Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Para banduan Muslim didampingi Ramadan ini, cekal dalam melalui proses pemulihan di penjara

Dalam bulan Ramadan ini, para banduan Muslim terus didampingi agar mereka terdorong untuk membangunkan keupayaan diri sepanjang menjalani hukuman penjara.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Dalam bulan Ramadan ini, para banduan Muslim terus didampingi agar mereka terdorong untuk membangunkan keupayaan diri sepanjang menjalani hukuman penjara.

Dalam kunjungan Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri Dr Muhammad Faishal Ibrahim ke Pusat dan Sekolah Penjara Tanah Merah pada Rabu (20 Apr), beliau menggalakkan mereka untuk terus cekal untuk berubah ke arah kebaikan.

faishal inmates
(Gambar: Prof Madya Muhammad Faishal Ibrahim/Facebook)


Beliau juga menekankan tentang peri pentingnya sokongan keluarga dalam proses pemulihan para pesalah.

Dalam kesempatan itu, Dr Faishal juga meluangkan masa untuk berbuka puasa bersama mereka.

Ini merupakan sesi pendekatan bersama para banduan yang dilakukan Dr Faishal pada Ramadan ini. 

'HAFIZ' RINDUKAN ANAK, TIDAK DAPAT BERAYA BERSAMA TAHUN INI

Pada bulan Ramadan ini, sedang segenap masyarakat menyambutnya bersama keluarga terdekat, 'Hafiz' bukan nama sebenar meniti bulan mulia itu di penjara.

Terjebak ke kancah dadah, 'Hafiz', 31 tahun, kini kesal akan kesalahannya itu dan hiba tidak dapat menikmati kesucian dan menyambut Hari Raya bersama keluarganya kelak.

Hafiz berkata: "Sememangnya saya nak sambut Raya dekat luar. Suasananya semua lain."

"Apa yang saya paling rindukan adalah anak saya. Saya menyambut Raya dengannya tahun lalu, buat kunjungan Raya, beli barangan Raya untuk dia bersama keluarga. Tahun ini dan beberapa tahun akan datang, saya tidak berpeluang menyambut Raya bersamanya," ujar 'Hafiz'.

Meskipun amat merindui anaknya yang berusia tiga tahun, 'Hafiz' tidak mahu menyusahkan keluarganya untuk kerap membawa anaknya berjumpa dengannya di Pusat Tanah Merah itu.

"Saya hanya minta gambar daripada keluarga saya dan menanyakan khabar serta bagaimana anak saya sedang membesar," jelas 'Hafiz' tentang cara dia mengubati rindu kepada anaknya.

Selain itu, 'Hafiz' juga menulis surat kepada keluarganya seminggu sekali.

DR FAISHAL KONGSI BAGAIMANA KELUARGA BANDUAN BOLEH DAPATKAN SOKONGAN SEDANG MEREKA DI PENJARA

'Hafiz' merupakan antara banduan yang terkesan dengan kata-kata semangat oleh Dr Muhammad Faishal Ibrahim dalam sesi dialog dan acara berbuka puasa bersama semalam.

Dalam sesi tersebut, Dr Faishal turut berkongsi bantuan untuk para banduan bagi melicinkan proses integrasi bersama keluarga masing-masing serta proses pemulihan di dalam penjara.

faishal inmates
(Gambar: Prof Madya Muhammad Faishal Ibrahim/Facebook)


"Saya rasa gembira kerana dengan adanya pendekatan seperti ini, mereka dapat merasakan kita prihatin akan kehidupan mereka. Kedua bagaimana mereka boleh meneruskan perjalanan ini, mendapatkan nasihat. Pada bulan Ramadan ini saya mengambil peluang untuk mendekati mereka dan memberikan ruang kepada mereka untuk terus membangun apabila mereka dalam penjara," kata Dr Faishal.

"Saya sering kongsi dengan mereka dengan pendekatan yang saya lakarkan saya pun dapat tahu tip-tip yang boleh menolong mereka dalam proses pemulihan seperti selalu didampingi badan-badan masyarakat seperti AMP, PERGAS dan lain-lain lagi. Kedua, bagaimana mereka boleh adakan rutin dalam kehidupan mereka supaya mereka boleh fokus dalam proses pemulihan," tambah Dr Faishal lagi.

Selain itu, sesi dialog tersebut juga menyentuh tentang sokongan untuk keluarga-keluarga para banduan.

Dr Faishal berkata: "Apabila kita lihat para banduan masuk, tahap integrasi untuk keluarga kurang apabila mereka dalam penjara. Jadi apabila mereka keluar penjara mereka kekok untuk memulakan integrasi. Jadi saya kongsikan tentang adanya sokongan di luar dan di dalam ini boleh melicinkan proses pemulihan dan integrasi."

Beliau juga mengingatkan para banduan tentang pentingnya untuk meluaskan lagi rangkaian sosial yang positif agar tidak mengulangi kesalahan lama.

Sumber : BERITA Mediacorp/fz

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa