Skip to main content

Singapura

Para pemimpin buruh sambut baik sokongan pemerintah untuk pekerja di tengah-tengah kebangkitan AI

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Usaha memperkukuh sokongan untuk pekerja serta mewujudkan pekerjaan baharu, meskipun Kecerdasan Buatan (AI) mengubah landskap ekonomi, amat dialu-alukan Anggota Parlimen GRC Jalan Besar, Dr Wan Rizal Wan Zakariah dan Naib Presiden NTUC, Abdul Samad Abdul Wahab.

Dalam ucapan Rapat Hari Buruh pada Jumaat (1 Mei), Perdana Menteri Lawrence Wong memberi jaminan akan melindungi setiap pekerja, serta menyeru warga Singapura untuk memainkan peranan mereka dengan mempelajari dan menggunakan teknologi.

PM Wong berkata: "Pemerintah akan menyediakan peralatannya, laluan dan sokongan. Namun kami juga perlukan warga Singapura untuk maju ke hadapan. Jangan biarkan kebimbangan atau ketidakpastian menghalang anda daripada mempelajari dan menggunakan AI. AI akan kekal di sini. Jadi terimalah (AI), pelajarinya, gunakannya dan kuasainya."

"Membawa pertumbuhan yang inklusif tidak berlaku dengan sendirinya. Kita tidak akan menyerahkannya kepada nasib atau semata-mata kepada pasaran. Sebaliknya, kita akan mengambil langkah-langkah yang disengajakan untuk memastikan manfaat AI dikongsi oleh semua," tambah beliau lagi.

SOKONGAN UNTUK PEKERJA DAN RAKYAT DAKAPI AI

Dalam hal itu, AP Buruh, Dr Wan Rizal yang juga Pengarah Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i) NTUC, menyifatkan pengumuman tersebut sebagai langkah yang memberangsangkan.

"Kami tahu cabaran ramai para pekerja tentang kebolehan mereka untuk menggunakan AI. Jadi, menerusi NTUC dan tentu sekali dengan jawatankuasa yang kita baru lakarkan, kami akan bersama untuk memikirkan apakah hala tuju yang baik untuk masyarakat kita, yang lebih disesuaikan untuk masyarakat kita dalam mengatasi cabaran AI," kata Dr Wan Rizal.

"Kita akan bersama untuk mengadakan pelbagai sesi untuk para pekerja kita meningkatkan kemahiran. Bukan sahaja kursus tapi juga menerusi rangkaian yang kita akan adakan seperti rangkaian bimbingan serta pekerjaan yang kita adakan di sana," tambah beliau lagi.
Related article image
AP Buruh, Dr Wan Rizal Wan Zakariah, yang juga Pengarah Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i) NTUC, menyifatkan pengumuman sokongan pemerintah sebagai langkah yang memberangsangkan. (Gambar: BERITA Mediacorp/Hidir Ezat)
Pandangan serupa turut dikongsi Naib Presiden NTUC, Abdul Samad Abdul Wahab, yang menekankan bahawa AI adalah peluang untuk meningkatkan keupayaan dan pendapatan pekerja.

Beliau berkata: "AI bukanlah sesuatu yang akan terus mencabar, tetapi kita harus lihat dari sudut yang beri peluang. Ia akan memudahkan pekerjaan dengan harapan dia boleh lagi meningkatkan lagi gaji para pekerja."

"Apabila pekerja dapat pastikan kemahiran dan kebolehan mereka akan sentiasa dicari, kita jadikan diri kita sebagai 'majikan yang mencari kita, bukan kita mencari majikan'. Dengan adanya AI, keluar di sana belajar tentang AI. Belajar cara macam mana AI dapat meningkatkan diri kita,' tambah beliau lagi.

SWDA DAN SKIM SOKONGAN BERI PELUANG MENDAPATKAN PEKERJAAN

Dalam ucapannya, PM Wong turut mengumumkan tentang pembentukan agensi baharu iaitu Agensi Pembangunan Tenaga Kerja dan Kemahiran (SWDA).

Tujuan kumpulan itu menurut PM Wong adalah untuk merapatkan jurang antara latihan kemahiran dan pemadanan pekerjaan.

Selain itu, PM Wong berkata bahawa portal SkillsFuture juga sedang dipertingkatkan bagi memastikan warga Singapura boleh mencari kursus-kursus yang menepati keperluan mereka dengan lebih khusus.

"Menerusi pendaftaran kursus, anda akan mendapat akses kepada alat AI premium secara percuma selama 6 bulan. Dan saya gembira mendengar sebentar tadi daripada Encik Chee Meng, Setiausaha Agung NTUC, bahawa NTUC juga akan menambah sokongannya di samping sokongan pemerintah ," ujar PM Wong dalam ucapannya.

Menurut Encik Abdul Samad, inisiatif seperti SkillsFuture memainkan peranan penting dalam menyediakan platform pembelajaran berterusan kepada pekerja.

"Dengan adanya Skim Sokongan SkillsFuture dan AI, kita tidak boleh lagi menuduh tidak ada bantuan di luar sana. Maka, sekarang adalah matlamat para pekerja dan rakyat Singapura, dengan bantuan yang tersedia ada. Kita dapat pastikan apakah bantuan yang diperlukan sama ada dari segi peluang meningkatkan kemahiran mahupun mendapatkan bantuan dari segi kos menaikkan kemahiran," kata Encik Abdul Samad.
Related article image
Naib presiden NTUC, Abdul Samad Abdul Wahab mengalu-alukan usaha pemerintah menyokong rakyat mendakapi AI kerana AI adalah peluang untuk meningkatkan keupyaan dan pendapatan pekerja. (Gambar: BERITA Mediacorp/Hidir Ezat)
Dr Wan Rizal yang juga Pengerusi Bersama Jawatankuasa Daya Ekonomi pula menekankan bahawa pendekatan seperti SkillsFuture dan SWDA memberi kejelasan kepada golongan pekerja.

"Ia memberi satu penerangan kepada semua pekerja kerana ramai yang khuatir apabila mereka membuat satu kursus. Bagaimana kursus ini boleh menolong mereka? Adakah kursus ini boleh memberi mereka pekerjaan yang baharu? Pekerjaan yang lebih baik. Dan saya rasa dengan adanya SWDA ini, ia memberi satu satu rangkaian untuk mereka mendapat lebih pekerjaan di sana," kata Dr Wan Rizal.

PENUBUHAN MAJLIS PEKERJAAN TIGA PIHAK BAGI MENYELARAS USAHA, GABUNG SUMBER BAGI TRANSFORMASI

Dalam ucapannya juga, PM Wong menyebut tentang pembentukan Majlis Pekerjaan Tiga Pihak.

PM Wong berkata: "Kami telah menubuhkan Majlis Pekerjaan Tiga Pihak untuk menghimpunkan sumber tiga pihak kita, untuk menyelaras usaha, menggabungkan sumber dan membimbing kerja transformasi penting ini. Dengan itu, kita dapat memastikan usaha kita dalam AI akan saling melengkapi pekerja dan sentiasa memberi manfaat kepada golongan pekerja."

Bagi Dr Wan Rizal, penubuhan majlis tersebut bersifat lebih menyeluruh dalam membantu rakyat Singapura mendapatkan pekerjaan.

Beliau berkata: "Pada pendapat saya, Majlis Pekerjaan Tiga Pihak ini akan lebih menyeluruh di mana mereka akan menolong para pekerja muda dan sebelum itu, anak-anak kita dari universiti lagi. Jadi, saya rasa ini adalah penting kerana kita boleh menolong mereka lebih awal dan memberi mereka satu rangkaian untuk menolong mereka dalam mencari pekerjaan, untuk meningkatkan lagi kebolehan mereka dan daya kerja."

Encik Abdul Samad turut meluahkan pandangan yang sama.

"Apabila ketiga tiga kesatuan ini bersatu, ia akan dapat memberi impak yang lebih sebab lebih mendekati terutama para NTUC. Ahli-ahli kesatuan lebih mendekati pekerja, tentang cabaran pekerja dan juga kita dapat bersatu bersama pemerintah dan bantuan dan juga para majikan," kata Encik Abdul Samad.

Lebih banyak perincian tentang Majlis Pekerjaan Tiga Pihak dan usaha NTUC akan dibentangkan di Parlimen pada minggu hadapan.
Sumber : BERITA Mediacorp/bk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita