Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Para AP Sembawang teruskan tugas Khaw Boon Wan sedang beliau beransur pulih

Para anggota Parlimen (AP) Sembawang akan menjalankan tugas-tugas Menteri Pengangkutan Khaw Boon Wan sedang beliau beransur pulih daripada keretakan pada tulang lengannya.

Anggaran Waktu Membaca:
Para AP Sembawang teruskan tugas Khaw Boon Wan sedang beliau beransur pulih

Anggota-anggota Parlimen GRC Sembawang: Ong Ye Kung, Khaw Boon Wan, Amrin Amin, Lim Wee Kiak dan Vikram Nair.

Diterbitkan : 26 Feb 2019 12:14AM Dikemas Kini : 26 Feb 2019 12:19AM

SINGAPURA: Para anggota Parlimen (AP) Sembawang akan menjalankan tugas-tugas Menteri Pengangkutan Khaw Boon Wan sedang beliau beransur pulih daripada keretakan pada tulang lengannya.

Encik Amrin Amin, AP Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) Sembawang berkata demikian semasa hadir di sesi bertemu penduduk di kawasan undi yang dikendalikan Encik Khaw hari ini (25 Feb) di Blok 789 Woodlands Avenue 6.

"Kami bekerja sebagai satu pasukan, oleh itu sementara Menteri Khaw beransur pulih, para AP GRC Sembawang akan bergilir-gilir menjalankan tugasnya disokong sebuah kumpulan aktivis yang kuat di Sembawang yang sudah bekerja dengannya selama bertahun-tahun," kata Encik Amrin kepada Mediacorp.

"Dan semua akan terus berjalan lancar, maka itu para penduduk tidak perlu bimbang."

Menteri Pendidikan Ong Ye Kung, serta para AP Vikram Nair dan Lim Wee Kiak juga berkhidmat di GRC Sembawang. Encik Amrin menambah bahawa para AP akan bergilir-gilir memikul tugas-tugas kemasyarakatan sehingga Encik Khaw pulih.

"Saya rasa kami dapat melakukannya. Pada masa-masa seperti ini, kami perlu berganding bahu dan saya fikir itulah maknanya bekerja sebagai sepasukan. Kami akan dapat mengharunginya," kata Encik Amrin.

Beliau menambah, Encik Khaw "sedang beransur pulih dengan baik" dan mereka terus berhubung dengannya.

Encik Khaw mengalami keretakan pada tulang lengannya akibat terjatuh minggu lalu.

Beliau kini sedang dirawat di hospital dan dijangka menjalani pembedahan pada minggu ini.

Semasa ketiadaan Encik Khaw yang menjalani proses pemulihan kecederaan, Menteri Ehwal Luar Vivian Balakrishnan dilantik sebagai Pemangku Menteri Pengangkutan bagi rundingan dua hala antara Singapura dengan Malaysia.

Encik Khaw akan menyambung semula tugasnya apabila "beliau berupaya melakukan demikian mungkin selepas beberapa minggu," menurut Pejabat Perdana Menteri.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan