Para penyewa Marina Square terkejut dengan notis singkat penutupan pusat beli-belah itu
Para penyewa Marina Square melahirkan rasa terkejut selepas dimaklumkan pusat beli-belah itu akan ditutup pada Mac tahun depan bagi menjalani pembangunan semula.
Marina Square akan ditutup pada 31 Mac 2027 bagi menjalani pembangunan semula yang dijangka siap menjelang 2031. (Gambar fail: TODAY)
Meskipun beberapa pemilik perniagaan dan penyewa sudah mendengar khabar angin mengenai rancangan pembangunan semula itu sejak sekian lama, mereka tidak menjangkakan seluruh pusat beli-belah tersebut akan terjejas secepat ini.
Semua penyewa yang ditemui CNA berkata mereka hanya mengetahui pada pagi Selasa (1 Sep) bahawa Marina Square akan ditutup pada 31 Mac 2027.
Malah, beberapa daripada mereka mengetahui tentang penutupan itu menerusi pelanggan yang prihatin sebelum menerima notis rasmi daripada pihak pengurusan.
Para penyewa yang kontrak sewa mereka berlanjutan selepas Mac 2027 turut mempersoalkan soal pampasan.
Singapore Land Group (SingLand) mengumumkan pada Selasa (1 Sep) bahawa Marina Square Shopping Mall akan ditutup sebagai sebahagian daripada rancangan pembangunan semula kawasan tersebut.
Pembangunan itu akan merangkumi kediaman mewah, sebuah hotel baharu, apartmen servis dan ruang pejabat, dan dijangka siap menjelang 2031.
Tiga hotel sedia ada di kompleks tersebut akan terus beroperasi sepanjang tempoh pembinaan.
TERKEJUT DENGAN NOTIS SINGKAT
Pemilik Stoneage Collection, Cik May Teo, berkata beliau mula mendengar khabar angin mengenai pembangunan semula Marina Square sekitar setahun lalu.
Kedainya sudah beroperasi di pusat beli-belah itu selama 22 tahun.
Beliau sebelum ini bertanya kepada pihak pengurusan mengenai rancangan tersebut tetapi diberitahu bahawa tiada apa-apa yang sudah disahkan.
Cik Teo, 65 tahun, berkata beliau hanya menyedari penutupan itu sudah disahkan selepas menerima mesej daripada para pelanggannya pada Selasa.
Beliau merancang untuk terus beroperasi sehingga Mac 2027, meskipun kontrak sewanya hanya berakhir pada September tahun depan.
Cik Teo turut mempersoalkan bagaimana pihak pengurusan akan memberikan pampasan kepadanya kerana terpaksa berpindah sebelum kontrak sewanya tamat.
Pemilik pusat kecergasan trampolin Prestique Studio, Cik Joraine Tan, juga berkata beliau terkejut dengan notis singkat itu.
Kontrak sewanya hanya berakhir pada Disember 2027.
Menurut Cik Tan, tiada pilihan untuk berpindah ke unit lain ditawarkan kepada perniagaannya dan beliau berharap mendapatkan penjelasan lanjut daripada pihak pengurusan agar dapat merancang langkah seterusnya.
Prestique Studio, yang dibuka pada 2021 dan hanya mempunyai satu cawangan, kini perlu mencari lokasi baharu.
Cik Tan berkata beberapa pusat beli-belah lain sudah menawarkan ruang kepada perniagaannya, namun beliau bimbang mengenai kos dan kesulitan untuk berpindah.
SINGLAND AKAN BEKERJASAMA RAPAT DENGAN PENYEWA
Menjawab pertanyaan mengenai kontrak sewa yang berlanjutan selepas Mac 2027, seorang jurucakap SingLand berkata pihaknya sudah memaklumkan rancangan pembangunan semula kepada para penyewa dan akan bekerjasama rapat dengan mereka sepanjang tempoh peralihan.
SingLand menyatakan ia menghargai hubungan yang dibina dengan para penyewa dan komited untuk memastikan proses tersebut dilaksanakan secara adil dan bertimbang rasa.
Menurut jurucakap itu, operasi di Marina Square akan diteruskan seperti biasa buat masa ini.
Pihak pengurusan juga akan berbincang dengan penyewa mengenai jadual dan langkah seterusnya, termasuk perkara berkaitan pengembalian premis kepada keadaan asal.
Marina Square akan menyambut ulang tahunnya yang ke-40 menjelang penutupannya pada Mac tahun depan.
PENYEWA PERTIMBANG PINDAH
Beberapa perniagaan sudah mula mempertimbangkan lokasi baharu.
Pemilik Coco Veggie Nyonya Cuisine, yang hanya mahu dikenali sebagai Encik Gan, berkata kontrak sewanya berakhir pada Mac dan beliau merancang mencari premis lain di pusat beli-belah lain.
Seorang pekerja The Toy Folks pula berkata perniagaan itu sedang mempertimbangkan untuk berpindah, namun masih meneliti kadar sewa di pusat beli-belah lain.
Pengurus Synwin Violins di Marina Square, Encik Wayne Yap, berkata beliau sudah mengetahui tentang rancangan pembangunan semula kawasan itu tetapi tidak menjangkakan seluruh pusat beli-belah akan terjejas.
Kedai tersebut sudah beroperasi di Marina Square sejak 2009.
Menurut Encik Yap, perniagaannya lebih berkemungkinan berpindah ke premis di luar pusat beli-belah bagi mengurangkan tekanan kos sewa dan kebimbangan mengenai pembaharuan kontrak.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.