Skip to main content

Singapura

Paramedik SCDF dilengkapi kamera di badan mulai 1 Feb

Anggota paramedik daripada Pasukan Pertahanan Awam Singapura yang menangani kes-kes perubatan akan secara bertahap-tahap dilengkapi dengan kamera yang dipasang di badan (BWC) mulai 1 Feb (Jumaat).

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 31 Jan 2019 06:17PM Dikemas Kini : 31 Jan 2019 09:07PM

SINGAPURA: Anggota paramedik daripada Pasukan Pertahanan Awam Singapura yang menangani kes-kes perubatan akan secara bertahap-tahap dilengkapi dengan kamera yang dipasang di badan (BWC) mulai 1 Feb (Jumaat).

Menjelang 2020, SCDF akan melancarkan alat padat yang dipakai di telinga itu untuk semua paramedik.

Kamera-kamera tersebut akan "meningkatkan mutu dan keberkesanan" khidmat perubatan kecemasan (EMS) SCDF, menurut SCDF.

Rakaman tersebut akan digunakan untuk tujuan latihan dan bimbingan, dan memperhalusi lagi prosedur-prosedur perubatan SCDF, tambahnya dalam satu catatan Facebook pada Khamis (31 Jan).

Menurut SCDF dalam jangka panjang, pihaknya merancang untuk menggabungkan keupayaan penstriman langsung ke kamera itu untuk membenarkan para doktor yang tidak berada di tempat kejadian, memberi nasihat perubatan kepada pegawai paramedik yang menangani kes-kes rumit jika perlu.

Dengan penggunaan kamera-kamera itu, kebertanggungjawaban lebih besar diletakkan pada interaksi antara ambulans dengan anggota kru ambulans dan para pesakit EMS.

Bagaimanapun SCDF memberi jaminan bahawa para anggota paramedik akan berhenti merakam dalam situasi tertentu untuk menghormati privasi pesakit.

"LANGKAH-LANGKAH KAWALAN LEBIH BERKESAN"

"Para anggota paramedik akan berhenti merakam dalam keadaan tertentu untuk menghormati privasi pesakit, seperti kes-kes wanita yang hamil," menurut SCDF.

"Ini adalah sebahagian daripada usaha kami menggunakan teknologi untuk meningkatkan operasi ambulans dalam situasi kecemasan dan meningkatkan khidmat kepada pesakit," menurut Penolong Pesuruhjaya SCDF, Encik Yazid Abdullah yang merupakan pengarah jabatan perubatan SCDF.

Langkah-langkah kawalan lebih berkesan untuk mengawal penggunaan BWC dan data yang dirakam, sudah dilaksanakan, tambahnya.

Sebagai contoh, hanya kakitangan yang dibenarkan boleh mengendali pengumpulan, penyimpanan dan penggunaan data, menurut SCDF.

Data tersebut akan dipadamkan 90 hari selepas tarikh rakaman, kecuali terdapat keperluan untuk menyimpannya, seperti membantu pihak polis dalam siasatan.

SCDF akan mengambil tindakan serius terhadap sebarang pegawai yang menyalahgunakan kamera yang dipakai di badan ataupun data.

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita