Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Para pakar Meta, Amazon kongsi tip pemasaran dengan peserta Konvensyen Perniagaan DPPMS

Penggunaan video bagi tujuan pemasaran menerusi media sosial boleh bantu para peniaga kembangkan lagi perniagaan.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Penggunaan video bagi tujuan pemasaran menerusi media sosial boleh bantu para peniaga kembangkan lagi perniagaan.

Demikian antara panduan berguna yang dikongsikan oleh para pakar jemputan di acara DEWIDigi 2022 pada Rabu (19 Okt).

Acara itu kembali diadakan secara fizikal tahun ini bersempena Konvensyen Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS), yang berlangsung dari 19 hingga 21 Oktober.

Ia bertujuan menyediakan wadah bagi para peniaga dan usahawan wanita menimba pengetahuan mereka serta memahami trend terkini dalam landskap perniagaan.



"Ia memberi ruang kepada peniaga-peniaga terutama sekali para wanita untuk memahami dengan lebih mendalam lagi tentang dunia pemasaran dan pendigitalan.

"Saya mengambil peluang ini untuk menjemput penceramah dari Meta atau Facebook dan Amazon. Dua syarikat gergasi di bidang teknologi yang meraih keuntungan sebanyak berbilion dolar dan pengalaman mereka yang telah mereka berkongsi bersama para hadirin hari ini, dapat memperkasa masyarakat kita," kata pengerusi DEWIDigi, Cik Hani Mohamed.

PEMBENTANGAN UCAPTAMA, 'MASTERCLASS', PERBINCANGAN ANTARA SAJIAN ACARA

Antara aturcara yang disediakan bagi sekitar 100 peserta yang hadir ialah pembentangan ucaptama, kelas-kelas khas atau 'masterclass', sesi-sesi perbincangan bersama pakar-pakar industri dan jenama-jenama termasuk Scanteak, K's Keria, Chokmah, Pawtner dan The Paper Bunny.

Dalam pembentangan ucaptama oleh syarikat gergasi Meta misalnya, pemilik syarikat-syarikat kecil dan sederhana (SME) mempelajari tentang cara-cara memanfaatkan ciri-ciri rangkaian media sosial untuk merancakkan lagi perniagaan mereka, khususnya bagi yang terjejas dek pandemik.


(Gambar: Syawal Yusoff)

"Dengan ciri-ciri yang ada di Facebook, Instagram dan WhatsApp, itu dapat membantu untuk berkomunikasi dengan pembeli dan juga memperkenalkan khidmat, jenama atau produk yang mereka jualkan untuk secara lebih luas dikenal oleh pembeli dan juga calon-calon pembeli yang mungkin sebelumnya belum tahu apa tentang jenama tersebut," kata Pengarah Dasar Awam untuk Asia Tenggara, Meta, Cik Rahimah Abdulrahim.

Menerusi sesi-sesi kelas bersama pakar yang diadakan dalam saiz yang lebih kecil pula, para peserta berpeluang mendalami topik-topik termasuk kepentingan mempunyai mesej yang kukuh bagi perniagaan-perniagaan kecil dan penjenamaan sesebuah syarikat.

"Para peniaga atau individu dapat membawa pulang ideologi, langkah-langkah, cara-cara, bagaimana mereka untuk melaksanakan strategi jenama yang membolehkan syarikat mereka menarik pelanggan. Ini adalah satu formula yang mungkin barangkali kita sendiri ada lakukan tapi kita tidak sedar. Jadi tujuan saya untuk memberi lebih penjelasan dan pemahaman mendalam," kata Pengasas dan Pengarah Kreatif, syarikat Adguru.sg, Encik Shad Salleh.

MANFAAT UNTUK SEMUA JENIS USAHAWAN

Para peserta yang ditemui mendapati perkongsian yang diadakan sangat berguna serta berharga bagi perniagaan mereka.

"Sekarang semuanya tentang media sosial jadi kita kena berhubung dengan pelanggan kita. Macam mana kita nak faham apa keperluan pelanggan kita. Untuk ByHerbs mereka banyak produk untuk kesihatan jadi kita kena faham apa keperluan mereka dan pada era ini, kita nak tahu macam mana kita boleh mendampingi, nak berhubung dengan pengguna untuk mereka tahu tentang produk kita," kata Pengurus, ByHerbs Pte Ltd, Cik Liz Latiff.

Para peniaga dari rumah pula, mereka juga merasakan tip yang dikongsi amat berguna untuk merancakkan lagi usaha pemasaran mereka.

"Berada dalam konvensyen seperti ini, anda dapat mendengar dan lebih memahami khususnya dengan apa yang baru saya tahu tentang menggunakan mesej perniagaan dan WhatsApp perniagaan dan bagaimana ia bagus dan canggih," kata Cik Sery Rahim, penjual kek, Violetfrost.



Acara itu turut diserikan dengan kehadiran Menteri Negara bagi Ehwal dalam Negeri merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga, Sun Xueling yang hadir pada sebelah pagi acara. Pada sebelah petang pula, para hadirin disertai Setiausaha Parlimen Kanan bagi Kesihatan merangkap Undang-undang, Rahayu Mahzam.

Dalam ucapan penutupnya di acara itu, Cik Rahayu memuji bagaimana inisiatif DEWIDigi membantu membina ekosistem yang mampan dalam menyokong usahawan wanita dengan menggalak mereka memanfaatkan pendigitalan, serta membuka peluang untuk kerjasama dan membina rangkaian.

"Menjangkaui satu ekosistem sokongan, memperkasakan wanita untuk mencapai aspirasi mereka memerlukan kerjasama di setiap peringkat untuk kemajuan yang seterusnya. Kita semua ada peranan untuk cetuskan anjakan minda kepada budaya menghormati. Dalam setiap peranan yang dimainkan dan setiap lingkaran pengaruh yang kita sertai, kita boleh jauhi stereotaip jantina tradisional dan menghakis apa-apa yang menghalang kita daripada menjadi pemangkin kebolehan wanita," kata Cik Rahayu.

Acara kemuncak konvensyen perniagaan tiga hari ini bakal menyaksikan pengiktirafan beberapa peniaga dan syarikat menerusi lapan kategori di majlis penyampaian anugerah pada Jumaat (21 Okt) yang akan dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Lawrence Wong.

Sumber : BERITA Mediacorp/SY
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan