Skip to main content

Singapura

Para peniaga bazar Gemilang Kampong Gelam usaha sajikan makanan lebih sihat, harga berpatutan

Kira-kira sebulan sejak dibuka, Bazar Gemilang Kampong Gelam sudahpun menarik hampir 900,000 pengunjung! Pilihan makanan yang lebih pelbagai menjadi daya tarikan utama pengunjung ke bazar yang paling lama beroperasi musim perayaan ini.

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Kira-kira sebulan sejak dibuka, Bazar Gemilang Kampong Gelam sudahpun menarik hampir 900,000 pengunjung!

Pilihan makanan yang lebih pelbagai menjadi daya tarikan utama pengunjung ke bazar yang paling lama beroperasi musim perayaan ini.

Bagaimanapun, harga makanan yang agak tinggi membuatkan sebilangan pengunjung lebih berhati-hati dalam berbelanja.

"Saya rasa kalau kami pergi ke bazar mungkin berbelanja dalam S$30 hingga S$50. Ada gerai menawarkan harga makanan berpatutan dengan mutu makanan. Ada tidak berapa setimpal dengan harga makanan," kata seorang pengunjung, Cik Nurul Jannah Mohd Noh kepada wartawan Syawal Yusoff.

Encik Latiff Suratmman pula berkata: "Kalau (makanan) itu terlalu mahal pun saya akan fikir dua kali juga. Kerana makanan itu saya boleh dapatkan yang lebih murah di tempat lain."
Kira-kira sebulan sejak dibuka, Bazar Gemilang Kampong Gelam sudahpun menarik hampir 900,000 pengunjung! (Gambar: Syawal Yusoff)
Namun, sesetengah pengunjung melihatnya daripada sudut yang lebih positif.

"Bazar Ramadan hanya setahun sekali. Jadi inilah masanya boleh membantu para peniaga ini," kata Cik Nurnadhira Abdul Razak.

Bagi golongan muda pula, daya tarikan bazar lebih kepada trend dan pengalaman mencuba makanan yang popular.

"Sebagai pelajar, bagi saya mahal tetapi ingin katakan 'hype' makanan itu, kami sanggup beratur dan bayar untuk mencuba," kata Syazwan.

TAWAR PILIHAN BERMUTU, LEBIH SIHAT PADA HARGA BERPATUTAN

Bak kata pepatah – ada rupa, ada harga.

Demi memastikan kepuasan pelanggan, Encik Andy Idris dari Balang Kepalang menekankan penggunaan bahan-bahan berkualiti dalam penyediaan minuman 'air balang' yang dijualnya..

"Kami berikan balik dengan nilainya. Bilangannya banyak, bahan yang kami gunakan juga premium untuk memastikan yang S$5 mereka itu tidak membazir," kata Encik Andy.
Demi memastikan kepuasan pelanggan, Encik Andy Idris dari Balang Kepalang menekankan penggunaan bahan-bahan berkualiti dalam penyediaan minuman 'air balang' yang dijualnya..(Gambar: Syawal Yusoff)
Setiap cawan 'air balang' dijual pada harga antara S$4 hingga S$5.

Encik Andy yang memulakan perniagaannya setahun yang lalu menambah, beliau sudah membuat perbandingan dengan harga air balang yang dijual di pasaran.

"Saya sudah membuat kajian pasaran di antara gerai-gerai menjual air balang yang lain. Memang harga S$5 seliter ini memang sudah ada sejak mungkin 3-4 tahun yang lalu. Kalau tidak silap saya, ada juga gerai-gerai air balang seperti saya yang mula jual pada harga S$6.

"Pada saya, langkah untuk mengekalkan S$5 itu adalah untuk pelanggan. Saya rasa mereka tidak harus dibebankan dengan lebih mahal," tambahnya.

Selain menetapkan harga berpatutan, Encik Andy juga mengambil kira maklum balas daripada bazar-bazar sebelum ini dengan menawarkan pilihan minuman yang lebih sihat bagi memenuhi permintaan pelanggan.

"Kami juga menawarkan dua air baru yang tidak menggunakan susu. Ini bagi para pelanggan yang tidak berapa minat minuman yang terlalu manis. Saya pastikan kali ini saya tidak menggunakan sirap ataupun serbuk. Kami gunakan teh bunga sebenar. Untuk pemanisnya saya gunakan pengganti gula," tambahnya.

Pendekatan serupa turut diambil oleh gerai Golden Bao, yang menawarkan roti goreng daging ala Cina pada harga S$10, meskipun ada pelanggan yang merasakan harga tersebut agak tinggi.

"Pau kami disiapkan segar setiap hari. Ianya tidak mengandungi pengawet tambahan. Kesemua bahan mentah dibuat dari tangan," kata Pengasas Bersama, Encik Suhari Mustaffa.
Pengasas Bersama, Golden Bao, Encik Suhari Mustaffa, yang pertama kali menjual hidangan itu di bazar tersebut, menjelaskan bahawa harga yang ditetapkan mengambil kira pelbagai faktor. (Gambar: Syawal Yusoff)
Beliau, yang pertama kali menjual hidangan itu di bazar tersebut, menjelaskan bahawa harga yang ditetapkan mengambil kira pelbagai faktor.

"Kami cuba sedaya upaya kami untuk kekalkan harga itu berpatutan, dimampui oleh semua, Mengambil kira faktor-faktor seperti sewa, pekerja, harga bahan mentah, pulangan kami, faktor-faktor itu akan menetapkan harga kami," ujarnya.
LANGKAH-LANGKAH BANTU PEGERAI JIMAT KOS

Meskipun tiada harga minimum ditetapkan untuk makanan yang dijual, penganjur Bazar Gemilang Kampong Gelam mengambil inisiatif untuk membantu peniaga mengurangkan kos operasi, termasuk menerapkan langkah-langkah mesra alam.

"Para pegerai kami juga disyorkan supaya menggalakkan para pengunjung untuk membeli barangan di kedai mereka dengan menggunakan bekas mereka sendiri," kata Penganjur Gemilang Kampong Gelam, Encik Mohammad Yusoff.

Para pelanggan yang membawa bekas sendiri berpeluang menikmati potongan harga di beberapa gerai terpilih.

Langkah itu bukan sahaja dapat membantu pengunjung berjimat, malah meringankan beban peniaga dengan mengurangkan kos pembungkusan.

"Bagi pegerai pula, mereka dapat mengurangkan perbelanjaan mereka dengan mengurangkan penggunaan plastik," katanya.

BUAT PILIHAN BIJAK KETIKA BERBELANJA DI BAZAR
Menteri Negara Kesihatan, Rahayu Mahzam menekankan kepentingan keseimbangan dan membuat pilihan bijak semasa berbelanja di bazar. (Gambar: Syawal Yusoff)
Menurut Menteri Negara Kesihatan, Rahayu Mahzam, tiada salahnya menikmati pelbagai hidangan menggoda selera sempena musim perayaan.

Namun, beliau menekankan kepentingan keseimbangan dan membuat pilihan bijak semasa berbelanja.

"Pertama, kita boleh membuat pemilihan yang lebih sihat dalam antara perkara-perkara yang kita lihat. Kedua, kita mungkin kurangkan sukatannya, tidak begitu banyak. Ketiga, mungkin kalau kita makan lebih pada hari ini, kita kurangkan pada hari-hari yang lain," kata Cik Rahayu yang juga Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital.

Bazar Gemilang Kampong Gelam akan berlangsung sehingga 25 Mac ini.
Sumber : BERITA Mediacorp/SY
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita