Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Para penjaja, pelanggan Pasar Geylang Serai sambut baik pengiktirafan UNESCO

Makanan pusat-pusat penjaja dan rakyat Singapura memang tidak boleh dipisahkan ibarat 'kembar Siam'. 

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Makanan pusat-pusat penjaja dan rakyat Singapura memang tidak boleh dipisahkan ibarat 'kembar Siam'. Pusat-pusat penjaja setempat sentiasa 'hidup' dan menjadi lambang berbilang budaya yang begitu harmoni di bawah satu bumbung.

Lantas, apabila budaya penjaja Singapura menerima pengiktirafan UNESCO, para penjaja makan di Pasar Geylang Serai misalnya menyambutnya dengan penuh gemuruh.

Budaya penjaja Singapura disahkan sebagai Warisan Budaya Tidak Ketara UNESCO dalam persidangan di Paris, Perancis lewat malam semalam waktu Singapura (16 Dis).

Pusat Penjaja Pasar Geylang Serai. (Gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

GERAI MAKANAN PASAR GEYLANG AKAN LEBIH DIKENALI ORANG LUAR NEGARA

Para penjaja di pusat penjaja Pasar Geylang Serai itu menyifatkan pengiktirafan antarabangsa itu sebagai "satu kebanggaan untuk negara" dan ia mampu menaikkan martabat Pasar Geylang Serai.

"Benda yang tempatan ini kalau dikenali di peringkat antarabangsa ini satu pengiktirafan yang baik. Daripada orang tak tahu, di negara lain, mereka dapat tahu. Itu satu kebanggaan untuk kita," kata, Cik Murni Rahamat, penjaja gerai Nasi Ayam Sambal Geylang.

Encik Osman Sudin, yang merupakan penjaja generasi kedua dalam keluarganya, gembira dengan pencapaian terbaru Singapura itu dan berharap lebih ramai orang akan lebih kenal dengan Pasar Geylang Serai.

"Pandangan saya memang baiklah kerana pengiktirafan ini boleh menaikkan Pasar Geylang Serai lagi. Orang ramai akan lebih kenal kepada Pasar Geylang," kata penjaja di gerai Pak Din Nasi Ayam Bakar itu kepada BERITAmediacorp.

Bagi Encik Talib Ali yang menjaja di gerai Otak-Otak Kampung, ini bermakna bukan orang Singapura atau Asia Tenggara sahaja yang tahu tentang pusat penjaja Geylang Serai.

"Baguslah. Jadi semua seluruh dunia tahu Geylang ini ada warisan Melayu masih ada lagi. Masih ada ini barang-barang lama," kata Encik Talib penuh bersemangat.

Para penjaja juga percaya, langkah itu akan membuka mata dunia kepada budaya penjaja tempatan dan ini "bagus untuk identiti Singapura" selain merancakkan kedatangan pelancong dan sekali gus perniagaan mereka.

HARAP RAMAI PELANCONG AKAN KUNJUNGI GERAI GEYLANG SERAI

Yang pasti, pengiktirafan antarabangsa itu diharap menjadi suatu tarikan cukup menggiurkan untuk memancing ramai pelancong supaya mengunjungi pusat-pusat penjaja, sekali gus merancakkan lagi perniagaan dan melestarikan budaya makanan Melayu misalnya.

Penjaja di gerai makanan Timur Tengah, Fhoul Madinah Istimewa, Cik Saripah Fattah berkata, apabila beliau bertanya kepada para pelancong apa yang mereka disuka tentang pusat penjaja Singapura, jawapan yang diterima seringkali berbunyi: "Sebab ada bermacam-macam jenis makanan".

Lantaran itu para peniaga berharap bahawa pengiktirafan UNESCO ini akan menaikkan dan merancakkan lagi perniagaan makanan masing-masing.

"Umpamanya mesti UNESCO sudah war-warkan di luar negara tentang makanan di Singapura ini. Jadi dengan itu dapat membantu kita pegerai-pegerai ini tingkatkan lagi kita punya jualan," ujar Cik Saripah.

Cik Rosnah Samsudin, penjaja gerai Warong Keluarga juga bersetuju dengan kenyataan tersebut. Apabila ditanya apa pandangan beliau tentang pengiktirafan UNESCO ke atas budaya penjaja Singapura itu, ini jawapan beliau diselang seli dengan derai ketawanya yang ceria:

"Maknanya makanan Singapura 'bestlah'! Pelancong datang itu kita mesti banyak perkenalkan kita punya budaya makanan kitalah, itu saja."

ORANG ASING AKAN KENAL MI SOTO, NASI LEMAK, LONTONG...

Para pelanggan turut gembira dengan pengumuman UNESCO itu.

Encik Khairudin Salim misalnya, memberitahu BERITAmediacorp, apabila budaya penjaja di Singapura terus dilindungi ini bermakna para penjaja akan dapat meneruskan perniagaan mereka.

"Mereka boleh kekalkan perniagaan mereka. Ada pendapatan. Saya rasa ini penting. Kalau tak ada mereka semua dah tua. Tak boleh kerja di mana, kerja apa selain daripada meniaga," kata Encik Khairudin yang makan di pusat penjaja Geylang Serai itu bersama isteri dan dua anak remaja beliau semasa ditemui pihak kami.

Beliau menambah, keunikan makan di pusat-pusat penjaja terletak pada makanannya yang 'asli' dan rasa itulah yang boleh dinikmati para pelancong asing jika mereka datang ke pusat-pusat penjaja apabila berada di Singapura.

"Sekurang-kurangnya mereka tahu budaya Singapura kita berbilang kaum kita ada rojak India, makanan Melayu, makanan tradisional. Mi soto, mi goreng," tambah Encik Khairudin.

"Nasi lemak, lontong semua dan untuk perniagaan itu sendiri ia akan berterusan sehingga generasi yang akan datang juga. Jadi akan stabil juga generasi Melayu kita, makanan Melayu kita juga," kata seorang lagi pelanggan, Encik Fandi Malal.

Para penjaja dan pelanggan kini berharap pengiktirafan antarabangsa menerusi status UNESCO itu akan dapat 'menyelamatkan' budaya dan kesinambungan menjadi penjaja. Khususnya kalangan anak-anak muda.

Memang kerja menjadi penjaja makanan tidak 'glamour' dan tidak popular di kalangan anak-anak muda. Jika mereka tidak menjadi menjadi generasi penjaja seterusnya, mungkin hilang budaya penjaja tempatan ini.

Lantaran itulah, suntikan pengiktirafan UNESCO itu diharap memberi nafas baru kepada usaha melestarikan warisan budaya menjaja.

"Penjaja-penjaja lama kan sudah banyak berumur. Kebanyakan yang ada dah pergi. Jadi pelapis itu yang kita harapkan lah. Harapkan yang pengganti dekat sini sampai bila-bila Pasar Geylang kan berterusan," kata Encik Osman lagi. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan