Skip to main content

Singapura

Para relawan berbilang kaum dan agama di Ang Mo Kio agih makanan kepada keluarga susah

Anggaran Waktu Membaca:
Para relawan berbilang kaum dan agama di Ang Mo Kio agih makanan kepada keluarga susah

Gambar: BERITAmediacorp/Rosli Razak

Diterbitkan : 07 Apr 2023 09:32PM Dikemas Kini : 07 Apr 2023 09:33PM
BERITAmediacorp: Apabila Cik Khamaria Zainul berpindah ke Ang Mo Kio pada 2011, anak-anaknya menyertai program-program yang dikhususkan untuk keluarga berpendapatan rendah di estet perumahan itu.

Setelah anak-anaknya meraih manfaat daripada program anjuran badan kebajikan Beyond Social Services itu, suri rumah berusia 51 tahun itu menyumbang kembali sebagai relawan untuk program-program tersebut.

Sejak itu, beliau turut bergiat aktif dalam Jawatankuasa Penduduk Zon 9 Yio Chu Kang.

Ramadan ini, beliau menyingsing lengan untuk mengagihkan makanan buka puasa yang ditaja 'Beyond Social Services' kepada para penduduk yang memerlukan.

Terdapat kira-kira 200 penduduk memerlukan yang menetap di empat blok sewa di kawasan itu dan para penerimanya termasuk penduduk dengan anggota keluarga yang sakit, kurang upaya, warga emas dan ibu tunggal.

"Mereka sangat mengharapkan. Bila setiap kali saya umumkan tarikh ada makanan untuk diagihkan, slot yang disediakan akan dipenuhi dengan cepat. Mereka sangat bersyukur dengan apa yang kita beri sama ada nasi lemak, kadang-kadang nasi putih ada lauk-pauk. Anggaran kita dalam S$4 atau S$5 seorang.
Related article image
Gambar: BERITAmediacorp/Rosli Razak
"Kita pun tidak mahu memberatkan pihak yang memberi dan kita tidak mahu pembaziran sebab kalau kita beri yang berat-berat mungkin sesetengah orang tak boleh makan, yang ada penyakit, " kongsi Cik Khamaria kepada BERITAmediacorp.

Sumbangan tersebut sangat dihargai Cik Ismaliza Samad, ibu tunggal dengan dua orang anak.

"Biasanya ibu saya yang membantu masak apabila saya keluarga bekerja. Alhamdulillah kami dapat makanan ini. Boleh juga kami makan untuk berbuka atau bersahur," kata Cik Ismaliza.

Untuk sesi pengagihan pada Jumaat (7 April) Cik Khamaria dibantu sekumpulan suri rumah yang tinggal berhampiran serta 17 sukarelawan bukan Muslim.

Salah seorang daripadanya adalah Cik Noorhashima Noordin.

"Setelah duduk sini, saya nampak ramai penduduk yang agak kurang kemampuan, jadi di situ saya ingin membantu," kata beliau.

Seorang lagi relawan, Encik Justin Chew dan rakan-rakannya serta sukarelawan lain juga turun padang untuk membantu dalam pengagihan makanan hari ini.
Related article image
Gambar: BERITAmediacorp/Rosli Razak
"Saya fikir di Singapura, kita tidak dapat berinteraksi dengan banyak kumpulan tetapi kita mengambil berat tentang mereka sebagai warga Singapura. Jadi kami membantu mereka yang kurang bernasib baik. Ia sangat memuaskan," ujar beliau.

Ini adalah pengagihan makanan mereka yang kedua pada bulan Ramadan ini.
Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita