Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Para pemimpin masyarakat alu-alukan usaha baru bagi masyarakat Melayu/Islam langkah ke hadapan dengan lebih kukuh

Para pemimpin masyarakat Melayu/Islam menyambut baik inisiatif-inisiatif yang diumumkan Menteri Masagos Zulkifli di Majlis Perjumpaan Hari Raya bersama Menteri pada Jumaat (13 Mei).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Para pemimpin masyarakat Melayu/Islam menyambut baik inisiatif-inisiatif yang diumumkan Menteri Masagos Zulkifli di Majlis Perjumpaan Hari Raya bersama Menteri pada Jumaat (13 Mei).

Antaranya termasuk inisiatif untuk memperluaskan biasiswa Sheikh Isa Semait bagi membantu lebih ramai penuntut madrasah dan mahasiswa cemerlang, pelancaran Program Saham Kesihatan bagi mengurangkan gejala penyakit kronik di kalangan masyarakat serta seruan untuk lebih ramai relawan tampil menyokong usaha mendampingi keluarga yang menetap di flat-flat sewa menerusi projek DIAN@M³.

Ia menarik perhatian beberapa pemimpin masyarakat yang ditemui dan ia membakarkan lagi semangat mereka untuk memainkan peranan masing-masing.

(Presiden Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM), Encik Nassar Mohamad Zain)

"Ia menerangkan atau menunjukkan dalam kita mencapai kemajuan dalam masyarakat, tidak ada dalam kalangan mereka yang telah dipinggirkan dan tercicir dan saya juga terpanggil untuk menyeru para belia kita, pemuda-pemudi kita untuk tampil ke hadapan, untuk menggembleng tenaga untuk menjayakan usaha-usaha ini bersama," kata Presiden Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM), Encik Nassar Mohamad Zain.

(Pengerusi AMP Dr Badrun Nafis Saion)

Pengerusi AMP Dr Badrun Nafis Saion pula berpendapat, "Kita di AMP, dengan program-program kami, dan usaha-usaha kami, kita akan terus menyokong masyarakat kita bersama dengan satu sama lain juga dengan bergotong-royong dengan MMO yang lain,"

Usaha-usaha yang dilakarkan secara menyeluruh itu juga disifatkan sebagai usaha sejagat untuk membawa masyarakat lebih maju bersama.

Selain menyokong usaha Pemerintah dalam memperkasa golongan agamawan menerusi perluasan biasiswa, Persatuan Pemudi-Pemudi Islam Singapura (PPIS) juga sangat mengalu-alukan Program Saham Kesihatan yang baru.

(Presiden Persatuan Pemudi-Pemudi Islam Singapura (PPIS), Cik Hazlina Abdul Halim)

"Saya fikir tiba masanya untuk kita memberikan fokus kepada kesihatan kerana apabila diri kita terjaga dan kita berada pada tahap yang terbaik, ini bermakna kita akan boleh menjadi versi lebih baik diri kita sendiri," kata Presiden Persatuan Pemudi-Pemudi Islam Singapura (PPIS), Cik Hazlina Abdul Halim.

Ini menurut Encik Masagos yang juga Menteri Kedua Kesihatan, boleh dikecapi masyarakat dengan sikap disiplin.

Sikap disiplin itu merupakan antara tiga ciri utama yang digariskan beliau dalam ucapannya.

Selain sikap disiplin, Encik Masagos juga menegaskan bahawa sifat keprihatinan dan ilmu telah membantu masyarakat menangani COVID-19 dan akan menjadikan masyarakat lebih berdaya tahan serta mampu tangani cabaran akan datang.

Ia juga selaras dengan tema majlis iaitu 'Mengharungi Pandemik COVID-19: Berdiri Teguh, Melangkah Kukuh'.

PERLUASAN BIASISWA JADI PEMANGKIN

Dalam usaha untuk memperkayakan lagi penguasaan ilmu serta kemahiran mereka dalam sektor keagamaan khususnya pelajar madrasah dan asatizah dalam menghadapi cabaran akan datang, Encik Masagos turut mengumumkan perluasan kepada biasiswa Sheikh Isa Semait.

Sebanyak S$1 juta akan diperuntukkan setiap tahun.

Langkah itu disambut baik para asatizah yang melihatnya sebagai satu pemangkin.

(Anggota Kehormat Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Singapura (PERGAS), Ustazah Siti Nur 'Alaniah Abdul Wahid)

"Ini lagi menunjukkan tentang bahawa kita perlu lihat madrasah itu walaupun dari sudut falsafahnya masih melakarkan tradisi Islam dan juga nilai-nilai Islam tetapi ianya tidak menghalang daripada untuk kita sesuai dengan peredaran zaman, zaman yang moden dan kita juga harus, peranan madrasah juga harus sesuai dengan konteks sekarang ini," kata Anggota Kehormat Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Singapura (PERGAS), Ustazah Siti Nur 'Alaniah Abdul Wahid.

(Zamil ISEAS - Institut Yusof Ishak, Dr Norshahril Saat)

Penerima pertama biasiswa itu sebelum ini, Zamil ISEAS - Institut Yusof Ishak, Dr Norshahril Saat juga berpendapat perluasan biasiswa itu sebagai memberi penghormatan kepada mantan Mufti Negara.

"Matlamatnya adalah untuk meraikan ilmu dan juga untuk memberikan penghormatan kepada mantan mufti kita, Syed Isa Semait di mana beliau adalah seorang asatizah, amat terkenal dan juga memberikan sumbangan banyak kepada masyarakat dan saya fikir bahawa setiap penerima biasiswa ini harus memikirkan tentang sumbangan beliau," kata Dr Norshahril.

Dr Norshahril menerima biasiswa tersebut pada tahun 2015.

PADANAN JURULATIH, PEMERIKSAAN KESIHATAN ANTARA CIRI-CIRI PROGRAM SAHAM KESIHATAN

Tahap kesihatan masyarakat Melayu yang semakin membimbangkan turut disentuh Menteri Masagos dalam ucapan beliau.

Ini khususnya berkaitan dengan jumlah yang kian meningkat bagi pesakit kencing manis dan mereka yang mempunyai masalah tekanan darah tinggi.

Bagi menanganinya, beliau mengumumkan satu program baru iaitu 'Program Saham Kesihatan' yang akan dikelolakan oleh Setiausaha Parlimen, Cik Rahayu Mahzam.

Program kerjasama dengan Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB), Persatuan Rakyat (PA) dan ActiveSG itu bakal menyediakan program yang memadankan masyarakat dengan jurulatih kesihatan serta mengadakan pemeriksaan kesihatan untuk mengukur tahap kesihatan jasmani mereka.

Sejauh ini, program itu sudah dirintis di dua bandar M³ iaitu di Jurong dan Tampines.

RELAWAN PROJEK DIAN@M³ JADI SUMBER INSPIRASI

Encik Masagos juga menyeru agar lebih ramai relawan tampil untuk menyokong Projek DIAN@M³.

Ini bagi membantu dalam pembelajaran anak-anak yang bersekolah atau melakukan lawatan ke rumah keluarga yang menetap di flat-flat sewa.

Ini khususnya bagi mereka yang mempunyai anak kecil berumur 6 tahun ke bawah.

Menteri Kedua Pendidikan, Dr Maliki Osman yang menerajui usaha tersebut berkata para relawan diharap dapat menjadi sumber inspirasi buat keluarga-keluarga yang didampingi untuk mencapai kejayaan.

SUMBANGAN INDIVIDU BANTU HARUNGI CABARAN COVID-19 DIHARGAI

Pada awal acara yang diadakan di Hotel Pan Pacific Singapore, Encik Masagos dan tetamu terhormat Menteri Kanan, Teo Chee Hean sempat beramah mesra dengan beberapa tetamu yang hadir.

Mereka antara wira-wira barisan hadapan yang menyumbang kepada masyarakat dalam peranan masing-masing sepanjang COVID-19.

Antaranya adalah Jururawat Klinisian Hospital Besar Ng Teng Fong, Cik Rosnah Dahlan.

(Jururawat Klinisian Hospital Besar Ng Teng Fong, Cik Rosnah Dahlan)

Sebagai ketua pasukan, cabaran yang dihadapi beliau sepanjang dua tahun lalu melampaui usaha memerangi COVID-19 itu sendiri.

Beliau juga terpaksa memastikan semangat jururawat di bawah penyeliaannya tidak kendur dan terus kukuh ketika cuba mengawal penularan koronavirus.

Cik Rosnah memberikan dorongan dan cuba menjadi teladan buat mereka untuk terus memberikan penjagaan yang terbaik kepada pesakit.

"Sifat rahmah, sifat empati dan juga sifat ihsan. Saya rasa ini memang sudah diterap di dalam diri dan jiwa seorang jururawat. Saya rasa bukan dalam diri saya sahaja tapi semua jururawat," kata Cik Rosnah.

Selain itu, sikap gotong-royong yang dipamerkan sewaktu bulan Ramadan juga kata Encik Masagos, disaksikan dalam kalangan beberapa sukarelawan yang mahu mendorong lebih ramai anggota masyarakat untuk mengecapi kejayaan seperti mereka.

Sifat keprihatinan terhadap pembelajaran dan masa depan para belia itu dipamerkan oleh dua orang cendekiawan Agensi bagi Sains, Teknologi dan Penyelidikan (A*STAR), Profesor Madya Yusuf Ali.

(Cendekiawan Agensi bagi Sains, Teknologi dan Penyelidikan (A*STAR), Profesor Madya Yusuf Ali)

Dr Yusuf sudah lama terlibat dalam kajian kencing manis dan sudah menerbitkan banyak kertas saintifik tentang penyakit itu di peringkat antarabangsa.

Dalam usaha untuk menarik minat anak muda dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), beliau bersama-sama rakannya termasuk seorang lagi cendekiawan A*STAR, Dr Muhammad Nadjad Abdul Rahim, memulakan sebuah program kesihatan di Tampines dan Choa Chu Kang.

Menerusi inisiatif tersebut, para pengkaji muda dapat menerbitkan dapatan kajian mereka dalam jurnal-jurnal sains antarabangsa.

"Pada pendapat saya, program ini ada dua hasil. Pertamanya mereka akan menggunakan data sebenar dan akan mengkaji data sebenar ini untuk mencari cara untuk menolong masyarakat kita untuk lebihkan kegiatan mereka dalam hal – hal kesihatan. Yang kedua, dengan kegiatan ini saya harap ini akan memupuk minat mereka dalam STEM," jelas Dr Yusuf.


Antara wira barisan hadapan lain yang turut hadir termasuk Pengetua Sekolah Rendah Meridian, Cik Liza Rahmat, relawan Masjid Al-Khair, Cik Asmah Ahmad dan Penerima Anugerah Relawan Mendaki 2022, Encik Faisal Abdul Karim.

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan