Para sukarelawan dekati 17,000 warga emas tentang faedah Pakej Generasi Merdeka
Para sukarelawan sudah mendekati sekitar 17,000 orang yang layak bagi Pakej Generasi Merdeka.
SINGAPURA: Para sukarelawan sudah mendekati sekitar 17,000 orang yang layak bagi Pakej Generasi Merdeka.
Ia termasuk faedah perubatan yang akan memberi manfaat kepada kira-kira 500,000 warga Singapura yang lahir antara 1950 dengan 1959.
Para duta tersebut telah melakukan kunjungan ke rumah, tempat kerja dan tempat tumpuan masyarakat untuk menerangkan butiran pakej tersebut serta membetulkan sebarang salah faham mengenainya.
Salah seorang penduduk yang mereka kunjungi ialah Cik Hamidah yang mengaku tidak tahu apakah faedah pakej tersebut.
"Sebenarnya, saya baru sahaja mendengar tentang Pakej Generasi Merdeka. Saya tidak tahu menahu apa yang ditawarkan pakej itu," katanya.
Bagi menyebar luaskan maklumat kepada para penduduk, 3,000 sukarelawan melakukan kunjungan rumah ke rumah untuk menjelaskan pelbagai manfaat dalam pakej tersebut. Cik Siti Zalifah, Duta Generasi Warga Emas menjelaskan:
"Kami mahu mereka faham supaya mereka tidak mempunyai sebarang keraguan apabila mereka menggunakan kad tersebut. Contohnya Kad Generasi Merdeka untuk penyakit yang lazim dialami, hanya boleh digunakan 24 kali setahun. Jika lebih daripada itu, mereka ingin tahu mengapa mereka perlu mengeluarkan bayaran tambahan. Kadang kala mereka juga tidak tahu bahawa untuk penyakit kronik, ada subsidi maksimum dalam setahun. Jika melebihi jumlah itu, maka mereka perlu membayar."
Para duta Generasi Warga Emas juga memperbetul beberapa salah tanggapan.
Duta Generasi Warga Emas, Cik Chong Yit Choon berkata: "Ada yang salah faham pada awalnya. Hanya apabila kami mengunjungi mereka untuk menjelaskan, baru mereka faham. Ada yang dapat maklumat salah kerana mendengar dari perbualan dengan kawan-kawan. Sebagai contoh, mereka sangka hanya sebahagian orang yang menerima manfaat dan yang lainnya tidak."
Menteri Negara Perhubungan dan Penerangan Sim Ann berkata, usaha mendampingi Generasi Merdeka memerlukan pelbagai pendekatan.
"Satu daripada setiap dua orang warga Generasi Merdeka bekerja. Ini bermakna mereka jarang di rumah. Kita harus bersedia berjumpa mereka di tempat kerja dan juga tempat tumpuan masyarakat seperti pusat penjaja makanan atau tempat ibadat."
Menurut Kementerian Kesihatan pada Khamis (2 Mei) 500,000 surat pemberitahuan sudah dihantar kepada warga senja Generasi Merdeka, dan mereka akan menerima kad mereka mulai hujung Jun.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.