Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Para pelajar Madrasah Al-Ma'arif Al-Islamiah keluar bilik darjah, kenali warisan berbilang agama

Masyarakat perlu mengamalkan kewarganegaraan yang baik dan mempunyai sifat hormat antara satu sama lain demi menyumbang kepada keharmonian kaum dan agama. 

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Masyarakat perlu mengamalkan kewarganegaraan yang baik dan mempunyai sifat hormat antara satu sama lain demi menyumbang kepada keharmonian kaum dan agama. 

Demikian antara pandangan yang disuarakan para pelajar pra-universiti dari Madrasah Al-Ma'arif Al-Islamiah yang menghadiri sebuah program warisan berbilang kepercayaan dipanggil "Faithful Footprints".

Program itu juga bertujuan untuk memupuk pemahaman lebih mendalam terhadap cabaran yang dihadapi masyarakat tempatan dalam membina keharmonian kaum dan agama yang menjadi teras kepada perkembangan sosio-ekonomi Singapura yang berterusan.

KAMPONG BENCOOLEN PENUH SEJARAH AGAMA DAN BUDAYA

Sejarah Kampong Bencoolen mungkin tidak diketahui oleh ramai orang di Singapura. 

Hakikatnya, kawasan Bencoolen begitu kaya dengan sejarah hubungan antara kaum dan agama yang mesra terjalin di Singapura. 

Misalnya, dalam kawasan meliputi jarak hanya 1.7 km di Bencoolen, terdapat lapan rumah ibadat meliputi agama-agama berbeza.

Ini termasuk Kuil Sri Krishnan yang berusia sekitar 150 tahun.

''

Kuil itu terletak sebelah menyebelah dengan kuil terkenal dalam kalangan masyarakat Cina, iaitu Kuil Kwan Im Thong Hood Cho yang dibina pada tahun 1884.

''

Sejarah kawasan tersebut antara yang dipelajari sekitar 40 pelajar Madrasah Al-Ma'arif Al-Islamiah menerusi sebuah program warisan berbilang kepercayaan dipanggil "Faithful Footprints" anjuran pertubuhan silang agama tempatan Humanity Matters.

Salah seorang pelajar yang menghadiri acara tersebut berkongsi kepada BERITAmediacorp apa yang dipelajarinya. 

Aminah Fairouz Adlee Nazree, 17 tahun berkata: "Hari ini saya pelajari bahawa Singapura merupakan salah satu negara yang paling berbilang agama di dalam dunia." 

''

"Satu perkara yang sangat mengagumkan, walaupun sesuatu perkara itu kecil, tetapi kesannya agak besar. Contohnya, golongan Armenia yang berhijrah ke Singapura, walaupun mereka tidak pernah melebihi 100 orang, mereka telah berjaya membina gereja di Singapura dan sumbangan mereka untuk Singapura agak besar."

Acara itu disempurnakan dengan lawatan ke Masjid Bencoolen yang berusia 197 tahun dan sebuah saumaah Yahudi yang dibina pada tahun 1878.

''

Di setiap rumah ibadat yang dikunjungi para pelajar, mereka akan mendengar perkongsian mengenai agama berkaitan. 
 
Misalnya, di Saumaah Yahudi Maghain Aboth, para pelajar madrasah dapat mempelajari tentang agama Yahudi termasuk sejarah pembinaan rumah ibadat itu, bagaimana sesi beragama diadakan di sana serta kehidupan masyarakat kaum Yahudi di Singapura.

PELAJAR MADRASAH KONGSI PEMAHAMAN TENTANG KEPENTINGAN HIDUP HARMONI

Program selama enam jam itu juga mengetengahkan sesi dialog bersama para pelajar tentang isu-isu genting yang menjejas perpaduan sosial Singapura. 

Semasa sesi tersebut, para pelajar itu juga menyuarakan bagaimana mereka boleh menjadi rakyat Singapura yang boleh menyumbang kepada perkembangan dan keharmonian agama dan budaya. 

''

Muhaiya Yusoff Bamadhaj, 17 tahun berkata: "Saya rasa bahawa kita semua dapat memahami antara satu sama lain, hidup bersama dengan lebih mesra. Sebagai contoh di Singapura, terdapat banyak tempat makan di mana semua orang tidak kira bangsa dan agama boleh makan dan berborak bersama. Itu sangat penting dalam sebuah negara untuk menjadi lebih rapat dan senang untuk membantu antara satu sama lain."

''

"Saya rasa kegiatan sebegini saya dapat dekati dengan masyarakat beragama lain dari negara ini. Saya rasa tanpa kegiatan hari ini, saya mungkin tidak akan tahu banyak perkara tentang agama lain di sini," tambah Muhaiya. 

Aminah Fairouz Adlee Nazree, 17 tahun pula berkata: "Sebagai seorang pelajar madrasah saya sering dikelilingi oleh kaum saya sendiri. Untuk lebih menyepadukan diri saya dalam masyarakat, saya boleh mengikuti program relawan ataupun saya juga boleh mengikuti kursus-kursus yang dijalankan kelab masyarakat untuk berjumpa dan bergaul dengan orang yang berbilang bangsa dan kaum. 

Dalam pada itu, para pelajar Madrasah Al-Maarif Al-Islamiah juga berasa bahawa sifat hormat dan memahami antara satu sama lain adalah penting di dalam kehidupan bermasyarakat. 

"Disebabkan saya belajar di madrasah dan selalunya akan mempelajari tentang Islam, tetapi hari ini saya diberi peluang untuk mengunjung rumah ibadat agama berlainan. Ia membuka minda saya terhadap agama-agama yang berlainan di Singapura."

''

"Saya rasa ini penting kerana disebabkan kita tinggal di negara yang berbilang bangsa dan agama, kita perlu lebih mengetahui agama berlainan supaya kita menghormati agama satu sama lain," ujar Umairah Samihah Abdul Rahim, 18 tahun. 

Lagi tujuh lawatan program "Faithful Footprints" bakal dianjurkan sehingga Februari tahun depan. 

Orang ramai yang berminat menyertainya boleh menghubungi penganjurnya menerusi footprints [at] humanitymatters.org.sg

Sumber : BERITA Mediacorp/hk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan