Skip to main content

Singapura

Para pemandu lori akur mengangkut pekerja gunakan kenderaan mereka tidak sesuai, namun berusaha pandu dengan selamat

Anggaran Waktu Membaca:
Para pemandu lori akur mengangkut pekerja gunakan kenderaan mereka tidak sesuai, namun berusaha pandu dengan selamat

Gambar fail: CNA/Abigail Ng

Diterbitkan : 10 Aug 2023 08:06AM Dikemas Kini : 10 Aug 2023 08:17AM
SINGAPURA: Pemandu lori Simbu Govindasamy Silambarasan berkata mengangkut pekerja menggunakan kenderaannya biasanya selamat.

"Bukan 100 peratus, tetapi 80 peratus selamat," ujarnya. "Kerana di dalam, tiada tali pinggang keledar. Kadangkala pemandu menekan brek, kemudian kesemua lelaki (terheret) ke hadapan."

Apabila hujan dan jalan raya menjadi licin, ini menjadikan pemanduan lebih berbahaya juga, ujar warga India itu, yang telah bekerja di Singapura selama sekitar tujuh tahun.

Bas adalah lebih selamat, tetapi Encik Simbu, 34 tahun, sedia maklum bahawa ia mungkin tidak wajar memandangkan pekerja di tapak binaan yang berlainan selesai bekerja pada waktu yang berbeza. Mereka yang habis bekerja lebih awal mungkin perlu menunggu lama untuk penumpang lain sebelum bas tersebut dapat membawa kesemua mereka kembali ke dormitori mereka.

Seorang lagi pemandu, yang hanya ingin dikenali sebagai Encik Elumalai, juga menyatakan bahawa ia adalah lebih selamat untuk menggunakan bas, tetapi penggunaan lori lebih wajar bagi syarikat kecil.

Beliau menarik perhatian tentang masalah masa, sepertimana dibangkitkan Encik Simbu, serta perlunya untuk mengangkut bahan atau peralatan serta pekerja secara serentak.

Isu berhubung pekerja yang diangkut menggunakan lori kembali menjadi tumpuan ramai berikutan dua nahas lori yang berlaku bulan lalu, sekali gus meyebabkan lebih 30 orang dikejarkan ke hospital.

Kumpulan hak asasi pekerja hijrahan menggesa pemerintah untuk membentangkan garis masa bagi mengharamkan penggunaan lori untuk mengangkut pekerja. Persatuan perniagaan pula memberi respons dengan memberi amaran mengenai "kerumitan operasi" untuk melaksanakan langkah sedemikian.
Warga net bagaimanapun menyelar kenyataan tersebut. Malah, Duta Kelana Singapura, Profesor Tommy Koh menyatakan bahawa kumpulan perdagangan tersebut "hanya menggunakan taktik menakut-nakutkan".

HAL BERHUBUNG KELAJUAN

Di media sosial, beberapa warga net menarik perhatian bahawa mereka telah melihat pemandu lori yang memandu dengan laju di jalan raya dan memintas atau mengekori kenderaan lain.

Encik Elumalai, 35 tahun, berkata bahawa beliau pernah melihat pemandu seumpama itu di jalan raya. Sungguhpun begitu, beliau memainkan peranannya untuk mengurangkan risiko berlakunya kemalangan.

Beliau berpendapat bahawa ia selamat bagi lori selagi pemandu kekal pada kelajuan 60 kilometer (km) sejam atau 70 km sejam.

Pihak berkuasa telah mengumumkan bahawa had kelajuan diperlukan pada semua lori melebihi berat muatan maksimum 3,500kg.

Butiran peraturan itu akan dikeluarkan pada lewat 2023.

Mempunyai lebih ramai pemandu gantian, ruang yang cukup untuk pekerja di bahagian belakang lori dan menghadkan kelajuan memandu adalah antara cara untuk menjadikan lori lebih selamat, kata para pemandu lori yang ditemui Mediacorp.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita