Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Para jemaah mulai rapatkan saf semasa solat berjemaah hari ini

Jarak selamat tidak lagi diperlukan di masjid-masjid apabila para jemaah memakai pelitup sewaktu mengerjakan solat secara berjemaah dan kegiatan-kegiatan lain.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Para jemaah sudah mulai merapatkan saf sejak solat Subuh pagi tadi (17 Mac).

Ini seiring dengan pengumuman Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian (MTF) untuk melonggarkan beberapa langkah-langkah pengurusan selamat COVID-19.

Ini bermakna jarak selamat tidak lagi diperlukan di masjid-masjid apabila para jemaah memakai pelitup sewaktu mengerjakan solat secara berjemaah dan kegiatan-kegiatan lain.

Kesemua masjid juga sudahpun menanggalkan papan-papan tanda berhubung jarak selamat dan penanda-penanda di dewan solat selepas solat Isyak semalam bagi memudahkan aturan baru itu.

Pengerusi Eksekutif Masjid bagi Masjid Al-Muttaqin, Encik Mohd Fairus Abd Manaf menghargai usaha para kakitangan dan sukarelawan yang bertungkus-lumus membuat persiapan di masjid itu.

muttaqin
(Gambar: MUIS)

"Kakitangan dan sukarelawan kami bekerja keras walaupun semasa cuti sekolah untuk mengimbangi masa bersama keluarga sambil memastikan masjid kami bersiap sedia melaksanakan perubahan bagi berkhidmat kepada para jemaah kami.

"Saya berbesar hati dengan semangat positif mereka untuk tampil dan menyumbang masa dan tenaga mereka. Alhamdilillah, semua kerja menanggalkan papan-papan tanda jarak selamat di Masjid Al-Muttaqin sudah selesai dan kami mengalu-alukan para jemaah dalam sekitaran yang lebih relaks dan selamat," kata Encik Fairus.

muttaqin
(Gambar: MUIS)

Masjid Al-Mukminin juga memuat naik video yang menunjukkan tiada lagi jarak selamat semasa solat Subuh pagi tadi.

JATUH SERENTAK DENGAN MALAM NISFU SYA'BAN

Pelaksanaan langkah-langkah baru itu juga bermula serentak dengan tarikh di mana umat Islam di Singapura menyambut malam Nisfu Sya'ban, selepas solat Maghrib.

Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) dalam kenyataan medianya juga berkongsi orang ramai boleh mengalu-alukan ketibaan bulan Ramadan dan melaksanakan ibadah dan kegiatan di masjid dengan peraturan yang dilonggarkan itu. 

Para jemaah bagaimanapun masih perlu menempah slot bagi solat Jumaat.

Jemaah juga masih perlu terus memakai pelitup serta membawa keperluan solat peribadi seperti sejadah masing-masing.

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan