Skip to main content

Singapura

Para belia SG raih jumlah pesanan memberangsangkan melalui jualan penstriman langsung di TikTok

Anggaran Waktu Membaca:
Para belia SG raih jumlah pesanan memberangsangkan melalui jualan penstriman langsung di TikTok

Gambar: Lim Li Ting/TODAY

Diterbitkan : 13 Nov 2023 10:20PM

SINGAPURA: Sedang ramai rakan-rakannya tidur, bermain atau belajar pada jam 2.00 pagi, Sachin Nagappan yang berusia 18 tahun membuat penstriman langsung atau 'livestream' di TikTok.

Namun, dia tidak menari atau membuat kandungan lucu, malah dia menjual produk keperluan rumah seperti kopi segera dan pod sabun pencuci baju.

Pelajar politeknik ini menjalankan perniagaan e-dagang SGBestDeal bersama ibunya, Ramya Manickam, 44 tahun.

Ketika memulakan perniagaan ini sewaktu tempoh memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 pada 2020, mereka menjual produk-produk melalui berbagai platform e-dagang yang berbeza. Kini, mereka membuat jualan melalui penstriman langsung di TikTok yang mendapat bilangan pesanan yang tertinggi sejauh ini- sekitar 1,500 pesanan setiap bulan.

"Pada mulanya, kami khuatir kerana produk kami tidak begitu menarik buat golongan muda, tetapi kami memberikan sentuhan yang menyeronokkan supaya mereka benar-benar tertarik," kata Encik Sachin. Pada Mac lalu, beliau mendapat 50,000 penonton dalam penstriman langsung menjual pod sabun pencuci baju.

Pelanggan SGBestDeal mencerminkan demografik pengguna TikTok - kebanyakannya di kalangan usia 18 hingga 35 tahun - membuatkan ramai pemilik perniagaan menggunakan platform ini untuk mendekati pelanggan seusia.

Akaun TikTok Shop kini juga semakin banyak - dengan jumlah kedai meningkat lima kali ganda sejak Oktober tahun lalu. Sekitar 60 peratus kedai-kedai ini membuat penstriman langsung ketika waktu-waktu sibuk seperti 10.10 Shopping Sale.

Menjawab pertanyaan Mediacorp, TikTok berkata bahawa terdapat lebih 100,000 sesi penstriman langsung TikTok Shop di Singapura setiap bulan.


LEBIH MUDAH BERINTERAKSI DENGAN PENJUAL

Tidak seperti platform media sosial yang lain, TikTok shop membolehkan para pelanggan membeli dan membayar melalui aplikasi itu sendiri.

Pengguna yang membuat pesanan melalui penstriman langsung berkata bahawa ia mempunyai unsur-unsur "kemasyarakatan", seperti peluang mengenali para pengguna lain, mendengar penjual memanggil nama mereka apabila mereka membuat pesanan dan mendapatkan pendapat para pengguna lain ketika membuat pesanan.

Frances Pek, seorang konsultan berusia 24 tahun, berkata bahawa bahawa pelanggan sepertinya mungkin lebih senang membuat pesanan kerana para penjual dapat menjawab soalan mereka dengan segera.

Para penjual juga berkata bahawa mereka kini mengenali pelanggan setia melalui nama akaun mereka.

Bagi pelanggan-pelanggan sebegini, para penjual cuba mendapatkan maklum balas mengenai produk mereka dan memberi hadiah dengan adanya pesanan baharu.

Bagi pelanggan baharu pula, para penjual akan cuba untuk mengenali mereka dengan lebih lanjut - seperti kondisi kulit atau jenis bau yang digemari mereka - supaya dapat memastikan produk yang sesuai bagi mereka.

Related article image
Gambar: Emporal Co

HUBUNGAN 'PARASOSIAL'


Hubungan antara hos penstriman langsung dengan penonton adalah sebuah contoh hubungan 'parasosial', hubungan berat sebelah yang dibentuk dengan persona media, kata Penolong Profesor Andrew Yee dari jabatan Kemanusiaan, Seni dan Sains Sosial di Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura (SUTD).

Walaupun ia mungkin serupa dengan hubungan antara selebriti dengan para peminatnya, hubungan parasosial di media sosial mungkin lebih intim dan akrab.

Menonton penstriman langsung melalui telefon bimbit juga boleh memupuk rasa hubungan yang lebih erat antara hos dengan penonton mereka, yang mungkin meningkatkan kemungkinan mereka membuat pesanan kerana rasa ibarat atas galakan seorang rakan, tambah Penolong Profesor Yee.

Walaupun Tiktok sering digunakan oleh demografi yang lebih muda, barangan keperluan rumah masih laris dijual. Ini kerana karisma penjual mungkin lebih penting daripada produk itu sendiri, kata Dr Tracy Loh, seorang pensyarah kanan pengurusan komunikasi di Universiti Pengurusan Singapura (SMU).

Beliau juga menambah bahawa barangan yang kelihatan lebih cantik mungkin lebih mudah untuk dijual, kerana para penjual dapat mengimbangi ketidakupayaan penonton untuk menyentuh atau merasakan produk dengan menunjukkannya pada sudut yang berbeza, tambahnya.

SAINS DI SEBALIK PENJUALAN DI TIKTOK

Begitulah cabaran yang dihadapi Aqilah Adnan, 25 tahun, yang juga pengasas Benew iaitu sebuah jenama yang menjual lulur badan dalam bentuk bola, lulur bibir dan pelembap wangian.

Ketika melakukan penstriman langsung, yang kadangkala memakan masa selama lima jam, Cik Aqilah akan menguruskan pesanan yang diterima dan berbual mengenai pelbagai lulur badan yang ditawarkan. Beliau turut membuat demonstrasi menggunakan produk-produknya.

Oleh kerana para penonton tidak dapat menghidu bau produk-produknya, Cik Aqilah cuba memberikan penerangan yang jelas dalam penstriman langsung.

Menurut perniagaan yang melakukan penjualan melalui penstriman langsung di TikTok, perkara yang menarik penonton bukanlah produk mereka sehaja, tetapi keperibadian hos yang menjalankan penstriman itu juga.

“Apabila mereka sukakan anda, sama seperti YouTube, jika anda gemar pada seseorang, anda akan menontonnya walaupun anda tidak membeli apa-apa. Kami mempunyai pelanggan yang berkata, ‘Oh, saya suka menonton cara anda bercakap’,” kata Cik Ramya dari SGBestDeal.

Related article image
Gambar: Lim Li Ting/TODAY
MASA DEPAN E-DAGANG?

Para pakar percaya bahawa penjualan melalui penstriman langsung akan berkekalan.

Kajian yang dijalankan oleh TikTok dan Boston Consulting Group yang dikeluarkan Ogos tahun lalu mendapati bahawa nilai pasaran “shoppertainment” – gabungan e-dagang dan hiburan – dijangka meningkat kepada lebih AS$1 trilion (S$1.4 trilion) menjelang 2025 di rantau Asia Pasifik.

Pakar juga menunjukkan pasaran lumayan jualan melalui penstriman langsung di China, di mana penstriman langsung merupakan sebuah kerjaya dan terdapat akademi yang mengajar topik-topik seperti cara bergurau dengan penonton dan menonjolkan keperibadian seseorang.
Sumber : Today/AT/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita