Skip to main content

Singapura

Para pekerja asing sebahagian keluarga besar S'pura: Timbalan Mufti Dr Mohammad Hannan

Para pekerja asing di Singapura bukan sekadar pekerja tetapi juga adalah tetamu, jiran dan ibarat keluarga kepada masyarakat setempat, kata Timbalan Mufti Negara Dr Mohammad Hannan Hassan dalam catatan Facebook pada Ahad (10 Mei)

Anggaran Waktu Membaca:
Para pekerja asing sebahagian keluarga besar S'pura: Timbalan Mufti Dr Mohammad Hannan

(Gambar: MOM)

Diterbitkan : 11 May 2020 03:26PM Dikemas Kini : 13 May 2020 09:41AM

SINGAPURA: Para pekerja asing di Singapura bukan sekadar pekerja tetapi juga adalah tetamu, jiran dan ibarat keluarga kepada masyarakat setempat, kata Timbalan Mufti Negara Dr Mohammad Hannan Hassan dalam catatan Facebook pada Ahad (10 Mei).

Maka itu, beliau berkata sebagai tuan rumah, jiran dan keluarga, masyarakat setempat bertanggungjawab atas kemaslahatan pekerja asing di sini di tengah-tengah pandemik COVID-19.

Nasib para pekerja asing terutamanya yang tinggal di dormitori, menarik perhatian masyarakat umum baru-baru ini. Mereka membentuk kebanyakan daripada kes jangkitan COVID-19 di sini.

Sejak itu, beberapa kelompok jangkitan dikenal pasti di dormitori-dormitori pekerja asing, dan sekatan pergerakan dilaksanakan ke atas tempat-tempat itu sebagai langkah membendung penularan virus korona.

Ustaz Dr Hannan menulis catatan tersebut setelah turut serta mengagihkan sejadah kepada para pekerja asing yang didermakan oleh orang awam dan masjid-masjid setempat pada Sabtu (9 Mei).

Ia adalah sebahagian daripada usaha MUIS dan Kementerian Tenaga Manusia (MOM) untuk menjaga kebajikan pekerja asing Muslim dan membolehkan mereka terus menjalankan ibadah Ramadan.

KINI GILIRAN MASYARAKAT S'PURA BANTU PEKERJA ASING

Menulis di laman Facebooknya pada Ahad, Ustaz Dr Hannan menekankan bahawa para pekerja asing adalah sebahagian penting masyarakat yang banyak menyumbang kepada pembangunan negara.

"Anda adalah tetamu kami. Anda adalah jiran kami. Anda adalah saudara dan anggota keluarga besar kami. Anda sebahagian penting daripada kami. Anda bukan sekadar pekerja asing.

Anda membuat sumbangan besar untuk membangunkan sekitaran kehidupan yang selamat, selesa dan makmur yang kini dinikmati oleh saya sekeluarga dan seluruh negara. Anda adalah sebahagian penting daripada pembangunan negara," tulis Ustaz Dr Hannan.

Lantaran itu, tambah beliau, kini adalah giliran warga tempatan pula untuk menyumbang kepada kemaslahatan para pekerja itu.

"Apabila kami memerlukan anda, anda hadirkan diri. Dan kini, apabila anda memerlukan kami, kami pula akan hadirkan diri. Sebagai tuan rumah yang baik, kami menjaga tetamu. Sebagai jiran yang baik, kami memastikan keselamatan dan keselesaan. Sebagai anggota keluarga, kami hulurkan kasih sayang dan ihsan," kata Ustaz Dr Hannan lagi.

"Maafkan kami atas kekurangan kami. Saya memohon pada Tuhan agar Dia mengampuni kegagalan atau sebarang kelalaian kami."

UJIAN SEMANGAT KEJIRANAN, SIFAT IHSAN

Meskipun demikian, tambah Ustaz Dr Hannan, beliau berasa yakin bahawa masyarakat setempat "prihatin terhadap kebajikan para pekerja asing, dari sudut fizikal, mental, emosi dan kerohanian".

Timbalan Mufti itu juga menarik perhatian kepada usaha yang dilakukan agensi-agensi pemerintah untuk memastikan keselamatan dan kesihatan para pekerja asing terjaga. Tidak kurang juga, menurut beliau, usaha dari masyarakat yang tampil membantu, termasuk mereka yang berusaha gigih di balik tabir tanpa ingin pengiktirafan.

"Saya tahu ramai yang bersengkang mata untuk menyiapkan juadah sahur. Ada yang mendapat sorotan media, ramai lagi yang bekerja di balik tabir. Merekalah tuan rumah. Merekalah jiran. Merekalah anggota keluarga besar anda. Di sinilah keluarga kedua anda. Inilah contoh teladan sifat kemanusiaan," tulis Dr Hannan.

Ustaz Dr Hannan juga menekankan bahawa pandemik COVID-19 bukan hanya ujian bagi para pekerja asing, yang kini membentuk majoriti kes di sini, namun juga masyarakat secara amnya.

"Ujian sifat kejiranan, keimanan kita kepada Yang Maha Adil, dan sifat kemanusiaan kita. Bagaimanakah seorang yang beriman dapat tidur tenang apabila jirannya dalam kelaparan dan kesusahan? Itulah ajaran Nabi Muhammad kepada kita," ujar Ustaz Dr Hannan.

Beliau mengakhiri catatannya dengan berkata beliau sentiasa berdoa bagi para pekerja asing, rakan-rakan serta keluarga mereka, dan beliau memohon agar mereka dan masyarakat amnya dipelihara Tuhan.

"Kita akan bangkit bersama lebih kuat dan teguh," ujar Ustaz Dr Hannan.


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita