Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Para usahawan perlu lincah sesuaikan perniagaan dalam suasana ekonomi suram

Walaupun berjaya bangkit daripada masa-masa sukar berniaga dalam suasana pandemik dan perniagaan semakin meningkat, pengusaha makanan dan minuman (F&B) kini berdepan dengan cabaran baru.

Anggaran Waktu Membaca:
03:13 Min
Para usahawan perlu lincah sesuaikan perniagaan dalam suasana ekonomi suram

BERITAmediacorp: Walaupun berjaya bangkit daripada masa-masa sukar berniaga dalam suasana pandemik dan perniagaan semakin meningkat, pengusaha makanan dan minuman (F&B) kini berdepan dengan cabaran baru.

Selain kadar pertumbuhan ekonomi yang lebih perlahan, para peniaga merasakan kesan kenaikan kadar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) baru-baru ini dan kos barangan yang meningkat.

Itulah yang dirasakan pemilik restoran Zoul's Corner, Encik Azhar Md Salleh.

''

"Tahun ini akan mencabar lagi dari segi inflasi, kenaikan kos, daripada ayam, sayuran dan juga para pekerja. Itu yang akan menjejas semua perniagaan F&B. Faktor utama adalah kos barangan yang naik sehingga 40 peratus sehingga kini," kata beliau.

Restoran Zoul's Corner yang mempunyai dua cawangan di Tampines and West Coast cuba mendapatkan pembekal makanan alternatif, yang menawarkan harga lebih rendah.

"Kita tidak boleh pilih satu pembekal sahaja, malahan kita harus banyakan pembekal. Bukan sahaja di Singapura tetapi di Asia Tenggara, di Malaysia, Thailand. Ini untuk kurangkan kos yang semua orang tahu, harga ayam sudah naik, harga sayur pun naik," jelas encik Azhar.

Satu lagi cabaran adalah persaingan untuk mengekalkan pekerja.

'
Baru-baru ini, restoran ini kehilangan empat pekerja daripada 18 tenaga kerjanya.

"Ramai pekerja yang meminta gaji yang kami tidak boleh menampung. Kita harus kurangkan perbelanjaan daripada gaji, tetapi sekarang pun susah juga. Setiap orang inginkan gaji lebih $3,000," dedah beliau.

a

Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) menggesa para peniaga tempatan agar mengubah model perniagaan supaya lincah menyesuaikan diri dengan keadaan ekonomi yang berubah-ubah.

"Renungkan tentang arah tujuan perniagaan, lihat apa yang sedang berlaku di peringkat nasional dan juga serantau. Selepas itu, cuba untuk membentuk semula perniagaan anda.

"Tentang kos perniagaan, terutama kos tenaga kerja, kenaikan kadar GST, kita perlu melihat ekosistem kos, rantaian bekalan dan cara terbaik untuk mengawalnya. Jika pengusaha memahami struktur kos perniagaan mereka, mereka boleh melakukannya," kata Timbalan Presiden Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS), Encik Abu Bakar Mohd Nor kepada BERITAmediacorp.

'

Encik Bakar berpendapat sekitaran ekonomi yang muram pada masa ini tidak seharusnya dilihat sebagai penghambat bagi perniagaan-perniagaan untuk terus berkembang.

Para peniaga kata beliau perlu memahami perniagaan masing-masing serta "value proposition" atau faedah yang akan diperoleh para pelanggan.

"Kita perlu menyemak semula model perniagaan, produk-produk. Misalnya menerusi pendigitalan. Kita boleh menyelaraskan tawaran produk kepada para pelanggan. Pasaran Singapura juga sedang bergerak lebih pantas berbanding pasaran serantau, jadi ada peluang untuk mengembangkan perniagaan ke luar negara."

Encik Azhar sudahpun mengambil langkah untuk memperkukuhkan lagi operasi dan meningkatkan penjualan restorannya.

"Saya menghantar para pegawai pemasaran saya untuk mempertingkatkan media sosial untuk mendapatkan pendedahan, kebolehpercayaan dan keuntungan. Kita latih pegawai kita untuk memperbaiki khidmat kita juga," kata beliau.

Beliau juga optimistik dapat mengembangkan perniagaannya tahun ini menerusi tawaran francais.

"Mengembangkan perniagaan kita ini adalah satu pelaburan aset. Untuk mengimbangi kenaikan kadar inflasi, kita perlu membina aset supaya ada aset pendapatan lain," kata beliau.

''

Encik Azhar berharap akan dapat membuka tiga lagi cawangan menjelang akhir tahun ini.

Sumber : BERITA Mediacorp/hk

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa