Para penyewa TKC beri reaksi bercampur-campur terhadap kerja peningkatan jelang Jun 2023
Para penyewa di Tanjong Katong Complex (TKC) memberi reaksi bercampur-campur terhadap kerja-kerja naik taraf besar-besaran bermula separuh kedua 2023.
SINGAPURA: Para penyewa di Tanjong Katong Complex (TKC) memberi reaksi bercampur-campur terhadap kerja-kerja naik taraf besar-besaran bermula separuh kedua 2023.
Meskipun sebahagian besar mereka mengalu-alukan peningkatan kepada bangunan komersil itu, ada yang tidak meletakkan harapan tinggi untuk kembali ke TKC yang 'baru' apabila ia siap dibina kelak.
Malah, penyewa terbesar di TKC, iaitu The Istana dan The Orange Ballroom, juga sudah mula mendapat tawaran daripada pusat-pusat beli-belah lain.
THE ORANGE BALLROOM, THE ISTANA DAPAT TAWARAN PINDAH KE TEMPAT LAIN
Baru sahaja membelanjakan $1.1 juta ke atas dewan perkahwinan gah The Istana tahun lalu dan $150,000 bagi kerja-kerja ubah elok The Orange Ballroom sekitar bulan April tahun ini, penyewa yang cukup sinonim dengan TKC itu akur dengan kenyataan bahawa mereka perlu berpindah daripada bangunan itu menjelang Jun 2023 nanti.
Bagaimanapun, konsultan The Istana dan The Orange Ballroom, Osman Arriffin menjelaskan bahawa pihaknya menerima pengumuman yang dibuat Penguasa Tanah Singapura (SLA) semalam dengan hati yang tenang memandangkan mereka sedia maklum akan kontrak tiga tahun yang ditandatangani semasa mendapat ruang bagi The Istana tahun lalu.
Konsultan The Istana & The Orange Ballroom, Encik Osman Arriffin berkata: “Kita memang diberi penjelasan yang kontrak akan berlaku selama tiga tahun jadi bukan satu kejutan atau yang mendadak.
"Bila kita lihat kita dah membelanjakan $1.1 juta, insyaAllah kita akan cuba berusaha untuk mendapatkan kembali pelaburan kita. Alhamdulillah tak ada masalah untuk kita mendapatkan pelaburan kita yang untuk tahap pertama sebanyak $1.1 juta insyaAllah dalam bulan Mac depan.
Ini memandangkan, kata Encik Osman, jumlah tempahan bagi dewan Istana-1, Istana-2 dan The Orange Ballroom kesemuanya mencecah lebih 470 tempahan pada tahun ini sahaja.
Malah, dengan jumlah besar hadirin yang sering hadir bagi acara-acara perkahwinan, ia turut menarik perhatian pusat-pusat beli-belah lain yang juga mahukan lebih banyak pengunjung.
Lantaran itu, pihak The Istana dan The Orange Ballroom sudahpun mendapat tawaran daripada pusat-pusat beli-belah berhampiran serta di sekitar Singapura.
“Mungkin mulai bulan depan kita akan bertemu dengan beberapa pihak yang menawarkan kita dan kita akan duduk berbincang," kongsi Encik Osman.
MASA DEPAN PENYEWA VETERAN KURANG JELAS
Meskipun penyewa-penyewa besar mungkin sudah mula melakar pelan perniagaan, masa depan Cik Huan Lee Ha, yang juga penyewa veteran di TKC yang sudah menapak di situ sejak lebih 30 tahun lalu, masih kurang jelas.
Ini kerana dengan penutupan selama tiga tahun bagi kerja-kerja peningkatan bermula Jun 2023 , beliau tidak pasti sama ada akan meneruskan perniagaan di lokasi lain.
Pemilik kedai baju-baju tradisional Melayu Toko Lisa itu berkata: "Kalau bagi saya, tukar (kepada bangunan) baru itu betul, tapi saya sudah lama,di sini sudah ada kawan, ada hati, jadi ada sikit sayang.
"Kalau saya, saya berhenti sebab saya sudah tua. Tak boleh bikin apa."
PENYEWA MUDA POSITIF AKAN PERUBAHAN TKC
Bagi pemilik kedai pakaian wanita dan tudung By Harmoni, Cik Siti Aisyah Ahmad, beliau tidak begitu bimbang tentang penutupan tiga tahun kelak, walaupun baru 17 bulan bertapak di TKC.
Ini kerana beliau yakin dengan perniagaan online yang sudah dibangunkan dan pembukaan kedai kedua di Bussorah Street dua minggu lalu.
Meskipun masih berharap dapat kembali ke TKC, beliau juga melahirkan harapan agar TKC yang 'baru' akan mempunyai gabungan para penyewa yang baik.
"Saya harap TKC baru meskipun ia versi moden berbanding sekarang, saya harap mereka masih dapat mengembalikan penyewa lama, jadi intipatinya masih kekal di TKC. Jadi saya harap ada gabungan moden dan juga penyewa tradisional di sini.
"Saya harap nanti bila TKC siap dibina nanti ada lebih pelanggan. Saya harap ia akan menjadi TKC yang lebih bertenaga," kongsi Cik Aisyah.
PERLU BERSAING BAGI TENDER TERBUKA
Namun bagi segelintir penyewa, mereka tidak pasti sama ada akan dapat kembali ke TKC selepas bangunan yang itu siap dinaiktaraf kelak.
Pemilik kedai haruman dan pakaian wanita Ameer Raj, Feroz Abdullah berkata: "Kami juga diberitahu bahawa selepas tempat ini diubah suai, penyewa sedia ada di sini tidak dapat datang balik dengan cara mengundi.
"Tetapi ia akan dibuka kepada orang ramai jadi ia menjadi proses tender, jadi saya rasa agak sukar untuk kedai-kedai sini untuk kembali balik apabila bangunan ini siap.
Malah, ini juga bermakna akan ada sewa yang lebih mahal memandangkan tender itu dibuka kepada orang ramai, jelas Encik Feroz.
MAHU LIHAT LEBIH BANYAK F&B DI TKC
Rakan kongsi bagi kedai pakaian Haji Abdullah and Sons Pte Ltd, Kamal Rouzie berpendapat pembaharuan kepada TKC sesuatu yang "bagus" kerana masyarakat Melayu "wajar mendapatkan pusat beli-belah yang baru".
"Jadi dengan ini perniagaan-perniagaan juga dapat meningkatkan piawaian kita berbanding di bangunan yang lama. Pada saya pusat beli-belah ini perlukan lebih banyak cawangan-cawangan lain seperti F&B yang kekurangan di sini," kata Encik Kamal.
SLA juga mengumumkan lanjutan enam bulan bagi para penyewa, iaitu hingga Jun 2023, berbanding Disember 2022 sebelum ini.
Berita tersebut juga jelas disambut baik pemilik Fotohi Carpet Gallery, Reza Fotohi.
"Untuk berpindah pada penghujung tahun dan pertengahan tahun, banyak bezanya.
"Ia lebih mudah untuk berpindah pada pertengahan tahun berbanding hujung tahun, jadi saya menghargai apa pihak pengurusan lakukan untuk kami," jelas beliau.
Walau apapun, para peniaga berharap Tanjong Katong Complex yang 'baru' kelak akan dapat menjadi daya tarikan buat para pengunjung dan merancakkan lagi perniagaan di kawasan Jalur Budaya Geylang Serai itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.