Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Para relawan bantu bersihkan rumah-rumah kampung di Pulau Ubin

Selepas tiga tahun ditiadakan akibat pandemik, projek pembersihan kawasan rumah-rumah kampung di Pulau Ubin disambung semula pada Sabtu (26 Nov).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Selepas tiga tahun ditiadakan akibat pandemik, projek pembersihan kawasan rumah-rumah kampung di Pulau Ubin disambung semula pada Sabtu (26 Nov).

Inisiatif 'Projek Gotong Royong' yang diasaskan Encik Syazwan Majid, anak kepada bekas penduduk Pulau Ubin itu, menggalak orang ramai untuk tampil membantu para penduduk kampung lanjut usia, di samping berkongsi keindahan tentang pulau itu kepada orang ramai.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Seawal 9.00 pagi, seramai sepuluh orang relawan sudah berkumpul di Pulau Ubin.

Menerusi inisiatif tersebut, Encik Syazwan, 26 tahun, seorang mahasiswa di Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) berharap untuk berkongsi kepada orang ramai tentang Pulau Ubin di samping melakukan usaha murni.

"Kita sama-sama berganding bahu, menyingsing lengan untuk berikan bantuan kepada masyarakat orang pulau di Pulau Ubin ini. Untuk menyerikan lagi keindahan kampungnya dan terutama sekali sebab Kampung Sungei Durian ini merupakan kampung terakhir buat masyarakat orang pulau di Singapura ini," kata Encik Syazwan, yang aktif melestarikan kisah-kisah pengalaman di Pulau Ubin menerusi lelaman media sosialnya, 'Wan's Ubin Journal'.

(Gambar: Syawal Yusoff)

ALAMI SENDIRI PENGALAMAN HIDUP DI KAMPUNG

Sepanjang dua jam, para relawan menahan cuaca panas untuk membersihkan kawasan halaman salah satu daripada 13 rumah yang masih berdiri teguh di situ.

Menyapu daun-daun kering juga memberikan para relawan peluang untuk mengalami sendiri rutin seharian penduduk di kampung.

"Ini semestinya bukan sesuatu yang kita biasa lakukan di bandar. Jadi ini adalah pengalaman yang baru bagi saya," kata Encik Justin Gnoh.

Bukan itu sahaja, Encik Syazwan yang merupakan anak kepada bekas penduduk Pulau Ubin juga tidak lokek berkongsi fakta-fakta menarik tentang pulau itu.

(Gambar: Syawal Yusoff)

"Saya tidak tahu ada penduduk lain di kawasan ini, atau sekurang-kurangnya ada rumah. Jadi bagus dapat lihat dan ini membuka mata saya," tambah Encik Gnoh.

Bagi seorang lagi relawan, Cik Lelia Low, beliau tertarik untuk menyertai program tersebut kerana mahu meringankan tugas orang-orang kampung.

"Ini sebenarnya kali pertama saya datang ke Pulau Ubin jadi saya fikir adalah baik kalau kita boleh melakukan sesuatu yang bermakna juga," kata Cik Low.

BEKAS PENDUDUK RINDU SUASANA DI PULAU

Bagi pemilik rumah, Encik Ahamad Kassim yang pernah lama menetap di pulau itu, beliau yang lebih mesra dipanggil 'Pak Ahamad' sangat menghargai bantuan para relawan.

Walaupun sudah berpindah dari Pulau Ubin ke kawasan bandar selepas pemergian isterinya dua tahun lalu, 'Pak Ahamad', 88 tahun masih lagi merindukan suasana kehidupan di kampung.



"Pak Ahamad hendak duduk dekat sini tetapi anak-anak takutlah kalau Pak Ahamad sakit atau apa-apa hal terjadi, tidak ada orang tengok. Pak Ahamad sayang rumah ini," kata beliau, yang sekali-sekala pulang bersama anak-anak dan cucu-cucunya, sekadar untuk melepaskan rindu.

"Kalau duduk di flat, Pak Ahamad rasa bosan. Makan tidur, makan tidur. Kalau dekat di kampung, Pak Ahamad boleh bersiar-siar.

"Pak Ahamad rasa, lebih baik duduk dekat pulau tetapi apa boleh buat, sudah tua," ujarnya.



Encik Syazwan berharap untuk menganjurkan kegiatan membersihkan kawasan tersebut sebulan sekali dan memperluaskannya lagi.

"Mungkin juga kita dapat membantu penduduk dengan membersihkan pendalaman rumah mereka. Dan juga kalau mereka memerlukan untuk mengecat semula, kita pun boleh fikirkan tentang itu," kongsi Encik Syazwan.

Sumber : BERITA Mediacorp/SY
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan