Skip to main content

Singapura

Para peniaga F&B Melayu/Islam perlu dakap teknologi, tingkatkan kemahiran pekerja

Syarikat-syarikat makanan dan minuman (F&B) Melayu/Islam digalak memanfaatkan pendigitalan dan teknologi untuk kekal berdaya saing.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 06 Jul 2023 08:57PM Dikemas Kini : 07 Jul 2023 08:00AM

SINGAPURA: Syarikat-syarikat makanan dan minuman (F&B) Melayu/Islam digalak memanfaatkan pendigitalan dan teknologi untuk kekal berdaya saing.

Ini selain perlu memastikan kakitangan mereka dilengkapi dengan kemahiran untuk mendakap teknologi-teknologi baru.

Pengetahuan dan kemahiran praktikal digital dan teknologi itu ditimba mereka dalam Forum Perniagaan F&B Halal yang dianjurkan buat julung-julung kalinya pada Khamis (6 Jul).

Antara tiga topik yang dibincangkan para peserta forum anjuran SSA Academy dan SkillsFuture itu ialah "Bagaimana teknologi digital boleh memajukan kecekapan perniagaan dalam industri F&B".

(Gambar: Syawal Yusoff)

Empat ahli panel yang terdiri daripada usahawan Cik Denise Deanna dari 'Deanna's Kitchen', Encik Afiq Sulaiman dari 'Black Hole Group' serta pakar digital 'Have Halal Will Travel' dan Bella Khaja berkongsi pengalaman, amalan terbaik serta strategi mereka menggunakan teknologi dalam membina empayar perniagaan masing-masing.

Antara lebih 50 usahawan yang hadir termasuk peniaga dari rumah (HBB) seperti Encik Adhwa Hasif.

Pengasas 'Ground Floor Coffee' berusia 32 tahun itu menubuhkan perniagaannya itu pada tahun lalu.

"Ia membuka mata saya untuk lebih mara ke arah pendigitalan. Dengan cara itu, ia boleh membantu perniagaan kami dari segi menjimatkan masa dan mengurangkan kos. Contohnya seperti penghantaran jadi dengan platform yang tertentu, perkara ini boleh menjimatkan masa kami sebab kami beroperasi sendiri," kata Encik Hasif, yang juga seorang jurugambar sepenuh masa.

PELAJARI CARA-CARA KUKUHKAN LAGI JENAMA

Selain urusan teknologi, para peserta juga diperkenalkan kepada wadah pemasaran digital yang boleh dimanfaatkan mereka.

Topik sedemikian amat dinanti-nantikan peserta seperti pengasas syarikat makanan Halal Jepun, JP Kitchen, Cik Rosnani Abdullahkonali.

Meskipun sudah menubuhkan syarikatnya sejak 2016, beliau tekad untuk menjadikan jenamanya lebih dikenali, lebih-lebih lagi dalam kalangan masyarakat Melayu/Islam.

"Saya ingin menumbuhkan kehadiran digital saya. Jadi metodologi yang boleh dimampui dan cekap dalam mempromosikan perniagaan adakah ia menerusi iklan berbayar seperti Instagram, TikTok, atau Facebook? Sebab sebagai perniagaan mikro, mengambil seorang konsultan yang dibayar memerlukan kos yang tinggi," kata Cik Rosnani.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Dengan pasaran halal berkembang dengan pesatnya, penganjur forum itu juga berharap dapat beri pendedahan kepada peniaga kecil-kecilan cara mengembangkan perniagaan.

Ketua Pegawai Eksekutif SSA Group, Encik Suhaimi Salleh berkata, "Dengan adanya teknologi seperti ini mereka dapat mengembangkan perniagaan mereka dari sebuah pegerai, kepada satu model perniagaan yang dapat menjangkau seluruh Singapura. Dengan cara begini kita dapat melihat anggota ataupun para peniaga kita perlu mengambil peluang dengan adanya teknologi-teknologi yang ada."

MANFAATKAN SKIM-SKIM PEMERINTAH

Para peserta juga diharap lebih peka dengan bantuan serta usaha-usaha sedia ada pemerintah bagi bantu perniagaan mereka.

"Yang penting ialah usahawan Melayu/Islam juga melihat apa yang disediakan oleh agensi-agensi pemerintah dari segi infrastruktur yang disediakan dari segi sokongan untuk menaiktarafkan keupayaan mereka menggunakan pendigitalan, menggunakan teknologi untuk membantu perusahaan mereka," kata tetamu terhormat, Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohamad Maliki Osman.

Beliau turut menekankan perlunya untuk meningkatkan kemahiran golongan para pekerja.

"Penting bahawa para pekerja mereka juga dipertingkatkan dengan kemahiran baru untuk memastikan mereka terus relevan dalam sektor ini. Kita mempunyai program ITE dan juga program diploma bekerja sambil belajar di mana kita memastikan lebih ramai anak muda kita yang ingin berkecimpung dalam sektor ini dapat dibantu dan diberi kemahiran yang sewajarnya supaya mereka akan dapat berjaya dalam sektor ini," tambahnya.

Forum yang dianjurkan sempena Festival SkillsFuture itu turut disokong Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) dan Majlis Pembangunan Masyarakat Tenggara.

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita