Skip to main content

Singapura

Para penduduk Chua Chu Kang manfaatkan mesin pinjam buku NLB

Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) melancarkan sebuah mesin pinjam buku yang pertama seumpamanya di Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) melancarkan sebuah mesin pinjam buku yang pertama seumpamanya di Singapura.

Terletak di pusat beli-belah Lot One di Chua Chu Kang, para penduduknya merupakan antara yang pertama dapat meminjam buku di luar perpustakaan.

LEBIH 350 BUKU DISEDIAKAN SETIAP HARI

Mesin pinjam buku itu disediakan khas memandangkan perpustakaan Chua Chu Kang ditutup untuk kerja ubah elok sehingga tahun depan.

Mesin itu mengandungi lebih 350 buku bahasa Inggeris bagi peringkat kanak-kanak sehingga dewasa.

Ia termasuk ruang untuk 90 buku yang ditempah.

Buku-buku bahasa Melayu, Mandarin dan Tamil boleh ditempah dan diambil di mesin itu.

Proses meminjam buku dipermudahkan kerana para penggemar buku tidak perlu lagi berjalan ke setiap rak di perpustakaan untuk mencari buku yang ingin dipinjam.

Hanya dengan kad pengenalan serta beberapa ketikan butang, buku yang ingin dipinjam akan tersedia dalam masa 30 saat sahaja.

SAMBUTAN BAIK

Mesin pinjam buku itu akan diisi sepenuhnya setiap hari.

Buku yang tidak dipinjam selama 15 hari akan digantikan dengan buku yang baru.

Jumlah buku yang dapat dipinjam pada satu-satu masa dihadkan kepada 16 naskhah manakala tempoh pinjamannya pula sama seperti jika dipinjam di perpustakaan umum, iaitu selama enam minggu.

Namun, buku-buku yang dipinjam perlu dikembalikan ke perpustakaan-perpustakaan awam.

Dalam masa sejam BERITAmediacorp berada di Lot One, lebih 10 orang dilihat meminjam buku dari mesin itu.

Sekiranya mendapat sambutan baik, NLB akan menimbangkan untuk meluaskannya ke pusat-pusat beli-belah yang lain.  

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita