Para AP suara keprihatinan mengenai harga hartanah, gesa lebih bantuan khususnya ibu tunggal

(Gambar: Hanidah Amin/CNA)
SINGAPURA: Para Anggota Parlimen (AP) menyuarakan kebimbangan mengenai harga hartanah yang semakin meningkat dan menyeru lebih banyak sokongan untuk ibu bapa, pekerja dan syarikat tempatan pada hari kedua perbahasan Belanjawan 2023 pada Khamis (23 Feb).
Selama hampir tujuh jam, 29 AP memberi ucapan di Parlimen mengenai Belanjawan yang dibentangkan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Lawrence Wong minggu lalu.
Sesetengah AP menimbulkan pertanyaan mengenai persaingan berlebihan dan jurang pendapatan yang semakin lebar antara golongan siswazah dan bukan siswazah.
"Belia Singapura yang menuntut di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) dan akan menyertai tenaga buruh berdepan cabaran besar. Jurang gaji permulaan bagi golongan siswazah dan bukan siswazah universiti semakin lebar," kata Encik Desmond Choo (PAP-Tampines).
Beliau mencadangkan, mengukuhkan latihan vokasional dan latihan amali bagi penuntut dan lulusan ITE, serta peluang latihan amali dan bimbangan yang lebih baik bagi mereka.
Encik Leon Perera (WP-Aljunied) memberi amaran agar tidak mewujudkan "meritokrasi di mana pemenang meraih segalanya dan tidak terkawal" di Singapura dan berkata: "Kami memerlukan usaha dasar yang diselaraskan untuk mempertingkatkan pendapatan, kemahiran, sekitaran kerja, penghormatan masyarakat bagi pekerjaan perdagangan."
Cik Carrie Tan (PAP-Nee Soon) menyeru masyarakat Singapura supaya "menimbangkan model kemajuan berbeza", sekali gus menarik perhatian bahawa model ekonomi Singapura buat masa ini gagal mengambil kira kemampanan dan kesejahteraan warga.
HARGA HARTANAH YANG TINGGI
Para AP turut meluahkan keprihatinan mereka mengenai permintaan dan bekalan rumah yang tidak seimbang dan harga hartanah yang semakin meningkat.
"Kita harus mengawal harga hartanah kita," kata Encik Gan Thiam Poh (PAP-Ang Mo Kio).
"Adakah Pemerintah akan menyemak semula dan mempertimbangkan untuk menambah lagi bekalan rumah awam dan privet?"
Encik Gan adalah antara AP yang menyarankan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) agar membina lebih banyak rumah dan agar Kementerian Pembangunan Negara (MND) mempertimbangkan langkah-langkah bagi memudahkan pembangunan lebih banyak hartanah privet.
Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) Hazel Poa sekali lagi menegaskan pendirian parti pembangkang mengenai Geran Perumahan Tabung Simpanan Pekerja (CPF) bagi flat jualan semula, menekankan bahawa geran sedemikian akan mendorong kenaikan harga flat berkenaan dengan meningkatkan permintaan.
Potensi kenaikan subsidi dan geran yang diperlukan bagi flat baru, akan memerlukan lebih banyak pungutan cukai dalam kitaran yang tidak mampan, ujar Cik Poa.
BANTUAN BAGI SME
Beberapa AP turut mencadangkan lebih banyak sokongan bagi Perusahaan-Perusahaan Kecil dan Sederhana, dengan AP Derrick Goh (PAP-Nee Soon) berkata: "Beberapa perniagaan tempatan memberi maklum balas bahawa Belanjawan 2023 menyokong pembahagian semula dan kelihatan seperti peralihan daripada pertumbuhan yang menyokong perniagaan.
"Mereka bertanya sama ada ini bermakna mereka harus lebih berdikari dan kurang mengharapkan bantuan pada masa akan datang."
Tambah beliau, Belanjawan 2023 diberi rating "gred A bagi keluarga dan individu" oleh ramai orang, tetapi SME akan memberi Belanjawan kali ini "gred B ataupun C".
Para AP meminta bantuan bagi SME menangani kenaikan kos dan memperkukuhkan keupayaan mereka untuk mengambil dan melatih pekerja baru, serta mempertingkatkan prestasi mereka dalam aspek Sekitaran, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).
"Saya juga menggesa agensi-agensi pemerintah dan syarikat berkaitan pemerintah supaya menyokong SME kita dengan memberikan lebih banyak perniagaan kepada mereka supaya secara tidak langsung memanfaatkan hampir 70 peratus pekerja di Singapura," kata Encik Don Wee (PAP-CHoa Chu Kang).
Encik Gerald Giam (WP-Aljunied) menarik perhatian bahawa kos sewa yang lebih tinggi mungkin menjejas daya saing SME, yang tergapai-gapai membayar sewa. Beliau menggesa pemerintah supaya mencari jalan untuk mengawal kos sewa komersil dan perindustrian untuk SME memanfaatkan lebih banyak perniagaan.
Beberapa AP turut menyentuh tentang pelbagai kumpulan pekerja yang berbeza, seperti warga emas, pekerja berpendapatan rendah dan sederhana, pekerja platform dan pekerja bekerja sendiri.
JANGAN HUKUM IBU TUNGGAL
Beberapa AP turut mengemukakan cabaran penjagaan kanak-kanak dan menggesa sokongan yang lebih kukuh bagi ibu bapa, khususnya, ibu tunggal.
Cik Cheng Li Hui (PAP-Tampines) menyarankan agar lebih banyak kemudahan jagaan kanak-kanak diwujudkan di estet-estet perumahan baru bagi pasangan muda dan membenarkan aturan kerja fleksibel bagi ibu bapa.
NMP Abdul Samad bertanya sama ada cuti jagaan kanak-kanak yang dilanjutkan kepada dua hari setahun, boleh dilanjutkan kepada ibu bapa yang anak mereka berusia lebih 12 tahun sehingga mereka menamatkan pendidikan sekolah menengah.
Cik He Ting Ru (WP-Sengkang) mengusulkan agar bonus bayi dipertingkat dan dasar keibubapaan diguna pakai kepada semua ibu bapa sama rata, termasuk ibu tunggal.
NMP Shahira Abdullah pula berkata langkah-langkah berkenaan tidak harus menghukum ibu tunggul. Rebat cukai keibubapaan dan Skim Bantuan Anak bagi Ibu Bekerja menggariskan bahawa ibu tersebut harus berkahwin dengan bapa kandung anak tersebut, tambahnya.
Dr Shahira turut meminta agar tambahan dua minggu cuti bapa yang dibayar Pemerintah, dimulakan dengan tiga minggu pada separuh kedua tahun ini dan empat minggu penuh mulai Januari depan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.