Para jemaah boleh tempah slot solat Jumaat setiap minggu bermula minggu depan
Bermula minggu depan, para jemaah boleh membuat tempahan slot bagi solat Jumaat setiap minggu. Ini berbanding dua minggu sekali yang dilaksanakan sekarang ini.
SINGAPURA: Bermula minggu depan, para jemaah boleh membuat tempahan slot bagi solat Jumaat setiap minggu. Ini berbanding dua minggu sekali yang dilaksanakan sekarang ini.
Demikian dedah Ketua Eksekutif Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) Encik Kadir Maideen Mohamed, selepas Majlis Zikral Maulid bersama Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir yang berlangsung di Masjid Al-Falah hari ini (4 Nov).
PERUBAHAN WAKTU SESI SOLAT JUMAAT
Encik Kadir juga mengumumkan perubahan bagi waktu sesi solat Jumaat.
"Dengan waktu Zohor yang kini bermula dengan lebih awal, pihak masjid juga telah menyemak semula masa untuk permulaan sesi pertama solat Jumaat," kata beliau.
Bermula 12 Nov, sesi pertama akan berlangsung dari 12.45 tengah hari hingga 1.30 petang.
Sesi kedua akan berlangsung dari 1.45 petang hingga 2.15 petang atau 2.00 petang hingga 2.30 petang, mengikut kemampuan dan saiz masjid. Sesi ketiga pula akan berlangsung dari 2.30 petang hingga 3.00 petang.
"Semakan ini hanya dapat dilakukan hasil kerjasama jemaah, kakitangan dan sukarelawan masjid.
"Mereka semua memahami prosedur standard (SOP) dan langkah-langkah pengurusan selamat yang ditetapkan dan mengikutinya dengan sempurna," kata Encik Kadir.
TEMPAH IKUT SESI, TIDAK LAGI IKUT ZON
Pengarah Kanan bagi Masjid dan Pembangunan Masyarakat Encik Zaini Osman menjelaskan orang ramai juga tidak lagi perlu membuat tempahan slot berdasarkan zon, tetapi hanya berdasarkan sesi.
Jika sebelum ini para jemaah dapat melihat baki slot bagi zon-zon dalam setiap sesi, kini mereka hanya akan melihat baki slot bagi setiap sesi.
Ini juga bermakna para jemaah yang tiba di masjid terlebih dahulu bermula Jumaat depan (12 Nov) akan terus mengisi ruang di zon-zon hadapan.
SESI SOLAT DIKURANGKAN KEPADA 2 SESI BAGI KEBANYAKAN MASJID
Encik Zaini juga menarik perhatian sebahagian besar Masjid-Masjid Lebih Selamat akan dikurangkan kepada 2 sesi solat Jumaat.
Ini kerana menurut MUIS, maklum balas dari pihak masjid-masjid mendapati, sesi ketiga solat Jumaat kurang popular di kalangan jemaah dan slot yang diisi "amat berkurangan".
Sebaliknya, slot bagi sesi ketiga itu akan "dialihkan" kepada sesi pertama dan kedua.
Dalam perkataan lain, masjid-masjid berkenaan akan mempunyai lagi satu atau dua zon tambahan bagi setiap sesi pertama dan kedua.
Hasilnya, lagi 3,000 ruang akan diwujudkan bagi sesi pertama dan kedua secara keseluruhannya.
Sebilangan masjid yang mempunyai banyak permintaan tetap akan mengekalkan tiga sesi.
Butiran lanjut mengenai perubahan-perubahan di setiap masjid akan dihebahkan melalui laman Facebook MUIS minggu depan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.