Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Para AP sokong S'pura sumbang S$27.7 juta kepada IMF bagi bantu negara miskin

Para AP sokong S'pura sumbang S$27.7 juta kepada IMF bagi bantu negara miskin.

Anggaran Waktu Membaca:
Para AP sokong S'pura sumbang S$27.7 juta kepada IMF bagi bantu negara miskin

Logo Tabung Kewangan Antarabangsa. (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 06 Apr 2021 11:15AM Dikemas Kini : 06 Apr 2021 11:18AM

SINGAPURA: Semua anggota Parlimen pada Isnin (5 Apr) menyokong sumbangan Singapura berjumlah AS$20.57 juta (S$27.7 juta) bagi menyokong daya usaha Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) untuk membantu negara-negara berpendapatan rendah menangani kesan ekonomi akibat pandemik COVID-19.

Penguasa Kewangan Singapura (MAS) kali pertama mengumumkan inisiatif itu pada 31 Mac lalu dan semua Anggota Parlimen (AP) yang bercakap tentang inisiatif tersebut di Parlimen semalam menzahirkan sokongan mereka.

Menteri Pengangkutan Ong Ye Kung, yang juga anggota lembaga MAS, berkata kebanyakan daripada sumbangan itu, iaitu sekitar AS$17.6 juta, akan disalurkan kepada Dana Amanah Pengawalan Bencana dan Bantuan (CCRT).

Dana itu ditubuhkan pada 2015 untuk menyediakan bantuan kepada negara-negara anggota IMF yang paling miskin dan mudah terjejas akibat bencana alam atau pandemik kesihatan global untuk melunaskan hutang, jelas Encik Ong, yang bercakap bagi pihak Menteri Kanan merangkap Pengerusi MAS Tharman Shanmugaratnam.

"Sumbangan Singapura berdasarkan bahagian kuota kita di IMF dan serupa dengan bagaimana sumbangan negara-negara lain ditentukan," kata Encik Ong.

Geran kedua adalah bagi Inisiatif Pembangunan Keupayaan Krisis COVID-19 (CCCDI) untuk membantu memenuhi keperluan pembangunan keupayaan mendesak negara-negara yang terjejas oleh pandemik. 

Singapura akan membuat sumbangan sekali sahaja sebanyak AS$2 juta (S$2.7 juta), yang membentuk dua peratus daripada AS$100 juta yang diperlukan untuk membiayai inisiatif tersebut.

Sumbangan ketiga adalah kepada Amanah bagi Khas bagi Mengurangkan Kemiskinan dan Pertumbuan Operasi Khas bagi Negara-Negara Miskin dengan Hutang Besar (PRG-HIPC).

Singapura akan menyumbang AS$970,000 kepada amanah itu, yang akan menyediakan sokongan untuk Somalia, yang memerlukan bantuan yang mendesak, kata Encik Ong.

Ini akan membentuk sekitar 0.3 peratus daripada pakej AS$344 juta IMF bagi bantuan pelunasan hutang Somalia.

Encik Ong berkata Singapura membuat sumbangan-sumbangan itu memandangkan pandemik ini "menekankan perlunya keputusan muktamad dan tindakan kolektif mendesak untuk menangani krisis global".

"Sebagai sebuah ekonomi yang sangat terbuka, Singapura mempunyai kepentingan besar dalam memastikan dunia membendung pandemik, mengembalikan hubungan antara manusia di merata dunia dan menyokong pemulihan ekonomi sejagat," tambah beliau.

"Ringkasnya, kita hidup dalam dunia yang saling bergantung antara satu sama lain dan Singapura perlu memainkan peranan."

ANGGOTA PARLIMEN TUNJUK SOKONGAN

Tiga Anggota Parlimen (AP) menyuarakan sokongan mereka bagi inisiatif tersebut.

AP GRC Sengkang, Jamus Lim, berkata sumbangan Singapura adalah langkah penting sebagai "rakyat yang bertanggungjawab dalam kampung global ini".

Bagaimanapun, beliau menambah statistik yang dikeluarkan oleh Pertubuhan bagi Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi menunjukkan antara tahun 1960 dengan 2004, Singapura menerima purata AS$14.4 juta bantuan asing setiap tahun, tanpa penyesuaian bagi inflasi.

Pada masa akan datang, Singapura mungkin akan menerima tambahan peruntukan Hak Pengeluaran Khas baru bernilai AS$5.33 bilion disebabkan oleh usulan baru oleh Pengarah Urusan IMF Kristalina Georgieva yang belum diterima oleh lembaga eksekutif IMF, kata Profesor Madya Lim.

"Apa pun, kita belum lakukan secukupnya. Jumlah ini (AS$5.33 bilion) jauh melebihi jumlah kecil yang kita sumbangkan secara formal ke dalam tabung itu hari ini," kata beliau.

Memberikan respons kepada Profesor Madya Lim, Encik Ong berkata sebarang kenaikan dalam pembiayaan luar negara akan menambah beban fiskal dan ini kemudian perlu dibiayai menerusi pengumpulan cukai.

Beliau menambah bahawa Singapura sudah menyumbang kepada masyarakat antarabangsa menerusi pelbagai cara yang mungkin tidak melibatkan sumbangan wang tunai secara langsung.

Contohnya, Kementerian Ehwal Luar sejak 1992 sudah menjalankan Program Kerjasama Singapura supaya negara-negara membangun boleh belajar daripada kemajuan Republik ini.

"Kami menyediakan latihan yang diperlukan, mereka merujuk kepada apa yang kami lakukan, kami saling belajar daripada satu sama lain," kata beliau.

"Pendirian kami bukan untuk mengatakan bahawa kami mempunyai segala sumber ini dan kami boleh menyumbang lebih banyak wang," kata beliau.

"Kami belajar banyak perkara dan kami boleh berkongsi pelajaran-pelajaran ini dengan negara-negara lain di dunia."

AP SMC Bukit Panjang Liang Eng Hwa bertanya sama ada Pemerintah akan mengetahui bagaimana IMF menggunakan dana tersebut.

Encik Ong menjawab, bahawa semua dana tertakluk kepada penyeliaan lembaga eksekutif IMF.

Singapura juga mempunyai wakil dalam lembaga itu menerusi kumpulan undian Asia Tenggara dan akan menerima kemas kini, kata beliau.

Dari masa ke masa, IMF akan menerbitkan laporan-laporan tentang dana-dana tersebut.

Turut menyokong inisiatif itu, ialah AP GRC Sembawang Mariam Jaafar, yang berkata meskipun akan ada pihak-pihak yang menentang sumbangan tersebut. ia penting untuk "terus menunjukkan kepada rakyat kita bahawa usaha-usaha bantuan antarabangsa yang kita lakukan boleh menjadikan kita lebih baik".

Bersetuju dengan Cik Mariam, Encik Ong berkata semasa MAS mengumumkan inisiatif itu, terdapat beberapa komen yang "agak mengecewakan" di media sosial yang mempersoalkan mengapa Singapura memberi wang kepada negara-negara lain.

"Saya gembira semua AP tampil dan berucap menyokong sumbangan ini. Ini menunjukkan bahawa sebagai sebuah negara kecil kita juga boleh bersikap murah hati dan boleh memainkan peranan kita dan berkongsi keprihatinan kita demi masa depan kemanusiaan."

Sumber : Today/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan