Para pemimpin S'pura, termasuk PM Lee beri ucapan 'Selamat Berpuasa' kepada umat Muslim
Para pemimpin Singapura termasuk Perdana Menteri Lee Hsien Loong dan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli, menyampaikan ucapan-ucapan selamat berpuasa kepada umat Islam tempatan menerusi catatan di laman media sosial masing-masing.
SINGAPURA: Para pemimpin Singapura termasuk Perdana Menteri Lee Hsien Loong dan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli, menyampaikan ucapan-ucapan selamat berpuasa kepada umat Islam tempatan menerusi catatan di laman media sosial masing-masing.
Menerusi satu catatan di Facebook dan Instagram, PM Lee menyampaikan ucapan "selamat menyambut bulan Ramadan dan selamat menjalani ibadah puasa" kepada semua umat Islam.
Beliau melahirkan rasa gembira bahawa keadaan pandemik di Singapura kini sudah bertambah baik sehingga membolehkan masyarakat Islam solat terawih berjemaah di masjid-masjid sepanjang Ramadan.
"Saya gembira keadaan di Singapura sudah bertambah baik, dan pada tahun ini umat Islam boleh menunaikan solat terawih berjemaah di masjid-masjid sepanjang Ramadan," tulis PM Lee.
"Saya yakin perkembangan ini sangat dialu-alukan oleh masyarakat Islam kita."
Turut menyampaikan ucapan ialah Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat yang juga meluahkan rasa bersyukur kerana masjid-masjid di seluruh negara ini akan membuka pintu bagi solat terawih sepanjang bulan suci Ramadan ini.
"Selamat menyambut bulan Ramadan dan selamat berpuasa! Semoga Ramadan kali ini membawa keberkatan dan rahmat buat seluruh umat Islam," ucap beliau.
MENTERI MELAYU/ISLAM BERI UCAPAN JELANG RAMADAN
Sementara itu, para Menteri Melayu/Islam juga menuliskan ucapan mereka di Facebook bagi menyambut Ramadan.
Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli mengalu-alukan Ramadan ini sebagai sangat istimewa kerana memberi peluang untuk bermuhasabah diri, memperkukuh keimanan serta mengeratkan silaturrahim bersama keluarga dan masyarakat melalui amal jariah.
"Namun ancaman COVID-19 masih berleluasa. Dari itu, walaupun keadaan sudah bertambah baik, kita mesti tetap berjaga-jaga dengan mengamalkan langkah pengurusan selamat," pesan beliau.
Beliau juga berharap masyarakat Melayu/Islam akan mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 apabila tiba giliran mereka, berdasarkan nasihat Pejabat Mufti bahawa mereka boleh disuntik ketika berpuasa.
Menteri Kedua Pendidikan merangkap Menteri Kedua Ehwal Luar, Dr Maliki Osman juga memuat naik ucapan beliau di Facebook.
"Saya dan keluarga ingin mengucapkan kepada semua masyarakat Islam di Singapura, selamat menjalani ibadah puasa yang bermanfaat secara rohani, disokong oleh amalan baik," tulis beliau.
Selain itu, Menteri Negara Kanan Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dan Kementerian Pertahanan (MINDEF), Zaqy Mohamad sempat memberi ucapannya semasa menghadiri satu acara di NTUC FairPrice yang beliau hadiri hari ini.
"Saya ingin mengucapkan selamat berpuasa kepada semua penonton Berita Mediacorp. Semoga anda semua sentiasa sihat dan sejahtera dalam keadaan ini," ujar beliau.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.