Skip to main content

Singapura

Para doktor gigi rayu kelonggaran untuk rawat pesakit yang alami kesakitan

Peraturan ketat yang dikenakan ke atas klinik pergigian sepanjang tempoh pemutus rantaian jangkitan COVID-19 selama dua bulan, untuk mengawal kegiatan sosial dan perniagaan, menyebabkan sebilangan pesakit merana kesakitan untuk jangka masa yang lama.

Anggaran Waktu Membaca:
Para doktor gigi rayu kelonggaran untuk rawat pesakit yang alami kesakitan

(Gambar: Chalabala/Canva)

Diterbitkan : 09 May 2020 09:21PM Dikemas Kini : 09 May 2020 09:27PM

SINGAPURA: Peraturan ketat yang dikenakan ke atas klinik pergigian sepanjang tempoh pemutus rantaian jangkitan COVID-19 selama dua bulan, untuk mengawal kegiatan sosial dan perniagaan, menyebabkan sebilangan pesakit merana kesakitan untuk jangka masa yang lama.

Mereka gagal mendapatkan rawatan yang diperlukan ketika mengalami sakit gigi dan sakit mulut yang lain.

Sebilangan doktor gigi memberitahu Mediacorp bahawa mereka terpaksa menolak ramai pesakit atau memberi mereka rawatan bersifat sementara untuk mengatasi sakit mereka sehingga sekatan tersebut ditarik balik. Langkah pemutus rantaian jangkitan, yang bermula pada 7 April dan dijadualkan berakhir pada 1 Jun, bergantung kepada kadar jangkitan COVID-19 dalam masyarakat.

Sebilangan pesakit yang mengalami jangkitan gigi yang serius disuruh pulang dengan ubat penahan sakit dan antibiotik kerana doktor gigi tidak dapat melakukan prosedur yang diperlukan namun dianggap sebagai tidak penting.

Meskipun masalah gigi mereka tidak cukup serius sehingga memerlukan rawatan perubatan segera, para pesakit mengatakan bahawa sakit gigi menyebabkan mereka tidak lena tidur dan tak lalu makan.

Khidmat pergigian dianggap khidmat penting dan klinik dibenarkan buka. Namun beberapa prosedur seperti pembedahan mencabut gigi, membuat gigi palsu dan menampal gigi dianggap sebagai khidmat pergigian yang tidak penting yang harus ditangguhkan. Ia boleh dilakukan hanya jika pesakit mengalami kesakitan yang teruk.

Sebilangan pesakit yang tidak mengetahui perkara ini pergi ke klinik mereka, namun akhirnya disuruh pulang atau diberitahu semasa rujukan bahawa tidak banyak yang dapat dilakukan untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Dalam makluman pekeliling bertarikh 12 April oleh MOH kepada klinik pergigian dan pengamal pergigian berdaftar, yang dilihat Mediacorp, hanya prosedur penting boleh dilakukan dalam tempoh pemutus rantaian jangkitan. Ini adalah untuk pesakit yang memerlukan perhatian segera atau mereka yang mempunyai keadaan yang berpotensi mengancam nyawa.

Namun, pesakit-pesakit ini sering tidak menyedari bahawa mereka perlu pergi terus ke klinik awam seperti di Pusat Pergigian Nasional Singapura atau Pusat Universiti Nasional untuk Kesihatan Mulut dan mereka tidak dapat mendapatkan rawatan pergigian di klinik-klinik privet buat masa ini. Pengamal privet hanya dapat menstabilkan keadaan sebelum merujuk pesakit ke dua institusi awam itu.

JANGKITAN BOLEH JADI MAKIN TERUK

Meskipun doktor gigi yang ditemui Mediacorp bersetuju dan memahami peri perlunya langkah-langkah jarak selamat untuk membendung penularan COVID-19, mereka risau bahawa penangguhan rawatan untuk sebilangan pesakit akan mengakibatkan masalah pergigian yang lebih teruk atau kekal pada masa depan.

Dr Ronnie Yap, 51, seorang doktor gigi privet, berkata: “Bagi masalah sakit gigi, walaupun sakitnya ringan, ia bukan pertanda baik. Biasanya jika pesakit mengalami kesakitan, itu sudah menjadi tanda bahawa (jangkitan) sudah cukup berat.

"Pencegahan pasti lebih baik daripada merawat dan rawatan awal lebih menjimatkan bagi pesakit ... Sekiranya anda menangguhkan (rawatan), ia akan menjadi semakin buruk akhirnya."

Selain tidak mendapat rawatan perubatan yang mereka perlukan, sebilangan pesakit harus menghabiskan lebih banyak kerana mereka perlu lebih kerap pergi berjumpa doktor gigi untuk mendapatkan rawatan sementara.

PROSEDUR BOLEH DIJALANKAN SECARA SELAMAT

Dr Yap berkata bahawa sebagai karyawan perubatan, doktor gigi sudah terbiasa memakai peralatan pelindung diri seperti gaun dan pelitup.

"Sebilangan besar pesakit sihat dan kami membasmi kuman dan membasmi kuman pada peralatan dan kawasan kami selepas setiap pesakit.

"Dengan jumlah jangkitan masyarakat semakin mendatar, dan kerana kami tahu klinik pergigian selamat untuk pesakit kerana tidak banyak kes merebak dalam konteks ini, kami berpendapat beberapa sekatan harus dilonggarkan agar pesakit dapat menemui doktor gigi untuk sebarang kesakitan atau ketidakselesaan."

Dr Lim Lii, presiden Persatuan Pergigian Singapura (SDA), berkata bahawa persatuan itu menyedari kesukaran yang dihadapi oleh doktor gigi dalam tempoh ini.

“Selama ini, doktor gigi dimaklumkan oleh MOH untuk menangguhkan semua prosedur atau pembedahan elektif yang baru dan berterusan serta hanya menyediakan rawatan pergigian yang penting dan kecemasan.

"Ini demi membantu dalam memerangi COVID-19, untuk meratakan lengkungan, dengan mengurangkan jumlah kunjungan dan interaksi pesakit seberapa mungkin," kata Dr Lim.

"SDA memahami bahawa ini adalah masa yang mencabar untuk pengamal kesihatan gigi dan sedang meneroka pelbagai cara untuk membantu klinik mengatasi tempoh sukar ini, baik dari segi kewangan dan profesional."


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : Today/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita