Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Para pemimpin masjid berperanan penting jamin masjid terus jadi 'ruang suci yang selamat'

Para pemimpin masjid memainkan peranan penting dalam memberi jaminan kepada para jemaah bahawa masjid-masjid tempatan terus menjadi "ruang suci yang selamat", sama ada bagi kenak-kanak, keluarga mahupun jiran tetangga.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Para pemimpin masjid memainkan peranan penting dalam memberi jaminan kepada para jemaah bahawa masjid-masjid tempatan terus menjadi "ruang suci yang selamat", sama ada bagi kenak-kanak, keluarga mahupun jiran tetangga.

Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) juga berikrar bahawa para pemimpin masjid akan terus memperkukuh dan meningkatkan keupayaan Kesediaan Kecemasannya (EP) demi menjaga keselamatan masjid-masjid tempatan.

Ketua Eksekutif MUIS, Esa Masood, berkata demikian semasa berucap di upacara pelantikan Lembaga Pentadbir Masjid (LPM) bagi Masjid Kelompok Selatan hari ini (30 Jan).

Minggu ini negara dikejutkan dengan berita ngeri penangkapan seorang remaja 16 tahun beragama Kristian Protestan yang mahu menyerang dua buah masjid tempatan - Masjid Yusof Ishak dan Masjid Assyafaah - dan membunuh jemaah di dalamnya.

Encik Esa berkata peristiwa ini merupakan peringatan betapa ancaman radikalisasi secara online menerusi media sosial membawa bersamanya bahaya ideologi-ideologi pelampau dan boleh menyelewengkan para individu khususnya belia.

"Masjid-masjid sudah giat melakukan persediaan bagi senario-senario sedemikian di bawah Rangka Kerja SG Secure. Kita mesti terus memberi penekanan terhadap usaha-usaha sedemikian untuk kekal selamat bagi semua," kata Encik Esa dalam ucapannya itu.

KESEDIAAN KECEMASAN DITEKANKAN

Menurut Encik Esa lagi, dalam usaha mempertingkatkan keupayaan EP, masjid-masjid di Singapura sudah melakarkan beberapa program sejak 2017 seperti Pelan Kesediaan Kecemasan, Pasukan Respons Kecemasan Syarikat (CERT) selain menjalankan beberapa latihan EP.

Pada tahun 2020, MUIS juga sudah memperkenalkan Sistem Bersepadu Saringan Orang Berciri Ancaman (TOPSIS) agar dapat lebih melengkapi masjid-masjid untuk mengesan atau mengenal pasti ancaman-ancaman yang mungkin timbul.

"Keupayaan-keupayaan sebegitu yang kita sudah bina sejak beberapa tahun ini membolehkan masjid-masjid memberi respon pantas dan secara berkesan melaksanakan langkah-langkah Pengurusan Selamat apabila COVID-19 menjejas kita," tambah Encik Esa lagi.

Beliau juga berkata bahawa hubungan erat antara masjid-masjid dan masyarakat terbukti penting untuk mengasingkan sebarang ancaman terhadap struktur sosial masyarakat.

ACARA ISTIADAT LANTIK AHLI LEMBAGA PENGURUSAN MASJID

Pelantikan anggota LPM bagi Masjid Kelompok Selatan kali ini akan menyaksikan 217 sukarelawan dari 19 masjid menerima watikah pelantikan masing-masing.

Bagaimanapun disebabkan pandemik COVID-19, buat pertama kalinya majlis-majlis pelantikan akan diadakan dalam kumpulan-kumpulan kecil sepanjang beberapa minggu ini.

Majlis pertama hari ini diadakan di Masjid Abdul Gafoor yang baru menjalani peningkatan. Ia menyaksikan 39 anggota LPM dari tiga masjid - Masjid Abdul Gafoor, Masjid Bencoolen dan Masjid Al-Abrar - menerima watikah pelantikan masing-masing.

Empat lagi sesi sebegitu akan diadakan untuk Kelompok Masjid Selatan. 

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan