Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Para AP suara sokongan terhadap pindaan MRHA, usul keharmonian agama diperkukuh lagi

Kesemuanya sekitar 20 Anggota Parlimen bangkit berucap untuk menyokong pindaan terhadap Akta Mengekalkan Keharmonian Agama (MRHA) termasuk pemimpin-pemimpin Melayu.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Kesemuanya sekitar 20 Anggota Parlimen bangkit berucap untuk menyokong pindaan terhadap Akta Mengekalkan Keharmonian Agama (MRHA) termasuk pemimpin-pemimpin Melayu.

Mereka juga menyuarakan pelbagai saranan demi melindungi lebih baik lagi keharmonian agama di Singapura.

Ini termasuklah soal cara mengekang penyebaran mesej menghasut kebencian yang disampaikan dalam perbincangan tertutup.

Di bawah Rang Undang-Undang Mengekalkan Keharmonian Agama, orang awam akan dianggap melakukan kesalahan jika dia mencetuskan risiko mengganggu ketenteraman awam di Singapura.

(Gambar: Roslan Rahman/AFP)

(Gambar: Roslan Rahman/AFP)

Namun, bagi pemimpin agama, perbuatan menghasut sahaja akan dianggap sebagai kesalahan. Peruntukan baru di bawah rang tersebut bagaimanapun membolehkan mereka mengemukakan pembelaan jika ucapan menyinggung perasaan diungkapkan dalam perbincangan peribadi.

KANDUNGAN HASUT KEBENCIAN CEPAT MENULAR - RAHAYU

Perkara itu menarik perhatian sekurang-kurangnya empat anggota parlimen termasuk AP GRC Jurong Rahayu Mahzam.

Menurutnya, kandungan yang menghasut kebencian kini boleh cepat menular secara online, walaupun dikongsi secara tertutup.

"Dengan teknologi, pengaruh dari luar negara boleh dengan mudah menjangkau dan menjejas rasa percaya dalam masyarakat, tanpa kita sedari. Pemerintah perlu punya kuasa untuk cepat mengekang hal ini," kata Cik Rahayu.

Menjawab, Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-undang K Shanmugam berkata Pemerintah tidak harus terlalu campur tangan dan menjadikannya sebagai satu jenayah.

Beliau menambah, Inisiatif Pemulihan Masyarakat (CRI) yang diusulkan boleh membantu dalam isu ini.

SAKTIANDI USUL CRI DIWAJIBKAN UNTUK SEMUA PESALAH

Inisiatif itu disokong para pemimpin termasuk AP GRC Bishan Toa-Payoh Saktiandi Supaat.

Beliau menyebut contoh sebuah insiden bulan lalu, di mana seorang 'influencer' mengeluarkan catatan kurang sensitif terhadap kumpulan agama Sikh. Wanita itu kemudian diajak untuk mengenali agama Sikh dengan lebih dekat.

"Ini adalah satu contoh yang baik dalam inisiatif pemulihan untuk mendidik pesalah. Sekiranya insiden itu berakhir dengan netizen yang marah menimbulkan kritikan padanya, hanya akan ada ketegangan dan kemarahan di antara semua pihak," jelas Encik Saktiandi.

Lantaran itu, AP seperti Encik Saktiandi berharap, CRI diwajibkan bagi semua pesalah - dan tidak hanya ditawarkan sebagai satu pilihan. 

UNDANG-UNDANG HANYA "JALAN TERAKHIR"

AP GRC Ang Mo Kio Dr Intan Azura Mokhtar turut menarik perhatian, keharmonian agama di Singapura bukanlah sesuatu yang datang secara semula jadi dan harus dipelihara "secara hikmah dan bijaksana".

"Kita harus sedar dan akui yang tentunya terdapat pihak-pihak yang ingin melemahkan atau menghancurkan jalinan kepercayaan antara kaum dan agama di Singapura," ujar Dr Intan.

Dalam pada itu, AP GRC Jalan Besar Dr Yaacob Ibrahim menekankan betapa undang-undang sahaja tidak cukup dan adalah jalan terakhir.

Nilai saling menghormati dan menghargai kepelbagaian agama, katanya, kekal sebagai tunggak keharmonian agama di Singapura.  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan