Para AP tekankan peri penting pemerintah tangani isu tudung dengan berhemah
Dua Anggota Parlimen (AP) Melayu pada Rabu (24 Mac) mengalu-alukan pengumuman mengenai pertimbangan pemerintah dalam membolehkan jururawat Muslimah di Singapura untuk memakai tudung.
Seorang wanita di Singapura kelihatan memakai tudung (Gambar: Nuria Ling/TODAY)
SINGAPURA: Dua Anggota Parlimen (AP) Melayu pada Rabu (24 Mac) mengalu-alukan pengumuman mengenai pertimbangan pemerintah dalam membolehkan jururawat Muslimah di Singapura untuk memakai tudung, seperti yang diujarkan oleh Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam dan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli pada Rabu (23 Mac).
AP GRC Jalan Besar Wan Rizal Wan Zakariah dan AP GRC Chua Chu Kang Zhulkarnain Abdul Rahim menekankan peri pentingnya pihak pemerintah menangani isu sensitif itu dengan berhemah dan bijak.
Kedua-dua AP itu menarik perhatian bahawa pertimbangan tersebut dilakukan setelah sekian lama pemerintah berunding dan berbincang dengan para pemimpin masyarakat dari segenap lapisan dan latar belakang, termasuk golongan asatizah, penjawat awam dan kakitangan dari sektor penjagaan kesihatan.
"Sejujurnya, perkara ini bukanlah satu perkara yang mudah. Ia satu perkara yang sensitif, khususnya di Singapura yang berbilang bangsa, agama dan budaya.
"Kita ingin mengekalkan keharmonian di Singapura, pada masa yang sama kita juga perlu bersikap rasional dan menunjukkan fleksibiliti dalam pengurusan dasar pekerjaan kita," tulis Encik Wan Rizal dalam catatan Facebooknya.
Selain itu, beliau turut berkongsi bahawa beliau yakin ramai yang menyambut baik keputusan tersebut.
Menurutnya, semasa beliau bertemu dengan masyarakat Melayu/Islam Singapura, ramai yang meluahkan kekhuatiran mengenai isu tudung.
"Saya faham keprihatinan mereka. Saya berharap dengan pertimbangan ini, ia akan memberikan ketenangan kepada mereka, menurut Encik Wan Rizal.
Sementara itu, Encik Zhulkarnain berkongsi dalam catatan Facebooknya bahawa beliau sendiri menginkan masa depan bagi anak-anak Muslimah yang lebih terbuka luas.
"Sebagai seorang ayah kepada dua anak perempuan, saya juga mendambakan masa depan di mana ruang peluang dan pekerjaan bagi anak-anak Muslimah kita terbuka luas berdasarkan potensi dan keupayaan mereka, tidak kira keturunan, kepercayaan atau keterampilan mereka," ujar Encik Zhulkarnain.
Dalam catatan Facebook masing-masing, Encik Wan Rizal dan Encik Zhulkarnain menyeru masyarakat supaya kekal bersatu hati serta menggembleng minda bersama pemerintah dalam mencapai huraian yang diinginkan buat semua pihak.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.