Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Para pegawai ISD yang kerja sepejabat dengan kes positif COVID-19 akan jalani ujian swab

Para pegawai dari Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) yang bekerja dalam pejabat sama dengan seorang rakan sekerja yang diuji positif COVID-19 akan menjalani ujian swab minggu ini sebagai langkah berjaga-jaga. 

Anggaran Waktu Membaca:
Para pegawai ISD yang kerja sepejabat dengan kes positif COVID-19 akan jalani ujian swab

Ibu pejabat Kementerian Ehwal Dalam Negeri di Singapura. (Gambar fail: TODAY)

Diterbitkan : 19 May 2021 11:25PM Dikemas Kini : 19 May 2021 11:29PM

SINGAPURA: Para pegawai dari Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) yang bekerja dalam pejabat sama dengan seorang rakan sekerja yang diuji positif COVID-19 akan menjalani ujian swab minggu ini sebagai langkah berjaga-jaga.

Kementerian Kesihatan (MOH) melaporkan pada Selasa (18 Mei) bahawa seorang wanita warga Singapura berusia 57 tahun - Kes 63379 - diuji positif bagi koronavirus pada 17 Mei.

Beliau mengalami batuk pada 13 Mei dan kehilangan deria bau pada 14 Mei. Pegawai ISD itu mendapatkan rawatan perubatan pada 16 Mei di sebuah klinik umum (GP), tempat beliau didapati positif bagi ujian pantas antigen.

Wanita itu segera diasingkan dan ujian rantaian polimerase (PCR) dilakukan pada hari yang sama. Hasil ujian PCR beliau kembali positif pada 17 Mei.

Beliau juga didapati positif bagi varian B1617 yang pertama kali dikesan di India, menerusi ujian awal. Pegawai itu menerima dos pertama vaksin COVID-19 pada 8 Mei.

Seorang jurucakap ISD berkata pegawai berkenaan bekerja dalam tempoh-tempoh syif berasingan dan kali terakhir melaporkan diri ke tempat kerja pada 14 Mei.

"ISD sedang membantu MOH dengan pengesanan kontak. Semua rakan sekerja yang dikenalpasti berhubungan rapat dengan pegawai itu sudahpun dikenakan arahan kuarantin," tambah jurucakap berkenaan.

"Pembersihan rapi di premis pejabat dan kawasan guna sama sudahpun dijalankan. ISD sedang memantau dengan teliti keadaan pegawai itu serta rakan-rakan sekerjanya yang dikuarantin."

Anggota keluarga Kes 63379, seorang lelaki warga Singapura berusia 59 tahun yang bekerja sebagai seorang perancang kewangan di Great Eastern, juga mengalami gejala serupa dan turut diuji positif pada 17 Mei.

Lelaki itu, dikenali sebagai Kes 63377, juga didapati positif bagi varian B1617 menerusi ujian awal, menurut MOH. Beliau menerima dos pertama vaksin COVID-19 pada 8 Mei, tambah kementerian itu.

PEGAWAI IRAS DIUJI POSITIF

Seorang lagi penjawat awam, wanita warga Singapura berusia 47 tahun yang bekerja di Penguasa Hasil Mahsul Singapura (IRAS), pada 17 Mei dilaporkan sebagai kes yang tidak berhubung kait dengan mana-mana kes sebelum ini.

Wanita itu mengalami demam pada 15 Mei dan mendapatkan rawatan di sebuah klinik umum pada hari yang sama di mana beliau diuji bagi COVID-19. Hasil ujiannya kembali positif pada 16 Mei.

Dalam respons kepada pertanyaan Mediacorp, IRAS menyatakan pegawai IRAS berkenaan kali terakhir bekerja di Bangunan Penguasa Hasil Mahsul Singapura pada 28 April. Selepas itu beliau bekerja dari rumah.

"Tugas beliau tidak melibatkan interaksi bertemu muka dengan anggota awam," menurut IRAS.

"IRAS sudahpun berhubungan dengan pegawai itu dan keluarganya untuk menghulurkan sokongan serta bantuan.

"Sebagai langkah berjaga-jaga, IRAS menjalankan kerja pembasmian kuman secara menyeluruh di kawasan pejabat."  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan