langkah-langkah sudah diambil untuk memastikan kawasan tepi pantai berada lebih jauh lagi supaya dapat memberi perlindungan.

PARAS AIR LAUT BOLEH NAIK HINGGA 1.5 METER

Buat masa ini, lebih 70 peratus kawasan tepi pantai Singapura dilindungi dengan tembok laut.

Namun dengan pemanasan global semakin meningkat, Lautan Artik mengalami pencairan pada kadar yang jauh lebih cepat daripada jangkaan.

Para penyelidik meramalkan paras air laut di Singapura mungkin meningkat sehingga 1.5 meter menjelang tahun 2100 jika usaha untuk mengawal perubahan iklim tidak dipertingkatkan.

Malah sebilangan penyelidik pula berpendapat, parasnya boleh naik sehingga 2.5 meter atau empat meter.

Ini bermakna, terdapat kemungkinan beberapa kawasan seperti Geylang, Toa Payoh dan Bishan berisiko terjejas banjir atau tenggelam.

MASYARAKAT MASIH BELUM PEKA

Hasil tinjauan rambang BERITAmediacorp mendapati meski ramai yang tahu akan fenomena paras air laut yang semakin meningkat, mereka secara amnya kurang peka terhadap kesan dan impak sebenar ancaman berkenaan.

Anggota Belia Singapura bagi Tindakan Iklim (SYCA) Noor Hanisah Noordin berpendapat: "Kenaikan paras air laut itu nampak tidak begitu tinggi setiap tahun, ia hanya beberapa sentimeter. Jadi kita tidak perasan pun kalau air itu naik.

"Yang paling senang untuk difahami adalah perubahan iklim ini adalah masalah suhu dunia kerana terlalu banyak karbon dioksida di udara disebabkan oleh kita banyak menggunakan bahan pembakar."

Lantaran itu, Hanisah bersama rakan-rakan SYCA giat menjalankan program seperti bengkel dan sesi dialog bagi menyebarkan kesedaran di peringkat masyarakat.

Ini walaupun SYCA akur perjalanan mengatasi perubahan iklim di sini, masih jauh lagi meskipun keadaannya agak mendesak di peringkat global.

"Seseorang yang banyak membuat langkah-langkah untuk menangani masalah ini biasanya dianggap seperti orang yang pelik. Jadi misalnya disebabkan saya tidak mahu beli air botol kerana ia menggunakan plastik, saya akan dilihat sebagai seorang yang leceh, yang membesarkan perkara yang kecil.

"Satu lagi masalah adalah, kita sebagai sebuah negara, kebanyakannya sudah leka dan sangat puas hati dengan kehidupan yang ada sekarang, kerana kita selesa," tambah beliau.

USAHA DIJALANKAN PEMERINTAH

Bagi melindungi Singapura daripada ancaman fenomena paras air laut yang semakin meningkat ini, Perdana Menteri pada 2019 mengumumkan pelaburan S$100 bilion sebagai huraian jangka panjang termasuk membina tembok dan benteng selain 'polder' iaitu cara penambakan baru di kawasan pantai East Coast.

Sebuah kawasan 'polder' sedang dibangunkan di Pulau Tekong, sebagai usaha menimba "pengalaman" mengendalikannya.

Projek Greater Southern Waterfront (GSW) seluas 2,000 hektar pula dibangunkan antara lain dengan tujuan melindungi kawasan bandar daripada banjir.

Bangunan-bangunan baru pula perlu dibina sekurang-kurangnya empat meter lebih tinggi dari aras laut manakala bagi prasarana penting, sekurang-kurangnya lima meter lebih tinggi.

Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat juga mengumumkan satu Dana Perlindungan Kawasan Pantai dan Banjir ditubuhkan dengan suntikan awal S$5 bilion.

Pemerintah turut membelanjakan S$400 juta untuk menaik taraf dan menyenggara terusan dan longkang sejak dua tahun lalu, di samping membelanjakan sebanyak S$1.8 bilion sejak tahun 2011 bagi menangani masalah banjir.

Apa yang pasti, pemerintah membuat segala perancangan untuk mempertahankan negara daripada fenomena peningkatan paras air laut.

Di pihak rakyat, masyarakat juga boleh menyumbang dengan membantu mengurangkan kesan gas rumah hijau. Ini termasuk mengurangkan penggunaan elektrik.

"Kita membuat langkah-langkah yang kecil tapi secara banyak sebagai masyarakat ia akan menjadi langkah yang besar," ujar Hanisah. 

Sumber : BERITA Mediacorp/na

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa